Friday, 23 October 2015

SUKMA ’15 Mengerat Kebersamaan Anak-Anak Melaka Mesir

SUKMA ’15 Mengerat Kebersamaan Anak-Anak Melaka Mesir


20 Oktober 2015 – Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah berjaya mengadakan sebuah program unit yang diberi nama Sukan Kesenian Anak Melaka 2015 (SUKMA’15). Seramai hampir  100 peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Melaka  telah menyertai program ini yang dijalankan selama tiga hari. Bertemakan “Kebersamaan Inspirasi Kejayaan”, program ini bertujuan mengasah bakat sedia ada dalam diri peserta dan mencungkil bakat-bakat terpendam dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi baru. Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama anak Melaka di perlembahan Nil sama ada pelajar pengajian Islam mahupun pelajar Sains Perubatan.

14 Oktober 2015 : Aktiviti Indoor ikhwah dan pertandingan bola tampar dan bowling padang akhawat.

         Program tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula pada hari Rabu. Program bermula pada jam 7.00 pagi dengan aktiviti indoor bagi ikhwah yang diadakan di surau Rumah Melaka Sementara (RMS). Antara aktiviti yang dipertandingkan ialah catur, karom dan ping-pong. Sementara itu, acara outdoor bagi akhawat pula dijalankan di padang Sallab Az- Zahr’a dan dimeriahkan lagi dengan penyertaan daripada wakil bkan taakhi iaitu Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Pahang (BKMIP). Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Ketua Hewi, saudari Nursyazwani Bte Saibe. Antara acara yang dipertandingkan ialah bola tampar dan bowling padang manakala penyertaan daripada akhawat adalah sangat memberangsangkan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Pada jam 8.00 malam, program diteruskan dengan slot Bengkel Penulisan yang merupakan anjuran Unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM dengan kerjasama komuniti SUKMA’15 bertempat di sutuh RMS . Pengisian telah disampaikan oleh Mantan Timbalan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-Pelajar Perak Mesir (KPIPM), saudara Muhammad Amar Arif bin Ahmad Po’aad. Slot tidak terhenti dengan pengisian teori sahaja malah turut disusuli dengan Gerak Kerja Berkumpulan (GKB). Di samping itu, para peserta tidak melepaskan peluang untuk membentangkan hasil kerja masing-masing dan bertanyakan soalan. Program telah berakhir dengan jayanya pada jam 10.15 malam.

15 Oktober 2015 : Bengkel Penterjemahan serta Pertandingan Debat dan Pantun

Pada keesokan harinya jam 2.00 petang, program dimulai dengan siri kedua bengkel di bawah anjuran Unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM iaitu slot Bengkel Penterjemahan yang  disampaikan oleh saudari Ulfatun Nadzirah bte Tugiman Razak selaku Penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). Program ini adalah julung-julung kali diadakan di peringkat BKKIMM dan telah mendapat sambutan yang baik daripada mahasiswa dan mahasiswi Melaka. Tambahan pula, para peserta telah didedahkan dengan kaedah penterjemahan yang betul dan tepat serta menjalani latihan praktikal sepanjang pengisian berlangsung. Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi yang disempurnakan oleh Naib Setiausaha Agung BKKIMM, saudari Ain Hanisah Bte Abd Hannan.

Pada sebelah malam pula, telah berlangsungnya pertandingan berbalas pantun yang diadakan di surau bagi ikhwah manakala akhawat di tingkat tiga RMS. Melalui acara ini, setiap peserta berpeluang menonjolkan bakat masing-masing dalam kemahiran berbalas pantun dan mencambahkan idea. Sejurus selepas itu, suasana dihangatkan lagi dengan pertandingan debat ala parlimen yang dijalankan di sutuh RMS dan diadili oleh beberapa orang juri. Antaranya saudara Muhammad Khairul Fadhli bin Husin dan saudari Nurul Atiqah Bte Ahmad selaku Penasihat BKKIMM dan saudara Muhammad Yasin bin Awang selaku Mantan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan (BKWAMP). Pertemuan antara wakil ikhwah sebagai barisan kerajaan dan wakil akhawat sebagai barisan pembangkang membahaskan usul di pihak kerajaan iaitu “Anugerah undi lebih baik berbanding juri”. Suasana perdebatan menjadi rancak dengan hujah dan bidasan daripada kedua-dua belah pihak. Walaubagaimanapun, keputusan sama ada usul diterima atau ditolak akan diumumkan pada majlis perasmian penutup.

17 Oktober 2015 : Futsal Piala YDP BKKIMM

   Hari yang dinantikan - nanti oleh semua anak Melaka iaitu Futsal Yang Dipertua BKKIMM yang merupakan julung kali diadakan di peringkat BKKIMM. Permainan futsal tersebut melibatkan penyertaan tujuh pasukan yang terdiri daripada anak Melaka sendiri,wakil bkan taakhi dan pelajar sains kesihatan. Permainan bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 1.00 petang dimulai dengan ucapan pengarah dan Yang Dipertua BKKIMM seterusnya permainan pun bermula. Setelah semua pasukan beraksi mengikut pusingan liga, akhirnya pasukan Selangor B mengungguli kejuaraan diikuti Selangor A sebagai naib johan dan Fastaqim FC di tempat ketiga. Setelah itu, semua pasukan sempat bergambar sebelum bersurai.

         Sementara di bahagian akhawat pula diadakan aktiviti indoor sebagaimana yang dipertandingkan di bahagian ikhwah iaitu pertandingan catur,karom dan ping-pong telah dijalankan di surau RMS. Semua peserta mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan dan telah berlangsung dengan jayanya.

         Pada sebelah malam jam 6.30 petang, majlis perasmian penutup didahului pertandingan qasidah yang berlangsung di Dewan Darul Hasan, Hayyu Asyir yang melibatkan 4 buah kumpulan termasuk penyertaan daripada bkan taakhi. Setelah itu, majlis dimulai dengan ucapan pengarah SUKMA’15, saudara Abdul Wafi bin Abdul Aziz dan ucapan Yang Dipertua BKKIMM, saudara Ahmad Rabbani bin Ismail. Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian penutup yang disampaikan oleh saudara Syahid Syamil bin Ramli selaku Mantan Yang Dipertua Badan Kebajikan Mahasiswa/mahasiswi Pahang Mesir (BKMIP) sekaligus menyempurnakan gimik perasmian. Kemudian, penyerahan cenderahati kepada perasmi tanda kenangan yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKKIMM. Sesudah itu, penyampaian hadiah kepada peserta yang meraih kejayaan dalam pertandingan-pertandingan yang telah dianjurkan dan penyerahan piala pusingan Yang Dipertua BKKIMM kepada pasukan Selangor FC yang menjuarai futsal piala YDP sesi ini. Akhir sekali, majlis disudahi dengan tayangan video sepanjang program dan jamuan makan malam sebelum bersurai.

           Semoga dengan penganjuran SUKMA’15 pada tahun ini dalam mencapai matlamatnya iaitu mengeratkan ukhuwah dan mengerat kebersamaan dalam kalangan anak Melaka di samping melatih kemahiran dan mengasah bakat terpendam dalam diri setiap peserta. Tahniah diucapkan kepada barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pelaksana program yang bertungkus-lumus menjayakan program dan kepada individu yang membantu kelancaran program sama ada secara langsung atau tidak langsung.


“KEBERSAMAAN INSPIRASI KEJAYAAN”
‘Memartabat Keilmuan, Meribat Kesatuan”



Disediakan oleh,
Muhammad Amirul Fitri Bin Mazlan
Setiausaha kerja,
Sukan Kesenian Anak Melaka 2015 (SUKMA’15),
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM),
Sesi 2014/2015


No comments:

Post a Comment