Setahun, Menyinggahi BKKIMM Tanpa
Obsesi
Segala pujian hanya milik Allah
SWT yang telah membangkitkan semangat
dalam jiwa manusia untuk menempuh cara mengabdikan diri kepada-Nya. Segala-gala-Nya
yang ditempuhi manusia pada hari ini adalah kerana kehendak-Nya dan tidak ada
seorang pun daripada kalangan manusia itu dapat menolak dan menghalang taqdir-Nya
itu. Dengan rahmat-Nya dan kehendak-Nya yang mengatur setiap saat percaturan
hidup manusia sehingga mereka kini berada di tempat di mana meraka berada.
Tanggal 28.12.2010 sememangnya merupakan
detik yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh mahasiswa/wi Melaka di Perlembahan Nil ini. Sejarah
pencabulan hak yang berlaku meningggalkan kesan yang sungguh mendalam dalam hati sanubari mereka. Tanpa
sebarang alasan serta bukti yang kukuh, kesatuan yang telah sekian lama
menaungi kebajikan serta pendidikan anak-anak Melaka di Mesir difitnah dan
ditarik pengiktirafannya serta-merta tanpa diadakan walau sedikit ruang
perbincangan.
(Gambar AJKT BKKIMM sesi 2010/2011
bersama Ketua Menteri Melaka dan Datuk Duta Besar Kaherah serta isteri)
Masih
segar lagi reaksi seluruh mahasiswa/wi
Melaka dalam menzahirkan gelombang kebangkitan yang setaraf dengan jati diri
seorang mahasiswa pada detik bersejarah berikut, apabila
seluruh yang hadir bangun dengan secara hormat di hadapan Ketua Menteri Melaka bagi
menyatakan pendirian bahawa kesatuan yang berusia 35 tahun ini mesti
dipertahankan.
Dan
sehingga ke saat ini, BKKIMM telah berjaya membuktikan kegemilangannya kerana
berjaya mengharungi jerih-payah mengemudi bahtera kesatuan yang tercinta tanpa
pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri. Walaupun ditekan oleh banyak pihak dan
diuji dengan pelbagai mehnah yang boleh menggugat perjalanan persatuan, namun berkat kesungguhan setiap anggota yang
menjadi tiang dan tulang belakang kepada BKKIMM serta kecekalan yang
ditunjukkan oleh barisan kepimpinan merupakan suatu usaha yang sama sekali tidak
akan pernah dilupakan.
(Gambar mahasiswa/wi
Melaka Mesir ketika Ihtifal Kesatuan,
Haflah Aidilfitri, & Sambutan
Memperingati 35 Tahun BKKIMM – IKTIRAF ’35)
Kebersamaan
yang telah diberikan oleh satu-satunya persatuan induk anak Melayu di sini
iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) serta sokongan yang padu
daripada setiap PMRAM Cawangan samada Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN )
mahupun Dewan Perwakilan Mahasiswa ( DPM ) membuktikan PMRAM terlalu menitikberatkan
soal kebajikan mahasiswa/wi Malaysia di Bumi Anbiya’ ini. Melalui konsep taakhi yang telah dibentuk oleh
PMRAM, BKKIMM turut diperjuangkan oleh BKAN Selangor ( BKASM ; Badan Kebajikan
Anak Selangor ), BKAN Pahang ( BKMIP ; Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam
Pahang ), DPM Tanta serta DPM Syibin El-Kom. Kemuncak kesatuan semua BKAN dan
DPM dalam membantu BKKIMM terserlah apabila satu kata muafakat telah diambil
dalam persidangan Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-78 dengan usul, semua BKAN dan DPM akan bersama-sama mempertahankan BKKIMM melalui
sumbangan material dan menjana ekonomi bersama.
(Gambar kenangan barisan
Badan Pengurus PMRAM 2011 bersama kepimpinan BKKIMM sesi 2010/2011 ketika Iftor
Jama’ie di Surau Wisma Seri Melaka)
Namun,
disebalik usaha untuk terus menggerakkan kesatuan ini, BKKIMM masih berharap
Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan semula tindakan penarikan pengiktirafan
terhadap persatuan ini demi kelangsungan menjayakan agenda terpenting Kerajaan
Negeri sendiri dari sudut kebajikan dan pendidikan terhadap anak-anak Melaka di
Bumi Anbiya’ ini. Beberapa siri perbincangan yang telah diadakan melalui
wakil-wakil Kerajaan Negeri dengan pihak kepimpinan
BKKIMM diharap dapat membuahkan hasil serta mencipta keharmonian dikalangan
mahasiswa/wi Melaka di sini. Pihak BKKIMM juga masih tetap optimis untuk
meneruskan hubungan kerjasama dengan pihak Pejabat Pentadbiran Pegawai Wisma
Seri Melaka Kaherah.
(Gambar jemputan kehormat
pada Majlis Perasmian Program Malam Ikhtiar Mumtaz sempena peperiksaan akhir
tahun 2011 anjuran bersama BKASM, BKKIMM dan BKMIP)
Oleh
yang demikian, pihak kepimpinan menyeru
kepada semua ahli agar terus bersama mempertahan dan menjayakan 6 Gagasan
BKKIMM pada sesi ini kerana tidak dapat tidak BKKIMM masih memerlukan
sokongan serta dokongan penuh setiap anggotanya demi memastikan persatuan ini dapat
terus menjaga kemaslahatan serta kelangsungan kebajikan dan pendidikan anak-anak
Melaka di Mesir. Sejajar dengan tema pembawaan BKKIMM pada sesi ini iaitu BKKIMM
Terus Bergerak, BKKIMM Milik Semua.
Firman
Allah SWT yang bermaksud, “Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa, “Ya
Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan
(dalam) urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap
orang-orang kafir.” ( Surah Ali Imran : 147 )
“Hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan dan ampunan. Kami
berlindung kepada-Mu dari segala keburukan diri kami dan kejelekan amalan kami.
Hanya kepada-Mu kami meminta petunjuk agar kami tidak sesat. Kami mengakui
sekiranya kami sesat maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk
kepada kami melainkan hanya-Mu Ya Allah.
Ya Allah, Engkau-lah Zat penganugerah pahala yang berlimpah,
pemberi tempat yang indah dan nyaman, Zat yang membuat perhitungan dengan
segera, Zat yang hijab-Nya mempunyai benteng yang kukuh. Engkau ciptakan
kepatuhan dan menganugerahkan kemampuan bagi orang-orang yang taat. Engkau beri
mereka kekuatan dan istiqomah dalam ketaatan. Engkau ciptakan syurga dan
menuntun mereka ke dalam kurnian-Mu. Engkau jadikan semua amal mempunyai
keistimewaan, segala Rahmat tercurah dari-Mu, ketaatan dan pahala-Nya bersumber
dari-Mu, segala sumber urusan ada di Tangan-Mu. Dari-Mu segala permulaan dan
hanya kepada-Mu tempat kembali..
Semoga Kau rahmati dan berkati perjalanan wahdah kami ini,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.”
BKKIMM
Terus Bergerak, BKKIMM Milik Semua.
kami ahli PMRAM tetap bersama BKKIMM susah atau senang
ReplyDelete