Thursday 27 August 2020

[ MINDA PIMPINAN | EDISI 4 : ULAMA DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN ]


 MINDA PIMPINAN | EDISI 4 : ULAMA DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN 

   Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang mekar di jiwa dan mustahil dapat dilupakan di kotak ingatan anak jati Malaysia. Selaku rakyat yang bersifat patriotik dan cintakan tanah air pasti saban tahun mengenangkan peristiwa besar ini sebagai suatu kekuatan untuk meneruskan kedaulatan dan kemegahan bumi bertuah ini daripada cengkaman kotor para penjajah. 

Namun, yang paling kuat merasakan keistimewaan tarikh tersebut ialah mereka yang sempat merasai keperitan hidup apabila dijajah dengan kuasa dan campur tangan asing yang dahagakan segala 'harta' di Tanah Melayu ini. Mata kasar yang melihat penderitaan ini membangkitkan semangat golongan agamawan dan rakyat untuk memperjuangkan kedudukan agama dan nasib anak bangsa.


PENGHAYATAN MAKNA MERDEKA MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM

Maksud kemerdekaan yang sering berlegar dalam masyarakat umum kebiasaannya membawa erti kebebasan daripada penjajahan negara, bangsa, kebudayaan atau pemikiran. Manakala Islam menggariskan maksud kemerdekaan yang lebih luas dan benar yang didasari wahyu Ilahi.

1) Kemerdekaan adalah membebaskan diri daripada kebergantungan kepada makhluk kepada mengabdikan diri hanya kepada Tuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
           
Maksudnya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku."

2) Kemerdekaan juga membebaskan diri daripada kezaliman fahaman yang salah kepada keadilan Islam yang syumul. Bersesuaian dalam firman-Nya:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya."

(Surah Ali-Imran ayat 19)

Martabat Islam yang tinggi memandu umatnya meletakkan agama sebagai simbolik utama pada identiti dan cara hidup yang menyeluruh termasuklah mewarnai kemerdekaan dalam diri dengan tidak duduk di bawah penaklukan ajaran selain Islam. 


KESEDARAN PARA ULAMA MENGGABUNGKAN DIRI DALAM PERJUANGAN

Kedatangan awal Islam telah dilakarkan oleh sejarah pada awal abad ke-20 di Tanah Melayu merupakan faktor utama perkembangan Islam di seluruh masyarakat ketika itu. Begitulah permulaan gerakan Islam yang berusaha untuk menyebarkan syiar agama dengan cara berdakwah kepada orang ramai. Maka, pendirian ulama ketika itu bertegas untuk memperjuangkan hak umat Islam agar agama mampu berlayar tanpa sekatan ombak daripada musuh Islam yang cuba menghapuskan pelayarannya. 

Identiti ulama telah termaktub dalam surah Fathir ayat 28:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلْأَنْعَٰمِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهُۥ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَٰٓؤُا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
 
Maksudnya: "Dan demikian pula di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang pelbagai warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

Ayat tersebut menunjukkan keperibadian mukmin yang berilmu dan beramal akan sentiasa mentaati perintah dan menjauhi larangan-Nya. Lantaran itu, gerak kerja amar makruf (mengajak kepada kebaikan) dan nahi mungkar (meninggalkan dosa) memerlukan penyebaran kefahaman agama kepada masyarakat sejagat. 

Usaha-usaha ke arah pendekatan ilmu agama melalui kebebasan umat Islam dalam menjalani kehidupan dengan ajaran agamanya telah dilakukan sejak zaman para Nabi dan diteruskan oleh para ulama untuk membebaskan tanah air dari porak peranda kerosakan dan kesesatan. Kesinambungan daripada dalil konkrit dan ilmu yang mendalam pada diri para ulama terdahulu, ia telah pun mencetuskan kesedaran untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada penguasa asing.


BESAR JASA, NAMUN KURANG DIDENDANG DI TELINGA ANAK BANGSA, SIAPA MEREKA ?

Kebenaran pahit yang perlu ditelan bahawa tokoh-tokoh ulama tidak disajikan sebagai salah satu barisan hadapan dalam mencapai kemerdekaan. Bahkan ada sebahagian melabelkan perjuangan mereka sebagai pengkhianatan kepada tanah Melayu pada ketika itu. Kebenaran terlindung disebalik kebatilan yang dirancang sendiri oleh penjajah dan pengkhianatan tali barut yang bimbang dengan semangat para ulama dan anak watan yang mampu menterbalikkan kuasa penjajahan mereka.

1) Tok Janggut atau nama sebenar Tuan Guru Haji Hassan Panglima Munas.

Merupakan tokoh agamawan yang melibatkan diri dalam gerakan siasah ketika berlakunya campur tangan British dalam hal ehwal adat Melayu-Islam di Kelantan melalui Perjanjian Bangkok tahun 1909. Kesan daripada ketidakadilan dalam dasar British yang mengenakan cukai telah menimbulkan klimaks penentangan antara Tok Janggut bersama pengikutnya dengan pihak British. Pada 24 Mei 1915, Tok Janggut dan para pengikutnya telah menyerang British di Pasir Puteh, namun beliau telah gugur syahid dalam serangan tersebut. 

2) Haji Muhammad Yusuf atau jolokan masyhurnya ialah Tok Kenali. 

Beliau dilahirkan dalam kalangan keluarga Patani di Kampung Kubang Kerian. Semangat perjuangannya banyak dilontarkan melalui penulisan. Antara majalah yang dikarang beliau ialah "Pengasuh" dan "al-Hikmah".

3) Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong.

Merupakan tokoh ulama dari Terengganu yang menonjolkan perjuangan dan membela nasib rakyat Terengganu yang dituntut untuk membayar cukai setiap kali membuka ekar tanah. Beliau juga merupakan tokoh ilmuwan dan pendakwah yang telah menyebarkan ilmu dan dakwahnya di merata tempat seperti di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah dan Jambi.

4) Kiyai Haji Salleh atau Haji Mohd Salleh Abdul Karim.

Merupakan anak kelahiran Muar, Johor dan pelopor perjuangan Melayu Muslim dalam menentang kezaliman komunis yang dinamakan sebagai Bintang Tiga. Penjajahan pihak komunis ini berlaku apabila Jepun telah dikalahkan oleh British dan peristiwa tersebut dijadikan peluang dalam menjalankan perancangan kekejaman dan penindasan rakyat tempatan yang dianggap sebagai tali barut Jepun. 

Kiyai Haji Salleh dan para pengikutnya memulakan langkah serangan di kubu Bintang Tiga di sekitar Muar dan Batu Pahat dengan hanya berbekalkan senjata parang tetapi dengan semangat yang jitu dalam mempertahankan kedudukan agama dan bangsa, ianya telah menyedarkan pihak musuh untuk tidak merendah-rendahkan kekuatan masyarakat Melayu Muslim.


 DI SEBALIK TIRAI TARIKH 31 OGOS 1957

Tarikh bukan sebarang tarikh. Pemilihan tarikh tersebut dengan asbab kebijaksanaan Perdana Menteri Pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang telah meminta nasihat dan pandangan seorang ulama dan cendekiawan Melayu iaitu Sheikh Abdullah Fahim bin Sheikh Ibrahim sebelum beliau berangkat ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak British. 

Keunggulan Sheikh Abdullah Fahim dalam bidang Falak dan pengiraan hisab berdasarkan takwim hijrah telah menatijahkan pemilihan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Malaysia. Sumbangan Sheikh Abdullah Fahim tidak terhenti dalam keilmuan agama bahkan beliau juga telah melibatkan diri dalam bidang politik untuk menentang Malayan Union di Seberang Prai. Beliau meninggal dunia pada 28 April 1961 sewaktu berusia 91 tahun.


Akhirnya, kepelbagaian agama, budaya dan bangsa bukan alasan untuk berbalah bahkan ia adalah kekuatan perpaduan demi kelangsungan kedaulatan. Keunikan Malaysia tidak akan dapat dilihat di negara-negara lain. Lain negeri, lain dialek. Lain agama, lain cara hidupnya. Lain bangsa, lain bahasa. Setiap perbezaan itu mewarnai setiap sudut kemeriahan hidup dalam sebuah negara yang pelbagai latar belakang dan warna kulit. Jika bukan kita yang menghargai, mahu diharapkan siapa? Jika bukan kita yang menjaga, adakah kemerdekaan bumi Malaysia ini hanya sekadar nama?

حب الوطن من الإيمان

Kecintaan kita pada negara bukti iman, telusuri kembali sirah yang menceritakan bahawa Nabi SAW juga amat menyanjungi tanah kelahiran baginda iaitu Mekah Al-Mukarramah. Sakit dada Baginda ketika mana meninggalkan bumi berkat itu saat berlakunya penghijrahan umat Islam ke Madinah. 

Begitulah juga kita selaku mahasiswa sepatutnya menzahirkan rasa sayang dengan menjaga maruah diri, agama dan bangsa agar imej negara kita dipandang tinggi oleh mata dunia. Isu-isu yang boleh merobek nama Malaysia seperti insiden terbalik Jalur Gemilang dan fitnah rasis yang diapi-apikan oleh pihak luar tidak boleh hanya dipandang sepi seolah-olah ia bukan perkara yang seharusnya dijaga rapi. 

Pejamkan mata dan fikir sejenak akan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para pahlawan, pimpinan dan ulama terdahulu yang tidak dapat dibalas jasa-jasa mereka melainkan dengan menghormati dan menghargai keringat dan sumbangan besar mereka.

Kegigihan dan jasa mereka yang sanggup menggadaikan nyawa demi menyahut seruan jihad dalam mempertahankan keizzahan Islam dan maruah bangsa perlu diambil iktibar kepada generasi ke generasi agar sejarah ini sentiasa dikenang dan tidak tenggelam dalam ingatan. Semoga Allah memandang dan menerima setiap usaha yang dilakukan para pejuang tanah air ini dan menempatkan mereka dalam kalangan para syuhada. Wallahua'lam.
____________

"Professionalisme Mahasiswa, Membina Ilmuan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu

Disediakan oleh : 
Rabiatul Adawiyah binti Harun
Timbalan Ketua Unit Perumahan BKKIMM sesi 2019/2020

No comments:

Post a Comment