23 Januari 2016 : Satu
perjumpaan telah diadakan diantara wakil Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di Malaysia, saudara Muhammad
Hatin Bin Mohd Yusof bersama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Encik Mohd
Yusof Bin Abu Bakar pada 7 Januari yang lepas.
Perjumpaan tersebut bertujuan untuk
memaklumkan sesi pertukaran kepimpinan BKKIMM yang baru bagi sesi 2015/2016
selepas berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-28 pada 11 November
2015 yang lepas. Pemakluman ini saban tahun dilaksanakan bagi memastikan
hubungan dua hala antara BKKIMM dengan kerajaan negeri yang menaungi kesatuan
anak Melaka di Mesir ini terus dipererat dan memudahkan urusan perbincangan
yang berkaitan dengan segala aspek kebajikan pelajar Melaka yang berada di sini.
Semasa pertemuan ini, saudara Muhammad
Hatin telah menyerahkan dua buah proposal
cadangan kepada pihak MAIM. Proposal
yang pertama adalah cadangan penambahan kapasiti penghuni Wisma Seri Melaka
(WSM) yang telah disediakan oleh wakil setiap batch anak-anak Melaka Mesir, dan yang kedua adalah proposal
cadangan penambahan ruangan dapur menggantikan kafetaria di WSM. Antara tujuan
penyerahan proposal tersebut adalah bagi menjelaskan keadaan sebenar dan jalan
penyelesaian permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa/wi Melaka di Mesir
akibat kos sara hidup yang semakin meningkat dan kesan daripada kejatuhan mata
wang Ringgit Malaysia.
Kertas kerja ini diterima oleh Encik
Mohd Yusof Bin Abu Bakar sebagai cadangan kepada kerajaan negeri dan akan
dibawa ke meja perbincangan. Di samping itu, beliau juga memaklumkan akan
kehadiran delegasi kerajaan Negeri Melaka bagi merasmikan bangunan WSM yang
telah siap diperbaiki dalam masa yang terdekat. Maklumat lanjut berkaitan
perkara ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Perjumpaan tersebut diakhiri dengan
sesi bergambar diantara wakil BKKIMM bersama Setiausaha MAIM yang merupakan
wakil kerajaan negeri Melaka dan disertai penyerahan carta organisasi BKKIMM
sesi 2015/2016.
Untuk
akhirnya, peringkat Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir berharap
pertemuan seperti ini dapat diteruskan dan membantu dalam mencari solusi
terbaik bagi memastikan kebajikan dan
pendidikan anak-anak Melaka Mesir terus terjaga. Semoga usaha ini dinilai dan
dihisab oleh Allah SWT sebagai amal soleh serta diberi ganjaran sewajarnya.
“ Mahasiswa Berhikmah,
Bakti Dicurah “
“ BKKIMM Tetap Di Hati ”
Disediakan
Oleh :
Abdul Wafi Bin Abdul Aziz
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka
Mesir Sesi 2015/2016
No comments:
Post a Comment