Sunday 3 July 2022

[ MINDA MAHASISWA | EDISI 4 : BICARA FIKRAH "PERSEDIAAN MENGHADAPI KEPINCANGAN PEMIKIRAN MASYARAKAT" ]


 


PERSEDIAAN MENGHADAPI  KEPINCANGAN PEMIKIRAN MASYARAKAT

 

           Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Bagi-Nya segala kesempurnaan di langit dan bumi. Tiada kekuasaan dan keupayaan yang dapat menandingi kekuasaan dan keupayaan-Nya. Kami reda Allah sebagai Tuhan kami. Kami reda Islam sebagai agama kami. Kami juga reda Nabi Muhammad SAW sebagai nabi utusan Tuhan.

 

           Pemikiran merupakan komponen utama dalam menentukan perubahan baik dan buruk suatu tamadun. Kejatuhan suatu tamadun bermula dengan kepincangan pemikiran. Begitu juga kebangkitan suatu tamadun adalah bermula dengan kesempurnaan pemikiran. Jika suatu pejuang imperialis berhasrat menjajah suatu tamadun, maka pemicu utama adalah menimbulkan kecelaruan dalam pemikiran masyarakat tamadun tersebut.

 

          Pada hari ini, kita menyaksikan pelbagai kesesatan pemikiran yang sudah menyelinap ke dalam minda masyarakat Islam. Fenomena ini menterjemahkan kepada kita masyarakat Islam yang tidak mahu beramal dengan aturan Islam dalam kehidupan mereka. Ini memberikan kesan kepada cara pandang (Worldview) Islam. Kesannya, masyarakat Islam lebih tertarik dengan cara pandang (Worldview) barat berbanding dengan worldview Islam. Mereka merasakan bahawa dengan pengamalan barat, suatu masyarakat akan bertambah maju dan progresif.

 

          Sebelum muncul pemikiran sekularisme, masyarakat Islam sangat menyakini bahawa Islam dan pemerintahan tidak dapat dipisahkan. Begitu juga sebelum liberialisme dipromosikan, masyarakat Islam turut meyakini bahawa Islam merupakan suatu cara hidup yang relevan pada setiap tempat dan keadaan. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa pemikiran barat yang menyusup ke dalam fikiran masyarakat Islam sedang menghakis keyakinan umat Islam terhadap hakikat Islam yang sebenar.

 

          Sebagai mereka yang menyedari fenomena ini, kita perlu berusaha untuk membanteras jenayah ini sekaligus mencari antidot bagi merintis penawar bagi virus ini. Sekiranya kita mengamati sejarah, misi kebangkitan Islam yang digerakkan oleh ramai cendekiawan ulung Islam adalah bermula dengan memperbaiki pemikiran umat Islam di zaman tersebut.

 

          Al-Ghazali RH antara cendekiawan yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan reformasi menuju kebangkitan Islam. Al-Ghazali RH mengajarkan kepada kita supaya ubati “sebab-sebab kekalahan” dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam menghadapi kekalahan, bukan menangisi atas “kekalahan” yang menimpa.

 

           Ini selari dengan apa yang diutarakan oleh Malik bin Nabi, seorang cendekiawan Islam kontemporari, untuk mencari sebab-sebab terjadinya penjajahan dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam menghadapi penjajahan bukan mencaci “penjajah”. Satu-satunya sebab utama menurut al-Ghazali RH ialah rosaknya pemikiran umat Islam dalam sektor akidah dan sosial. Adapun selain itu hanyalah kesan sampingan yang akan segera hilang dengan hilangnya penyakit utama ini.

 

          Setiap kepincangan dalam pemikiran ada sebabnya yang tersendiri dan perlu dirungkaikan dengan penawar yang khusus juga. Mereka yang merintis dan memobilisasi pemikiran sekular adalah mereka yang berpegang teguh bahawa kemajuan dan agama tidak dapat disatukan. Ini kerana mereka menyangka bahawa agama itu menghalang manusia berfikir dan seterusnya akan menyebabkan ilmu tidak akan berkembang.

 

          Justeru, bagi mendepani kepincangan pemikiran masyarakat, para pendakwah bertanggungjawab untuk mendiagnosis secara mendalam idea di sebalik pemikiran-pemikiran sesat yang sudah berakar dalam minda masyarakat. Para pendakwah tidak boleh sekadar menyuarakan aspirasi agar pemikiran sesat tersebut wajib diperangi dengan slogan-slogan yang membara, namun saat diminta untuk menerangkan apakah idea di sebalik pemikiran yang kita perangi, kita sekadar mengatakan bahawa pemikiran itu bertentangan dengan Islam secara umum sedangkan akar virusnya sudah berselirat dalam minda-minda umat Islam.

 

          Di samping itu, bagi memahamkan masyarakat tentang ‘big why’ mengapa pemikiran-pemikiran yang berkaitan adalah bertentangan dengan konsep Islam yang syumul, para pendakwah mesti bersedia untuk menukar pola penyampaian secara bukan formal seperti di masjid dan surau supaya topik yang dikupas lebih menyentuh perbincangan semi-kritis melibatkan pemikiran moden. Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa cabaran semasa setelah implementasi reformasi pendidikan tidak formal ini pasti akan dirasai; melibatkan fikiran masyarakat yang agak kurang terbiasa dengan kupasan semi-kritis. Namun, itu bukanlah menjadi masalah utama jika dibandingkan dengan impak virus pemikiran yang sudah menular dalam minda mereka.

 

           Suatu hal yang paling penting buat setiap pendakwah, jangan sesekali terpengaruh dengan aspirasi kelompok pemikiran yang menyentuh sisi positif bagi mengaburi mata manusia. Sememangnya ideologi yang diasaskan adalah dipicu oleh ketidakmampuan untuk menyelesaikan masalah manusia terutama melibatkan sektor sosial dan agama, namun golongan yang merintis ideologi berkenaan tidak mengenal Islam terlebih dahulu. Sekiranya mereka lebih awal menganalisis hakikat ajaran Islam, sudah pasti mereka akan dapati tiada ideologi yang dapat menandingi kesempurnaan sistem tadbir urus Islam terhadap semua masalah yang dihadapi oleh manusia.

 

          Akhir sekali, marilah kita menghayati satu ayat dari kitabullah yang signifikan dengan isu ini. Firman Allah SWT,

 

وَمَن یَبۡتَغِ غَیۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِینࣰا فَلَن یُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ﴿ ٨٥

 

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

 

[Surah Ali-Imran, Ayat 85]

 

Wallahu'Alam

 

Oleh:

Abdul Mujib bin Othman

Timbalan Setiausaha Agung (Ketua Unit Pendidikan)

Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir

sesi 2021/2022

 

 

 

No comments:

Post a Comment