Saturday 5 March 2022

[ MINDA MAHASISWA |EDISI-2: "INTEGRITI ILMUAN: ILMU MEMBAWA MANUSIA MENGENAL KEBENARAN" ]


 



"INTEGRITI ILMUAN: ILMU MEMBAWA MANUSIA MENGENAL KEBENARAN"


بسم الله الرحمن الرحيم

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم

 

🔷Ilmu Membawa Manusia Mengenal Kebenaran.

Tuntutan wahyu ke atas manusia untuk belajar adalah untuk membebaskan manusia dari kegelapan yang menuruti nafsu yang jahil. Manusia tidak hanya disuruh belajar dengan hanya menghafal kalam apa yang dipelajari namun buta kebenaran.

Sebab itu, ada beza justifikasi belajar antara wahyu Islam dengan Barat. Belajar adalah amalan bagi matlamat mengenali Allah dan memberikan hak-hakNYA serta menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.

Belajar namun buta kebenaran adalah sama sebagaimana pihak pendeta yang dicela oleh Allah SWT dengan gambaran yang hina iaitu keldai yang memikul kitab di atas badan sahaja.

 

Firman Allah SWT :

 

(مَثَلُ ٱلَّذِینَ حُمِّلُوا۟ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ یَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ یَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِینَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِینَ)

 

Maksudnya :

(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

[Surah Al-Jumu'ah 5]

 

🔷Ilmu Imam Kepada Amal, Beramal Tanda Berilmu.

  Kemuliaan ilmu adalah menjadi imam kepada amal. Namun tidak memadai dengan hanya sekadar menyebut ilmu tanpa membuktikan diri berilmu melainkan dengan beramal dengan apa yang dipelajari menurut kebenaran.

  Mengapa tidak diambil pengajaran para Rasul? Mereka adalah manusia pilihan Allah yang diberikan ilmu tertinggi kerana diberi wahyu yang tiada manusia lain yang dapat menerima wahyu melainkan hanya para Rasul.

  Sekalipun para Rasul menerima ilmu tertinggi , para Rasul dirakamkan sirah mereka dengan beramal, berjuang dan melakukan liku-liku perjuangan sehingga ada sebahagian mereka yang terkorban. Melihat kepada teladan para Rasul ini, jadi mengapa kita hanya mengaku belajar ilmu tetapi tidak membuktikan berilmu dengan beramal.

  Justeru, orang berilmu adalah memastikan diri mereka berada di atas jalan kebenaran, bukan hanya bercakap apa itu ilmu, namun tidak mengenali kebenaran apatah lagi berada di atas kebenaran. Tidak lain adalah beramal tanda berilmu dan berada pada pihak yang benar.

 

Firman Allah SWT :

 وَلِیَعۡلَمَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَیُؤۡمِنُوا۟ بِهِۦ فَتُخۡبِتَ لَهُۥ قُلُوبُهُمۡۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهَادِ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟


 Maksudnya :

Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus. - [Surah Al-Hajj 54]

 

🔷Belajar Tetapi Tidak Nampak Kebenaran Adalah Bala.

  Amat malang jika belajar namun hanyut dalam kebatilan atau kesamaran sehingga gagal membezakan mana satu yang benar atau tidak. Jelas suluhan "furqan" iaitu pembeza dari ibu segala ilmu iaitu al Quran masih belum difahami dengan jelas.

  Jika hanya berseronok berbicara kepada apa dalam ilmu namun gagal memahami ke mana ilmu yang dipelajari maka ia belum mencapai hakikat ilmu yang bermanfaat. Sebab itu, Imam al Ghazali memberikan kesedaran bahawa pentingnya belajar ilmu yang bermanfaat, makna kata bukan sekadar "aku dah belajar" tetapi tidak tahu ilmu tadi bermanfaat atau tidak.

  Hendak tahu ilmu bermanfaat atau tidak ialah mengenali dan mengikut kebenaran. Kadang kala segelintir yang mendakwa mereka belajar namun hakikatnya hanya bermain-main sahaja dengan istilah yang tidak berkesudahan.

  Sebab itu, Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi di dalam bukunya yang menyeru perubahan dalam keadaan terpimpin seperti dalam judul bukunya "as Sohwah al-Islamiyyah" .

  Sebagaimana yang dikritik dalam kitab tersebut ialah :

🔸 soal tongkat khatib sewaktu berkhutbah. Ada yang mengukir bentuk pedang dari kayu, jadi apa fungsinya? Ia tetap kayu sekalipun pedang. Maka apa kehendak sebenar kepada tongkat khatib mestilah jelas bukan sekadar bahas apa itu tongkat.

🔸soal perbahasan panjang mengenai menyimpan janggut sehingga ada yang keras dalam pandangan sehingga mengharamkan cukur janggut dan dibiarkan panjang tanpa diurus. Maka di mana nilai kekemasannya? Adalah imej Islam hanya pada janggut yang panjang atau...?

 

  Akhirnya belajar dan bertelagah pada perkara yang tidak membawa kebenaran. Hanya bercakap itu dan ini, dalil yang banyak hanya dihafal dan ditutur kembali tanpa tahu fokus pendalilan dan manhaj dalam berhujah. Umpama burung kakak tua yang menghafal tetapi tidak mengerti sedikit pun. Ia hanya burung kakak tua!

  Kesannya nanti umat Islam tidak kenal kebenaran tetapi hanya berseronok mendengar "celoteh" hafalan, itu tidak termasuk lagi jenis penglipur lara yang entah ke mana halatuju apa yang hendak disampaikannya.

 

🔷Perlukan Peringatan, Supaya Tiada Penyakit Buta Kebenaran.

  Kritikan dan nasihat seumpama ini bukan tidak pernah diberikan oleh para ulama terdahulu, malah terlalu banyak kerana mahu memastikan justifikasi belajar dalam Islam adalah berbeza dan tidak sama dengan orang kafir dan gerakan orientalis.

Belajar mestilah membawa diri kenal kebenaran. Antara nasihat yang ada diberikan ialah :

1. Imam al Ghazali kritik terhadap kumpulan manusia yang asyik kepada perbahasan cabang fiqh sehingga abai tanggungjawab fardhu kifayah yang menjadikan umat Islam bergantung pada orang kafir dalam urusan yang diabaikan.

2. Kitab yang ditulis oleh Syeikh Abu Hasan Ali an-Nadwi berkenaan "kerugian alam dengan kemunduran umat Islam". Apabila umat Islam tidak yakin dan beramal dengan Islam itu sendiri kesannya terpalit pada dunia yang akhirnya dirosakkan oleh ideologi selain Islam.

3. Syeikh Abdul Qadir Audah yang menulis buku "Islam di antara Kelemahan Ulama dan Kejahilan Umat" menjelas beberapa kategori kumpulan yang digelar ulama bagi membezakan justifikasi ulama yang sebenar dengan keilmuan dan amalan yang sahih menurut syarak membimbing ummah.

4. Dr Ali al Sallabi dalam bukunya yang menceritakan "Kebangkitan dan Kejatuhan Uthmaniyyah" antara puncanya apabila golongan agamawan Islam hanya sibuk dan hanyut dalam ilmu yang sudah sedia ada tanpa membincangkan soal isu semasa menyedarkan umat bahaya serangan musuh dan pemikiran ideologi luar.

 Hakikatnya banyak lagi, yang boleh dicari dan dikaji lagi. Justeru, dalam belajar kena tahu apa definisi belajar dan justifikasi yang dikehendaki darinya. Jangan jadi burung kakak tua yang mampu hafal namun tidak mengerti. Dan jangan juga menjadi umpama keldai yang memikul kitab yang banyak namun tiada manfaat.

 

Pesan seorang guru :

" Ummat hari ini kebanyakannya telah ditarik nikmat furqaniyah iaitu kemampuan dalam membezakan antara hak dan batil, antara benar dan salah, antara baik dan buruk, sehingga para ulama pun tidak terkecuali, melainkan hamba-hamba Allah yang mendapat peliharaan Allah SWT. Maka perbanyakkanlah bertaubat dan beristighfar, banyakkanlah membaca al-quran dan berselawat, dan banyakkanlah berdoa untuk diri sendiri dan untuk ummat Nabi Muhammad SAW ."

Semoga Allah memberikan kita semangat untuk terus belajar dan membimbing orang lain mengenali kebenaran dan direzekikan istiqamah berada atas jalan kebenaran.

 

Wallahu A'lam.

 

Sharul Ikmal Bin Rahim

Graduan Kuliah Syariah Islamiah,

 Universiti Al-Azhar, 

Kaherah, Mesir.

Aktivis BKKIMM

No comments:

Post a Comment