Tuesday, 21 April 2015

AKADEMI DAI'E MEMBENTUK PEMIMPIN UMMAH SIRI-2


Alhmadulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan pertolongan daripada-Nya program Akademi Da’ie Qiadatul Ummah 2015 (ADQ’15) siri pertama dan kedua di bawah kelolaan Unit Dakwah Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan kerjasama Unit Pendidikan BKKIMM telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 15 Mac dan 13 April yang lalu, bertempat di Sutuh Rumah Melaka Sementara (RMS), Kaherah.

Pada siri pertama, peserta telah dibentangkan dengan tiga pengisian yang cukup menarik antaranya Fiqh Khamsah ,Tafsir Ayat Pilihan dan Isu Semasa. Semasa pembentangan Fiqh Khamsah, pengisi memberikan fokus yang lebih kepada penerangan Fiqh Aulawiyat dan disusuli dengan Gerak Kerja Berkumpulan(GKB) agar dapat memberi pemahaman yang lebih jelas kepada para peserta.

Selain itu, semasa pengisian kedua, para peserta disajikan dengan tazkirah tafsir ayat pilihan yang disampaikan oleh Ustaz Faiz Khalid daripada Johor. Sebelum pengisian berakhir, peserta-peserta diberikan tugasan sekali lagi untuk membentangkan permasalahan isu semasa. Bagi slot pengisian yang terakhir, Ustaz Iqbal bin Atan telah diundang untuk menyimpulkan permasalahan tersebut dan menerangkan tentang peranan da'ie dan kepentingan mengambil cakna berhubung isu semasa.

Seterusnya,pada siri kedua pula, ahli Melaka telah disajikan dengan beberapa pengisian menarik  dan tampil dengan sedikit kelainan. Antaranya pengucapan awam, teori dan praktikal pengurusan jenazah, Talk Show dan Wacana Ilmiah. Pada siri kali ini, pengisian pertama adalah berbentuk Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) mengenai Pengucapan Awam. Pembentangan peserta kemudiannya diteliti dan disimpulkan oleh pengisi jemputan dari Bkan Taakhi Melaka iaitu Bkan Pahang, Ustaz Hasbullah bin Suhaimi supaya memberi kefahaman yang mendalam kepada peserta mengenai teknik pengucapan awam dengan kaedah yang betul, menarik dan sesuai digunakan. Seusai sahaja pengisian pertama, slot diteruskan lagi dengan pembentangan Teori dan Praktikal Pengurusan Jenazah yang disampaikan oleh Ustaz Faiz bin Mayusoh dari Bkan Kelantan bermula daripada meninggalnya seseorang hingga ia dikebumikan. Susulan daripada itu, peserta diajar praktikal memandikan jenazah yang betul bagi ikhwah dan akhwat.

Pengisian ketiga pula, berbentuk santai dengan Talk Show mengenai Identiti Azhari gandingan pasangan sejoli yang disampaikan oleh mutazawwijin Ustaz Bazli bin Zakariah dan Ustazah Hidayah bte mohd Rafe. Selesai sahaja Talk Show, Wacana tentang Ideologi telah disusun dengan tajuk “Satu Fikrah Satu Amal” bermula selepas solat Maghrib. Alhamdulillah, para peserta tertarik dengan penyampaian gandingan hebat oleh Ustaz Fikhry bin Hakim Bkan Taakhi Melaka iaitu Bkan Selangor dan Ustaz Syazwan bin Hamzah dari Bkan Wilayah Persekutuan. Wacana bertambah ceria apabila dikendalikan oleh moderator yang tidak asing lagi dalam kalangan ahli Melaka iaitu Ustaz Muhammad Zawawi bin Zainal Khan dan para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk mengajukan pesoalan pencerahan pada pusingan ketiga.

Akhir sekali, sebelum ADQ’15 menutup tirainya, pihak komuniti menyampaikan anugerah berbentuk cenderahati kepada peserta individu dan kumpulan yang menunjukkan komitmen yang baik sepanjang program dijalankan dari siri pertama hingga siri kedua. Bagi peserta terbaik di sebelah ikhwah adalah mahasiswa Jundullah bin Said, manakala di sebelah akhawat adalah mahasiswi Nur Syafiqah bte Nasir. Pihak komuniti juga akan menyediakan sijil penyertaan untuk semua peserta pada sesi kali ini bagi menunjukkan bukti dan penyertaan. Seusai sahaja penyampaian cenderahati, diadakan perasmian penutupan ADQ’15 dan perasmian pembukaan bulan “Thaqafah” yang dirasmikan oleh Penasihat BKKIMM sesi 14/15 Ustaz Muhammad Asyraf bin Alias. Akhir sekali, pihak komuniti Program Akademi Da’ie Qiyadatul Ummah (ADQ’15) siri 1 dan 2 berbesar hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang telah menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah merahmati dan memberkati kerja amal kita semua.

Disediakan oleh:
Setiausaha kerja,
Akademi Da’ie Qiyadatul Ummah 2015 siri 1 dan 2,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) 


2014/2015
  

No comments:

Post a Comment