Musim
peperiksaan kini kembali bertamu. Saban tahun, Bumi Mesir menyaksikan kegembiraan
dan kesedihan mahasiswa/wi Azhar setelah menatap keputusan peperiksaan
masing-masing. Ada yang melaungkan lafaz hamdalah bahkan tidak kurang
juga yang hanya mampu mengalirkan air mata tanpa bicara. Inilah realiti yang
perlu ditempuhi mahasiswa/wi Al-Azhar di mana terkadang sukar untuk
menjangkakan keberjayaan dan keberhasilan dalam keputusan peperiksaan.
Walhasil, teruskan berusaha sedaya mungkin dalam menuntut ilmu walau dalam apa
jua keadaan sekalipun kerana inilah amanah yang harus dipikul oleh setiap
penuntut ilmu di Perlembahan Nil ini yang perlu dilaksanakan supaya ianya dapat
menzahirkan identiti sebenar seorang mahasiswa Islam itu sendiri.
Mahasiswa/wi yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,
Sebagai hamba
Allah S.W.T yang menyandang amanah sebagai khalifah di muka bumi ini, kita
tidak terlepas daripada menerima anugerah ujian dan cabaran dalam hidup ini.
Hal ini, bagi menguji sejauh mana tingkat kehambaan dan nilai kebergantungan
kita kepada yang Maha Esa. Begitu juga
dalam konteks hamba tersebut sebagai seorang penuntut ilmu maka peperiksaan
merupakan salah satu bentuk penilaian dan tanda aras bagi menguji tahap
kefahaman individu tersebut dalam subjek-subjek yang dipelajari sama ada mampu
meneruskan ke marhalah seterusnya atau sebaliknya.
Dalam masa yang
sama, persediaan yang mantap dan rapi perlu disusun oleh semua individu
bergelar mahasiswa/wi. Jika dilihat, begitu banyak program-program pendidikan
yang telah disusun di peringkat Unit
Pendidikan BKKIMM sama ada berskala kecil mahupun besar. Antaranya ialah Senat
Fakulti, Mentor Mentee, Study
Group, Kelas Tutorial dan sebagainya. Semua program ini hendaklah disertai
dan dijayakan dengan penuh ketekunan dan optimis oleh semua anak Melaka supaya
ianya memberikan impak yang positif dalam pembelajaran sebagai persediaan
menghadapi peperiksaan kelak.
Mahasiswa/wi yang dikasihi sekalian,
Di samping
fokus terhadap kejayaan akademik, jangan pula dipinggirkan aspek-aspek lain
seperti hubungan sesama manusia dan komitmen terhadap persatuan. Hal ini kerana
seorang mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja dinilai baik daripada sudut akademiknya bahkan hubungannya
sesama manusia juga turut dititikberatkan. Selain itu, keikhlasan juga perlu
sentiasa subur dalam jiwa Mahasiswa/wi bahawa segala usaha dan tenaga yang
digembleng bukanlah sekadar untuk mengejar sehelai sijil bagi tujuan duniawi
semata, bahkan menjadikan keredhaan Allah S.W.T sebagai matlamat tertinggi
dalam setiap urusan terutamanya dalam menuntut ilmu.
Seiring
penekanan BKKIMM pada sesi kali ini iaitu aspek pendidikan, maka diharapkan
kepada semua anak Melaka khususnya agar dapat mempertingkatkan usaha dan fokus
kepada peperiksaan yang akan datang. Amalkan study smart di saat akhir
imtihan berbanding study hard bagi mengelakkan tekanan emosi dan perasaan
yang sepatutnya dielakkan pada saat-saat akhir ini. Lazimkan diri dengan
menghadiri program study group bawah kelolaan mentor masing-masing di
samping mengulangkaji secara bersendirian. Perlu diingatkan juga bahawa pembahagian
masa yang baik dan berkesan juga amat penting supaya kita dapat mengoptimumkan
segala usaha pada kadar yang terbaik di samping
kewajipan dan tanggungjawab lain tidak terabai.
Akhir sekali, pihak
Unit Pendidikan BKKIMM mengucapkan selamat menghadapi imtihan fasa satu yang
akan menjelang tidak lama lagi kepada semua anak Melaka khususnya. Semoga kita dapat memberikan sepenuh perhatian dan fokus
terhadap pembelajaran dan membuktikan kepada masyarakat bahawa Mahasiswa/wi
Mesir mampu menjadi qudwah hasanah dari aspek pendidikan dan syakhsiah serta
menyumbang manfaat kepada masyarakat apabila pulang kelak nanti.
“Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah”
‘BKKIMM Tetap di Hati’
Disediakan oleh :
Muhammad Amirul
Fitri Bin Mazlan
Timbalan
Setiausaha Agung
(Ketua Unit
Pendidikan),
Badan Kebajikan
Keluarga Islam Melaka Mesir
(BKKIMM) sesi
2015/2016
No comments:
Post a Comment