Tuesday 5 August 2014

KEMERIAHAN AIDILFITI DI PERANTAUAN

Kaherah, 5 Ogos 2014 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menganjurkan satu  program sambutan hari raya Aidilfitri dengan jayanya. Sambutan Aidilfitri yang buat pertama kalinya diadakan di Wisma Seri Melaka (WSM) ini telah menyaksikan kehadiran yang memberangsangkan daripada anak-anak Melaka di Mesir serta para tetamu jemputan. Sambutan Aidilfitri kali ini diberi nama SAYONARA’14 singkatan daripada “Say On Hari Raya” yang bertemakan “ Tautan Hati Imbauan Memori ”.

Tujuan program ini diadakan adalah bagi merapatkan lagi hubungan sesama anak Melaka, dan memberi ruang untuk saling bertanya khabar serta berkenalan. Selain itu, program ini juga bertujuan mengubat rasa rindu anak Melaka terhadap kampung halaman dan keluarga serta mengingatkan mereka bahawa seluruh mahasiswa/wi Melaka yang berada di Mesir juga ibarat keluarga sendiri.

Program bermula seawal pagi, dengan pertandingan memasak yang disertai oleh anak-anak Melaka yang telah dibahagikan  mengikut kumpulan. Program diteruskan dengan pengisian rohani berbentuk talk show, yang bertajuk ‘Ramadhan dirindui, Syawal dihayati’. Talk show tersebut menampilkan ahli panel berbakat, iaitu Ustaz Khairul Fadhli bin Husin, yang merupakan penasihat BKKIMM, dan Ustazah Siti Aisyah binti Ismail yang merupakan penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor (BKASM). Antara intipati talk show tersebut adalah kupasan tentang hakikat Aidilfitri yang menuntut setiap Muslim agar kembali kepada fitrah merasa bertuhan, menyembah Allah subhaanahuwataala, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Aidilfitri menurut para ulama bukanlah bermakna hari untuk memperhiaskan zahir kehidupan semata, tetapi hakikat Aidilfitri adalah hari bagi mereka yang datang kepada Allah dalam keadaan hati yang penuh taqwa, khusyuk dan dekat dengan-Nya.

Program diteruskan dengan perasmian SAYONARA’14. Majlis perasmian dimulakan dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran dan dirancakkan lagi dengan gimik perasmian yang disempurnakan oleh Ustaz Mohd Adil bin Fadzil, selaku Badan Pengurus angkat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) cawangan Melaka. 

Pada sebelah petangnya, suasana diceriakan dengan aktiviti indoor seperti pertandingan anyam ketupat, berbalas pantun, putera puteri Aidilfitri, cuit-cuit minda, dan sebagainya. Aktiviti tersebut diwakili oleh  setiap kumpulan yang telah dibahagikan pada awal program untuk membuat persembahan bertemakan Aidilfitri. 

Kemeriahan sambutan Aidilfitri, SAYONARA’14 kali ini dapat dirasai dengan kemuncak program, iaitu majlis jamuan rumah terbuka yang dihadiri oleh seluruh kepimpinan PMRAM dan seluruh wakil anak negeri. Turut hadir dalam majlis tersebut  Pegawai Atase Pendidikan Negeri Kelantan, Ustaz Azhar bin Salleh. Beliau melahirkan rasa gembira dan menyampaikan sedikit kalam nasihat, khas buat anak-anak Melaka Mesir. Para tetamu dan anak-anak Melaka yang hadir memberikan respon yang baik sepanjang program ini berlangsung.

 Akhirnya, pihak komuniti sambutan Aidilfitri (SAYONARA’14) BKKIMM merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program pada kali ini, serta berharap agar seluruh anak Melaka bersama dan bergerak sederap di bawah naungan BKKIMM dalam memacu dakwah Islam.

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"
"MELESTARI KESATUAN MERENTASI PERJUANGAN"
"BKKIMM PILIHAN KAMI"

KITA PMRAM!  

2 comments:

  1. Tahniah buat anak-anak Melaka di Mesir!!!. Moga kalian di rahmati ALLAH

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah...jazakallah di atas sokongan anda..

      Delete