Monday 23 March 2009

Kursus Aplikasi Adobe Photoshop (Asas)

KAHERAH, 23 Mac - Unit Penerangan dan Penerbitan (UPP) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2008/2009 telah mengadakan kursus kemahiran aplikasi komputer Adobe Photoshop (Asas) yang bertempat di Dewan Mu’allim, Wisma Melaka, kelmarin.

Program ini telah disertai seramai 31 orang ahli BKKIMM; 10 ikhwah dan 21 akhawat, yang mana mereka terdiri daripada pelajar bidang Pengajian Islam dan juga Perubatan.

Antara tenaga pengajar yang diundang bagi menjayakan program ini adalah Ust. Ahmad Naim bin Mazlan selaku Ketua Unit Teknikal dan Rakaman (Negeri Sembilan), Ust. Mohd Khalid bin Rahmat selaku Timbalan Ketua Unit Teknikal dan Rakaman (Negeri Sembilan) dan Ust. Mohd Aizalfitri bin Hasyim selaku Designer (Negeri Sembilan).

Slot pertama yang merupakan pendedahan kepada kegunaan serta kepentingan aplikasi grafik dalam kerja-kerja bepersatuan telah dikendalikan oleh Ust. Mohd Khalid. Slot kedua yang melibatkan cara-cara menggunakan aplikasi Adobe Photoshop yang betul telah dikendalikan oleh Ust. Ahmad Naim. Slot seterusnya dikendalikan oleh Ust. Mohd Aizalfitri yang mana beliau telah menerangkan tentang kerja-kerja sebagai seorang designer.

Program bertambah menarik apabila para peserta diberi peluang mempraktikkan kemahiran menggunakan aplikasi Photoshop serta mempamerkan daya kreativiti masing-masing menerusi pembikinan banner. “Peserta di kalangan akhawat berasa seronok dengan program ini,” akui Norsyuhada, salah seorang peserta. Hasil kreativiti para peserta kemudiannya dikupas dan dikomen bagi menambah baik lagi kemahiran masing-masing.

Program diteruskan lagi dengan slot penerangan membuat banner, poster dan tag nama Ad-hoc program mengikut piawaian standard BKKIMM yang dikendalikan sendiri oleh Ketua UPP BKKIMM, Ust. Muhammad Shukri ‘Ilmi bin Ismail. Beliau menekankan agar design yang dihasilkan perlu memberi keutamaan kepada jelasnya maklumat yang hendak ditampilkan. Beliau juga mengambil kesempatan menunjukkan serba sedikit teknik retouch image kepada peserta.

“Para peserta (akhawat) sangat teruja dan sentiasa memberi komitmen sepanjang program berlangsung. Terima kasih kepada semua tenaga pengajar dan barisan kepimpinan BKKIMM yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga kita semua dapat memanfaatkan kemahiran yang ada sekaligus menyumbang bakti dalam arena dakwah, Insya Allah,” ujar Timbalan Ketua UPP BKKIMM.

Program berakhir pada jam 3.30 petang dengan penyampaian cenderahati daripada pihak BKKIMM kepada tenaga pengajar yang dijemput.



Klik di sini untuk galeri gambar