Sunday 8 July 2018

KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN : AGENDA PRIORITI BKKIMM

     MELAKA, 4 Julai 2018 - Satu pertemuan di antara wakil Ahli JawatanKuasa Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) yang diketuai oleh Setiausaha Agung (Ketua Unit Pendaftaran dan Muhafazah) BKKIMM sesi 2017/2018 Saudara Muhammad Ikhram bin Samsudin bersama Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Encik Azrin bin Abd Majid dan beberapa jawatankuasa TAPEM. Pertemuan tersebut telah diadakan di pejabat TAPEM yang bertempat di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh, Melaka dan melibatkan juga beberapa individu daripada ahli BKKIMM. Perbincangan berlangsung dengan baik antara Pengurus Besar TAPEM dan wakil BKKIMM.

    Fokus pertemuan adalah berkaitan pengurusan TAPEM dan hal ehwal kebajikan anak Melaka di Mesir khususnya.  Pertemuan ini dimulakan dengan sesi pengenalan daripada kedua-dua pihak dan diteruskan kepada pengenalan ringkas berkenaan institusi TAPEM oleh Pengurus Besar sendiri. Dalam kesempatan ini, pihak BKKIMM telah mengutarakan beberapa persoalan yang memerlukan penerangan yang jelas daripada TAPEM iaitu berkaitan peratusan mahasiswa Mesir yang terlibat dalam jumlah tunggakan pembayaran semula, prosedur permohonan dan pembayaran semula pinjaman TAPEM yang terkini dan permasalahan berkaitan dermasiswa atau zakat. Antara respon yang diberikan berkaitan tunggakan pembayaran semula, beliau memaklumkan bahawa tunggakan RM 18 juta tersebut adalah melibatkan semua institut pengajian tinggi samada dalam ataupun luar negeri dan bukan hanya melibatkan pelajar Mesir sahaja. Selain itu, respon berkenaan cara pembayaran semula pinjaman serta permohonan dermasiswa yang terkini adalah sepertimana yang telah dilaksanakan sebelum ini dan tiada perubahan berlaku. Adapun untuk prosedur permohonan pinjaman yang terbaru, beliau memaklumkan bahawa TAPEM akan melaksanakan sesi temuduga bagi para pemohon yang membuat permohonan pada tahun ini.

     Berikutan penjelasan yang telah diberikan oleh TAPEM berkaitan soalan-soalan yang diajukan, BKKIMM mengambil maklum perkara tersebut dan dalam masa yang sama membawa beberapa cadangan solusi dalam menambah baik pengurusan di peringkat TAPEM. Antaranya adalah cadangan memansuhkan syarat untuk mendapatkan zakat perlu memohon pinjaman bersama, menambah kuota penerima dan menaikkan jumlah pembiayaan untuk dermasiswa. BKKIMM mengemukakan cadangan ini disebabkan beberapa faktor yang diteliti mempengaruhi permasalahan yang berlaku antaranya faktor ketidakmampuan peminjam melunaskan pembayaran semula pinjaman pada masa yang telah ditetapkan, kenaikkan kos sara hidup di Mesir, lambakan pelajar Melaka yang menyambung pengajian di Mesir dan sebagainya. Perbincangan dua hala yang harmoni berlaku antara BKKIMM dan TAPEM bagi mendapatkan penyelesaian kemelut isu yang berlaku. Pihak TAPEM menerima dan menyambut baik segala persoalan dan cadangan yang diutarakan oleh BKKIMM dan mereka akan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dilontarkan. Akhir pertemuan, wakil BKKIMM telah membuat penyerahan Kertas Kerja Kelas Intensif di bawah kelolaan Unit Pendidikan BKKIMM yang mana tujuan kertas kerja ini dirangka dan dibawa kepada pihak berwajib adalah untuk menambah mutu pendidikan dan pembelajaran serta peningkatan statistik keberjayaan anak-anak Melaka di dalam peperiksaan setiap tahun. Selain itu, BKKIMM juga telah menyerahkan lampiran statistik anak Melaka di Mesir yang mempunyai tajaan dan yang tiada tajaan.

     Pertemuan tersebut ditutup dengan sesi bergambar bersama dan pihak TAPEM memberikan cenderahati kenang-kenangan kepada wakil BKKIMM. BKKIMM mengucapkan jutaan terima kasih kepada TAPEM di atas kesudian menjemput dan meluangkan masa bersama. BKKIMM optimis dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku demi menjaga kebajikan, pendidikan dan keselamatan anak Melaka di Mesir mengikut lunas syarak yang ditetapkan oleh Islam. BKKIMM mengharapkan pertemuan ini merupakan satu langkah permulaan bagi jalinan kerjasama baik antara BKKIMM dan Kerajaan Negeri Melaka. Semoga kerjasama seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang agar proses pembentukan modal insan dapat dibentuk dan dicanai berlandaskan syariat Islam dalam memberi khidmat kepada agama, nusa, bangsa dan negara.

“Mahasiswa Rabbani, Membumi Bakti”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
“Berilmu dan Beramal”

#BKKIMMKesatuanKami
#BersamaBersatu

No comments:

Post a Comment