Tuesday 27 May 2014

Bina Syakhsiah Ahli Melalui Penghayatan Isra' Mikraj

Kaherah, 27 Mei 2014: Bersempena memperingati peristiwa Isra' dan Mikraj Rasulullah SAW, Unit Dakwah Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) Sesi 2013/2014 telah berjaya menganjurkan program Solat Hajat Perdana dan Tazkirah Isra' Mikraj. Program santapan rohani khusus untuk anak-anak Melaka ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan samada mahasiswa pengajian Islam mahupun sains kesihatan.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran wakil pimpinan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang sudi melapangkan masa bersama anak-anak Melaka. Antara pimpinan pusat yang hadir ialah Saudara Ahmad Faishal bin Raslan - Naib Setiausaha Agung PMRAM (Ketua Lajnah Pendaftaran), Saudari Wan Nur Amirah binti Yusof - Timbalan Setiausaha HEWI PMRAM dan NurHamizah binti Majid - Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa HEWI PMRAM selaku BP dan HEWI angkat PMRAM Cawangan Melaka.


Majlis dimulakan dengan solat maghrib dan solat hajat berjemaah diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Fadhli bin Husin selaku Penasihat BKKIMM '13/14. Antara pengisian menarik yang disampaikan oleh beliau antaranya mengenai 2 nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia iaitu nikmat Ijadiyah. Nikmat kedua yang disebut ialah nikmat Irsyadiyah yang mana nikmat ini dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja iaitu iman dan islam. Seterusnya pentazkirah mengajak para hadirin menghayati sirah perjuangan Rasulullah SAW dalam peristiwa Isra' dan Mikraj. Majlis diakhiri dengan pemberian cenderahati yang disampaikan oleh BP PMRAM diiringi Ustaz Ahmad Rabbani bin Ismail selaku Yang Di-Pertua BKKIMM.

Akhirnya, BKKIMM selaku wadah kesatuan anak-anak Melaka mengambil berat tentang kebajikan ahli dengan menggerakkan dakwah Islam dalam kalangan anak-anak Melaka. Semoga dengan pengisian rohani yang disampaikan dapat menyuntik roh perjuangan Rasulullah SAW kepada hadirin agar gigih dan tabah melaksanakan tugasan yang diwariskan oleh Baginda SAW.

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Melestari Kesatuan Merentasi Perjuangan"
"BKKIMM Pilihan Kami"

No comments:

Post a Comment