Monday 27 August 2012

Kenyataan Rasmi Berkenaan Isu BKPJM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji dan puja hanya selayaknya bagi Allah yang bersifat dengan penuh kesempurnaan yang maha berkuasa ke atas setiap sesuatu.
Selawat dan salam sentiasa tercurah keduanya ke atas penghulu sekalian nabi dan rasul, serta semua umat yang mengikuti ajaran baginda sehingga Hari Akhirat kelak.

Firman Allah bermaksud :
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiar mengatakan : 'kami telah beriman', sedangkan mereka tidak diuji ( Al-Ankabut : 2 )

Telah menjadi asam garam dalam berjuang bahawa setiap pejuang akan ditimpa kesulitan dan diuji oleh Allah. Sehinggakan para nabi dan rasul, selaku makhluk yang paling mulia kedudukan mereka di sisi Allah juga diuji dengan ujian yang maha dahsyat.

Memang benarlah bahawa setiap kebaikan dan dakwah yang dibawa tidak lekang daripada tangan-tangan jahat musuh yang sentiasa dengki dan tidak senang dengan perkara baik tersebut. Sejarah terdahulu memperlihatkan bahawa setiap perkara kebenaran pasti akan ada batil yang menentangnya.

Hari ini kita melihat keluarga kita daripada BKPJM sedang diuji dan mendapat tentangan di dalam gerak kerja dakwah mereka. Tidak cukup dengan disulitkan aktiviti dan program dakwah, hak mereka turut dicabul dan dinafikan.

Bagi BKKIMM, isu yang melanda teman-teman BKPJM merupakan suatu lumrah perjuangan yang menjadi tanda bahawa mereka sedang membawa risalah kebenaran.

Oleh itu, janganlah kalian berasa lemah dan  takut dengan ujian ini. Teruskan gerak kerja mulia ini, kembali mengumpul kekuatan melalui kesatuan yang jitu, selain tidak mengabaikan kebergantungan dengan pemilik sekalian alam yang maha berkuasa menetapkan segala sesuatu.

Kita juga menyatakan ketidaksetujuan dan membantah tindakan yang tidak profesional dan bersifat jahat yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Semoga Allah sentiasa membimbing dan merahmati setiap langkahan BKPJM dan menghancurkan tangan-tangan jahat yang sentiasa hasad dengan kesatuan dan kebaikan yang kalian bawa!

"MEMAJU PRESTASI, MEMBUMI BAKTI"

KHAIRUL FADHLI B HUSIN
Yang Di-Pertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2012/2013

No comments:

Post a Comment