18 & 19 Februari : Misi Badan Kebajikan
Keluarga Islam Melaka Mesir dalam menyalurkan kebajikan kepada anak-anak
Melaka diteruskan lagi apabila barisan
kepimpinan BKKIMM sesi 2011/2012 mengadakan jaulah ke muhafazah untuk bertemu
dengan anak-anak Melaka khususnya ahli BKKIMM.
Program ini antara tujuannya adalah untuk
mengeratkan dan memperkukuhkan hubungan silaturrahim di antara AJKT dan
ahli-ahli BKKIMM sejajar dengan gagasan yang dibawa oleh BKKIMM iaitu ukhuwah
dan wahdah. Sepertimana hadis nabi S.A.W. yang bermaksud : “Tidak beriman
seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”, ulas Yang Di Pertua dalam
ucapannya.
Jaulah ini juga lebih memfokuskan kepada
perbincangan daripada hati ke hati mengenai segala permasalahan, cadangan dan
juga muhasabah berkenaan kebajikan, pendidikan serta sebarang isu-isu semasa
setelah genap setahun BKKIMM melalui pelbagai dugaan dan tribulasi.
Destinasi pertama jaulah bermula di Iskandariah,
bertempat di Dewan Zajlatul ‘Abidah pada jam 9.30 pagi. Majlis tamat sekitar
jam 12.00 tengah hari.
Jaulah diteruskan lagi ke Mansoura, bertempat
di dewan rasmi Perubatan Cawangan Mansoura, Darul Rahmah. Majlis bermula
sekitar 8.30 malam, agak lewat dari yang dirancang atas beberapa masalah
teknikal, namun ianya tidak mematahkan semangat anak Melaka di Mansoura untuk
hadir ke majlis tersebut.
Pelbagai persoalan dan cadangan telah
dibangkitkan antaranya ialah berkenaan isu pinjaman TAPEM, serta beberapa
perkara berkaitan kebajikan. Antara
permasalahan yang timbul bagi pelajar-pelajar perubatan terutamanya, mereka
tidak dapat menyertai program-program yang dianjurkan BKKIMM kerana kekangan
masa dan bertembung dengan hari kuliah.
“Cadangan saya agar pihak pimpinan mengadakan
satu program di muhafazah untuk meraikan ahli di sini”,cadangan daripada salah
seorang ahli BKKIMM.
Sebarang muhasabah dan cadangan telah
diterima oleh pimpinan sebaiknya. Semua persoalan dapat dijawab dengan baik
oleh AJKT.
Majlis di akhiri dengan tayangan slideshow
oleh unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM serta penyampaian cenderhati BKKIMM
kepada DPM yang terlibat.
Barisan kepimpinan BKKIMM mengucapkan
jutaan terima kasih di atas segala komitmen, cadangan dan muhasabah yang telah
diberikan oleh ahli yang hadir. Ini menunjukkan bahawa sokongan ahli tidak pernah pudar kepada BKKIMM dalam misi
untuk memastikan agar survival dan agenda kebajikan dapat diteruskan.
Bagi mana-mana ahli yang tidak dapat
menyertai kunjungan AJKT ke muhafazah
masing-masing, pihak kepimpinan sentiasa mengalu-alukan kehadiran anda ke majlis
ramah mesra bersama ahli yang akan diadakan di kaherah nanti, Insyaallah.
Laporan Oleh,
Jabatan Setiausaha Agung BKKIMM
Sesi 2011/2012
No comments:
Post a Comment