Saturday 3 October 2020

[ MINDA PIMPINAN | EDISI-6 : NORMALISASI ARAB-ISRAEL, SATU MALAPETAKA ]

 

MINDA PIMPINAN | EDISI-6 : NORMALISASI ARAB-ISRAEL, SATU MALAPETAKA 


Firman Allah SWT;

(۞ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلۡیَهُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰۤ أَوۡلِیَاۤءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضࣲۚ وَمَن یَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِینَ)

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

[Surah Al-Ma'idah : 51]

1) NORMALISASI

Normalisasi secara umumnya adalah menukarkan suatu keadaan yang umum diketahui tidak normal menjadi normal. Secara prosesnya, ia perlu didirikan atas beberapa peringkat atau fasa yang bersifat skala kecil. Jika tidak, ia (normalisasi) tidak akan berlaku, bahkan akan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk.

Dalam menganalisa topik perbahasan ini (Normalisasi Israel), memetik idea Dr. Yusof Kamil Ibrahim, Anggota Perisikan Palestin: "Pengiktirafan kewujudan negara Israel seperti negara lain serta menjalinkan hubungan secara realiti dalam pelbagai aspek seperti diplomasi, ekonomi hingga seolah-olah Israel sebahagian dari masyarakat antarabangsa yang sah.

2) DRAMA BERSIRI MENUJU 'PAX JUDAICA'

Menurut analisa, strategi normalisasi Israel dimulakan dengan Dasar Pecah & Perintah. Perjanjian Sykes-Picot yang dimeterai pada 1916 merupakan pemetaan baru negara Arab sehingga menyaksikan kekuatan umat Islam hilang. 

Maka, benarlah firman Allah SWT;

وَأَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفۡشَلُوا۟ وَتَذۡهَبَ رِیحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

[Surah Al-Anfal Ayat 46]

Setelah negara dan politik umat Islam dicorakkan dengan pemetaan baru maka mudah untuk zionis bertindak. Negara-negara umat Islam berhadapan zionis secara sendirian bukan dalam satu kelompok kekuatan.

Negara yang cuba bangkit untuk menentang Israel akhirnya kecundang. Seterusnya, perjanjian Camp David akhirnya termeterai pada 1979 antara Mesir dan Israel. Perjanjian itu merupakan titik awal proses normalisasi berjalan.

Tidak cukup dengan itu, drama bersiri bersambung kepada episod yang lebih menyakitkan umat Islam. Muncul pula negara-negara yang mengaku mempertahankan Islam demi umat sejagat, namun bersahabat karib pula dengan Israel.

Maka, termeterailah perjanjian 'The Deal of The Century' pada 28 Januari 2020 dan disusuli dengan pengakuan beberapa negara arab, UAE dan Bahrain yang memberi sokongan kepada pengukuhan negara haram itu. Demi menutup kesalahan yang dilakukan, mereka menyatakan perlakuan berkepentingan mereka itu, dilakukan atas dasar perdamaian.

Namun, dalam episod yang sama, babak pembantaian umat Islam di Palestin terus disaksikan dan ditontonkan oleh seluruh dunia. Di manakah dasar perdamaian yang dilaungkan?

Dalam menjayakan agenda membina Israel Raya (Pax Judaica) serta melibatkan beberapa negara Arab, ia sebenarnya disebabkan oleh pelbagai sudut dalam kepentingan kerangka keselamatan, diplomatik, perniagaan dan lain-lain.

3) PENJUAL AGAMA DEMI DUNIA

Hangat diperkatakan, baru-baru ini beberapa negara arab yang disifatkan sebagai pengkhianat umat Islam sudah menjalin hubungan rapat dengan negara haram Israel. Melalui presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, hubungan ini sebenarnya akan membuka jalan bagi meluaskan lagi kawasan taklukan negara haram Israel.

Jelas bahawa negara yang menjalinkan hubungan baik dengan musuh Allah tersebut akan sama dapat laknat daripada Allah SWT, seperti firman Allah SWT pada Surah Al Maidah ayat 51 yang disebut di atas.

Dari satu sudut yang lain jika difikirkan, mengapa Israel yang dikepalai Netanyahu semakin berani untuk mempamer lagaknya? Sudah tentu ia disebabkan Amerika yang sudah menjadi rakan sepenjenayah bagi negara haram itu.

Tarikh 6 Disember 2017 sebagai bukti menyaksikan bagaimana Amerika yang diwakili presidennya, Donald Trump menjadi rakan sepenjenayah bagi Israel dalam membuat pengakuan bahawa Baitul Maqdis adalah sebagai ibu negara Israel.

Israel dan Amerika disifatkan oleh Richard Folk yang diterbitkan oleh al Jazeera sebagai “Gengster Geopolitik”.

4) ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN

Setiap masalah pasti ada penyelesaian. Dalam merungkai permasalahan konflik normalisasi Israel, Islam sudah menggariskan panduan agar jangan sesekali menjalinkan hubungan baik dengan golongan yahudi (baca; negara haram Israel) dalam kerangka memajukan negara bangsa.

Bahkan lebih malang, muncul pula cendekiawan Islam yang menyatakan bahawa hubungan baik dengan Israel pernah dijalinkan oleh Rasullullah SAW suatu ketika dahulu, demi menutup kedajjalan 'pembekal periuk nasi' mereka.

Realiti hari ini jelas bercanggah dengan situasi di zaman Baginda SAW yang membolehkan Baginda SAW mengadakan hubungan dengan Yahudi di Madinah. Hari ini, umat Islam di Palestin dibantai oleh tangan-tangan kotor Yahudi dan kemudian kalian dengan selamba bersalaman dengan tangan yang dilumuri darah saudara kamu sendiri!

Akhir sekali, sebagai umat Islam kita perlulah bersatu dalam mewujudkan keamanan sejagat. Hari ini umat Islam lemah bukan kerana musuh kita kuat, tetapi disebabkan kita tidak bersatu. Bersatulah atas dasar akidah yang murni dan jangan berbalah disebabkan polemik khilafiyyah.



"Professionalisme Mahasiswa, Membina Ilmuan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu

Disediakan oleh : 
Abdul Mujib bin Othman
Ketua Unit Dakwah BKKIMM sesi 2019/2020

No comments:

Post a Comment