Kaherah, 26 Ogos 2014 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di bawah kelolaan Unit Dakwah telah berjaya menganjurkan program tarbiyah yang diberi nama “Kursus Dai’e Kontemporari 2014” (KUDRI '14) dengan bertemakan “Dai’e Dinamik Pemacu Masa Depan Ummah”. Kursus ini berlansung selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Ogos 2014 bersamaan 21 dan 22 Syawal 1435 H. Antara objektif kursus ini adalah untuk membentuk keterampilan, akhlak dan sahsiah muslim yang sejati ke arah memperbaiki diri daripada negatif kepada positif, menjadikan diri seorang dai’e yang fleksibel di dalam zaman yang serba boleh berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah serta mengeratkan ukhuwah antara anak-anak Melaka dan BKAN Taakhi dari Selangor dan Pahang.
Pendaftaran dibuka pada hari pertama sekitar jam 5.30 petang. Seterusnya, program dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Faishal Bin Razlan di Surau Wisma Seri Melaka. Pengisian pertama di bawah tajuk “Muwasafat Tarbiyah” telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hakimi bin Husin dari PMRAM cawangan Selangor yang merupakan Mantan Pengarah Unit Bait Muslim PMRAM sesi 12/13 . Ceramah yang telah disampaikan sangat memberi kesan yang mendalam kepada peserta yang hadir.
Seusai solat maghrib, program diteruskan dengan pengisian yang kedua iaitu “Pengucapan Awam” yang disampaikan oleh Siti Aisyah binti Ismail yang merupakan Penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir ( BKSAM ). Setelah selesai pembentangan, peserta dibahagikan untuk Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) bagi melaksanakan tugasan berkaitan pengisian yang telah disampaikan. Selepas tamat pembentangan tugasan, Ustazah Siti Aisyah dan Ustaz Muhd Bazli memberi penerangan berkenaan tugasan yang telah diberikan kepada peserta. Sesi penerangan ini berakhir sekitar jam 11 malam dan para peserta dihidangkan dengan sedikit jamuan sebelum pulang.
Program pada hari kedua berlangsung sekitar jam 5.30 petang dengan pengisian ketiga di bawah bertajuk “Ketuanan Islam” yang telah disampaikan oleh Ustaz Muqri bin Ibrahim. Seusai solat maghrib, para peserta diberi tugasan GKB yang kedua dibawah tajuk isu semasa. Para peserta diminta membincangkan isu yang telah diberikan seperti isu MH17, ISIS, isu masyarakat Islam di Afrika dan lain-lain lagi. Selesai pembentangan dari setiap kumpulan, Ustaz Ahmad Muhsin bin Abd Hamid dan Ustaz Muhammad Daud bin Ashaari merangkap Lembaga Penasihat BKKIMM sesi 13/14 telah menerangkan serta menghuraikan setiap isu agar lebih jelas dan difahami oleh para peserta supaya mereka memahami dengan lebih terperinci lagi setiap isu yang berlaku sama ada di dalam atau di luar Malaysia.
Pada jam 9 malam, para peserta dihidangkan dengan pengisian yang terakhir iaitu Diskusi Kitab “Falnabda’ Bianfusina“ yang dibentangkan oleh Ustaz Mohd Fikhry Hakim Fadzilullah yang merupakan Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir ( BKSAM ). Program yang berlangsung selama 1 jam 30 minit ini dapat memudahkan para peserta di dalam mengenali makna yang ingin disampaikan penulis kitab itu sendiri dan ia akan memberi semangat kepada peserta agar lebih mengenali gaya bahasa dan penulisan yang digunakan oleh penulis.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik KUDRI ‘14. Hadiah telah disampaikan oleh ustaz Ahmad Rabbani bin Ismail diiringi pengarah KUDRI ‘14 iaitu Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi. Peserta terbaik ikhwah telah dinobatkan kepada Ustaz Muhammad Khidir bin Mohd Razali manakala peserta akhawat pula dinobatkan kepada Ustazah Nur Shuhada binti Hazhari.
Dengan berakhirnya majlis tersebut maka berakhirlah Kursus Dai’e Kontemporari 2014 (KUDRI ‘14). Diharapkan program yang telah dilaksanakan dapat membentuk peribadi para peserta selaku da’ie yang menjadi pemacu masa depan ummah insyaAllah.
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"
"MELESTARI KESATUAN MERENTASI PERJUANGAN"
No comments:
Post a Comment