Wednesday 30 September 2020

[ AGENDA KEBAJIKAN ANAK-ANAK MELAKA MESIR DIPERKUKUH BERSAMA KETUA MENTERI & KERAJAAN NEGERI ]




SERI BENDAHARA, MELAKA -  17 September 2020 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2019/2020 telah mengadakan Kunjung Hormat bersama Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman bin Md. Ali di Seri Bendahara, Melaka baru-baru ini. Kunjung hormat yang diketuai oleh wakil pimpinan yang berada di Malaysia iaitu saudara Sharul Ikmal bin Rahim selaku Timbalan Setiausaha Agung (Ketua Unit Pendidikan) BKKIMM sesi 2019/2020 dan beberapa wakil pimpinan yang lain telah disambut baik oleh Ketua Menteri. Sehubungan itu, tujuan utama diadakan kunjung hormat ini adalah untuk membincangkan berkaitan kebajikan anak-anak Melaka di Perlembahan Nil khususnya dalam tempoh COVID-19 ini di samping mengeratkan hubungan baik antara BKKIMM dan Ketua Menteri Melaka.

     Wakil pimpinan telah membentangkan beberapa laporan aktiviti di peringkat BKKIMM kemudian diikuti dengan pembentangan berkaitan status terkini COVID-19 serta keadaan semasa anak-anak Melaka di Mesir. 

Antara perkara lain yang dibangkitkan dalam pertemuan dua hala tersebut adalah :

1. Pelajar yang ingin membuat perpindahan kredit daripada Universiti Al Azhar ke Universiti di Malaysia.

2. Status semasa pinjaman TAPEM dan penerima Dermasiswa bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran di universiti di Malaysia atas faktor kewangan dan COVID-19. 

3. Cadangan permohonan bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi menampung perbelanjaan untuk pulang ke Mesir. 

   Perbincangan tersebut telah disambut baik oleh Ketua Menteri. Beliau menyatakan bahawa perpindahan kredit bergantung kepada setiap universiti yang dipilih, manakala status pinjaman TAPEM dan penerima Dermasiswa bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran di Malaysia adalah atas perbincangan bersama pihak TAPEM. BKKIMM turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada pihak Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas usaha dan bantuan dalam menangani isu COVID-19 khususnya sumbangan COVID yang telah diberikan kepada anak-anak Melaka di Mesir.




   Pertemuan dua hala yang baik antara pimpinan dengan Ketua Menteri Melaka ini diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada wakil pimpinan iaitu saudara Sharul Ikmal bin Rahim atas kesudian menerima kunjung hormat daripada BKKIMM seterusnya menyerahkan cenderahati sebagai tanda jalinan yang baik antara BKKIMM dan Ketua Menteri Melaka.

   BKKIMM sentiasa optimis dengan agenda kebajikan, pendidikan dan keselamatan anak-anak Melaka di Perlembahan Nil ini dan komited dalam memberikan kerjasama kepada semua pihak terutamanya kepada Kerajaan Negeri Melaka. Semoga hubungan yang baik ini dapat diteruskan dan diperkukuh lagi pada masa akan datang.

"Professionalisme Mahasiswa, Membina Ilmuan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu

Disediakan oleh : 
Jabatan Setiausaha Agung, 
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir, 
sesi 2019/2020

No comments:

Post a Comment