Sunday, 23 August 2015

DAN KEPADA-NYA AKU KEMBALI

Dan Kepada-Nya Aku Kembali




Firman Allah SWT dalam al-quran yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka menyembah kepada-Ku.” – Surah az-Zariyat, ayat ke-56.

Sahabat-sahabat…

          Bukti-bukti kekuasaan Allah SWT disekeliling kita merupakan penafian kewujudan tuhan selain-Nya dan kita selaku hamba-Nya yang dikurniakan segala pemberian yang tidak ternilai, apakah bentuk balasan yang mampu dipersembah bagi menyatakan kesyukuran? Tidak lain melainkan melaksanakan segala tuntutan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW serta menghindari segala larangan-Nya. Maka dari itu, terdapat tujuan dalam kehidupan manusia di dunia ini. Kejarlah tawaran-tawaran yang Allah sediakan berbekalkan ‘modal’ yang kita dapat secara percuma sementara masih brrnafas. Jangan pula disebabkan percuma, diri alpa dan tidak menghargai sehingga diuji dengan ditarik nikmat-Nya lalu terpesong sehingga hilang arah daripada matlamat dan kebenaran hakiki.


        Firman Allah SWT dalam Surah az-Zariyat, ayat ke-57 yang bermaksud: “Aku tidak sekali-kali mengkehendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku”.


Sematkan di hati hanya Allah sebagai al-Ghayah (tujuan) dalam kehidupan. Justeru, niat merupakan penentu kepada amalan yang diterima Allah atau sebaliknya. Sebagaimana seorang pekerja yang melakukan tugasan yang diberikan oleh majikannya dengan sebaiknya demi meraih habuan yang ditawarkan. Semestinya dia akan berlumba-lumba melaksanakannya dengan penuh tekun agar menatijahkan hasil yang terbaik. Begitulah jika diibaratkan seorang hamba Allah. Jangan pula melaksanakannya sekadar melepaskan batok di tangga atau sekadar untuk mencukupkan syarat muslim sahaja kerana syuga itu kepunyaan mereka yang diberi rahmat daripada-Nya. Seseorang yang melakukan ibadat atas dasar semangat yang berkobar-kobar semata-mata pula akan berhenti melakukan ibadah tersebut atau melakukannya dengan sambil lewa apabila penat dan hilang sumber kekuatan dan peniup semangatnya.

Sahabat-sahabat...

            Ketuklah pintu hati sendiri. Bertanyalah pada diri. Adakah amalan seharian yang dilakukan sedari bangun tidur hingga kembali semula ke tilam empuk dilaksanakan mengikut perintah Allah? Sungguh menantikan hari esok yang belum pasti tiba merupakan suatu debaran. Sama ada bakal dijemput Allah ataupun masih sempat bertaubat dengan baki umur yang ada. Peringatan mampu sampai ke telinga kita. Akan tetapi perubahan hanya bermula daripada diri sendiri. Hanya makhluk yang memerlukan sepenuh pergantungan kepada Allah tanpa sebaliknya. Jika masih sombong dan ego, takbur dengan keupayaan yang hanya pinjaman, maka ingatlah hanya kepada-Nya tempat kita semua dikembalikan.


            Firman Allah SWT dalam Surat az-Zariyat, ayat ke-58 pula yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluknya), Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, Yang Maha Kuat Kekuasaan-Nya”.

Wallahu’alam.

Ayuh beramal kerana Ilahi.

Disediakan Oleh,
Ain Hanisah Binti Abdul Hannan
Naib Setiausaha Agung
(Timb. Unit Muhafazah & Pendaftaran )







No comments:

Post a Comment