Wednesday 25 May 2022

[ MINDA MAHASISWA | EDISI 3 : "BICARA SEJARAH: MENELADANI IBRAH KEJATUHAN KHILAFAH" ]




"BICARA SEJARAH:

MENELADANI IBRAH KEJATUHAN KHILAFAH"



Firman Allah SWT dalam Surah al- Ma’idah ayat 3:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَٰمَ دِينًا ۚ فَمَنِ ٱضْطُرَّ فِى مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

 

Maksudnya: Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

    Pembentukan kerajaan Khilafah Uthmaniyah merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Khilafah Uthmaniyah telah mengalami pasang surut. Pada satu sudut, dapat dilihat sebuah sistem politik yang diwarisi dari Kerajaan Turki Saljuk dan mengalami perkembangan yang gemilang dan akhirnya mengalami kemerosotan.

    Pada proses keruntuhannya, Khilafah Uthmaniyah merupakan wilayah yang besar meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika. Namun, akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam di sekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Khilafah Uthmaniyah.

    Antara faktor yang membawa kejatuhan empayar ini adalah disebabkan beberapa aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam kerajaan. Justeru kelemahan-kelemahan ini telah mendorong kepada keruntuhan empayar Khilafah Uthmaniyah.

    Faktor politik mengalami kemerosotan akibat kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah. Umum mengetahui bahawa Khilafah Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti. Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan pemerintah. Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya adalah berdasarkan kekuatan. Kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam pemerintahan selepas kemangkatan Sulaiman al-Qanuni dan mengakibatkan keruntuhan empayar Khilafah Uthmaniyah. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyah.

    Kelemahan dalam mengurus ekonomi merupakan punca kepada tercetusnya kemerosotan dalam kerajaan Khilafah Uthmaniyah antaranya pelantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan dan perdagangan yang tidak sistematik menyebabkan kejatuhan empayar Khilafah Uthmaniyah. Selain itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki. Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju kejatuhan.

    Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniyah. Di samping itu, keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat, tahayyul, dan amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar. Jelaslah bahawa permasalahan sosial yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Khilafah Uthmaniyah.

    Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Khilafah Uthmaniyah. Kemajuan aspek ilmu pengetahuan telah dicapai Eropah lalu mendorong perluasan kuasa atau imperialisme Barat berlaku. Gerakan-gerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar Khilafah Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Khilafah Uthmaniyah akibat daripada saingan kuasa-kuasa Eropah.

Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal Ataturk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.


KESAN-KESAN TERHADAP NEGARA ISLAM

    Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam kerajaan Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan. Hal ini telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Di samping itu, pemodenan Kerajaan Turki telah menjadi ikutan negara-negara Islam yang lain dan akhirnya kebudayaan Barat yang menguasai telah menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Isl

Tuntasnya, sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Khilafah akibat masalah dalaman dan luaran yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Oleh itu, kita selaku mahasiswa Islam perlu untuk melibatkan diri dalam satu kesatuan Islam dan mengukuhkannya kerana kesatuan merupakan tunjang kekuatan umat Islam. Kita juga harus menggunakan sistem Islam yang telah disyariatkan oleh Allah kepada hambanya dalam segala aspek seperti ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Kita juga perlu menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran dan berusaha membangkitkan semula institusi khilafah sehingga Islam kembali terbilang.

 

Nurul Ashikin binti Razali

Timbalan Ketua Unit Ekonomi (Timbalan Ketua Unit Perumahan) BKKIMM sesi 2021/2022

 


No comments:

Post a Comment