UPP BKKIMM 2017. Powered by Blogger.

Friday, 13 November 2015

MAT-28 MANIFESTASI AMALAN SYURA DALAM ISLAM

MAT-28 Manifestasi Amalan Syura dalam Islam


11 November 2015 – Pada tarikh 7 November 2015 yang lalu bersamaan 25 Muharram 1437H, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di bawah sebuah komuniti yang dibentuk dengan jayanya telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-28 yang bertempat di Dewan Wisma Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Hayyu Sabie’, Kaherah. Dengan menampilkan tema moden iaitu ala kepejabatan, MAT kali ini telah dihadiri hampir lebih daripada 50 orang penyertaan ahli BKKIMM sama ada dari muhafazah mahupun Kaherah termasuk pelajar sains kesihatan. Antara matlamat yang ingin dicapai daripada penganjuran mesyuarat kali ini ialah membuka peluang kepada ahli BKKIMM untuk mencetuskan idea-idea bernas yang lebih membina bagi mengukuhkan lagi kedudukan, hala tuju dan kesatuan BKKIMM pada masa hadapan serta mempertaut lagi ukhuwah dan kepentingan dalam kebersamaan, sokongan dan sumbangan kepada persatuan.
             
          Program dimulakan dengan sesi pendaftaran seawal jam 8.00 pagi. Sebelum majlis bermula, peserta tidak melepaskan peluang berharga untuk melihat gambar-gambar nostalgia BKKIMM di sudut pameran yang telah disediakan. Setelah ketibaan tetamu jemputan, majlis perasmian dimulakan dengan dendangan nasyid Asmaul Husna dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan oleh Saudara Muhammad Akram Bin Mamad. Seterusnya, ucapan alu-aluan daripada Saudara Luqmaanul Hakiim Bin Nordin selaku pengarah MAT’28 disusuli ucapan Saudara Ahmad Rabbani Bin Ismail selaku Yang Di-Pertua BKKIMM sesi 2014/2015. Kemudian, berlangsungnya acara yang ditunggu-tunggu iaitu ucapan perasmian daripada Saudara Muhammad Salihin Bin Abdullah selaku Penasihat Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sekaligus menyempurnakan gimik perasmian. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah yang disampaikan oleh yang Di-Pertua BKKIMM 14/15 kepada perasmi program. Dengan berakhirnya majlis perasmian, maka bermulalah sesi Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) BKKIMM Kali Ke-28.

           Sesi Mesyuarat Agung yang dipengerusikan oleh Yang-Dipertua BKKIMM’14/15 dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan perlantikan dua orang Setiausaha Sidang dan Pengira Undi. Seterusnya, pembentangan dan pengesahan minit MAT Kali Ke-27 yang dikendalikan oleh Saudara Muhammad Khidir bin Abdul Hamid selaku ketua Jabatan Setiausaha Agung BKKIMM. Kemudian, suasana mesyuarat dihangatkan lagi dengan perbincangan hal-hal berbangkit daripada ahli BKKIMM. Selesai daripada hal-hal berbangkit, agenda mesyuarat disusuli dengan pembentangan laporan daripada setiap unit. Dalam sesi ini, ahli BKKIMM diberi ruang seluas-luasnya untuk bertanyakan soalan dan melontarkan idea serta cadangan yang bernas bagi penambahbaikan setiap unit untuk sesi akan datang. Setelah hampir dua jam bersidang, mesyuarat ditangguhkan bagi memberi ruang kepada ahli mesyuarat untuk menunaikan solat Zohor dan menjamu hidangan tengahari yang disediakan.
             
          Kesinambungan mesyuarat kemudiannya diteruskan lagi dengan pembentangan laporan daripada unit yang berbaki dan sesi pembentangan serta pengesahan laporan kewangan yang dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Hatin Bin Mohd Yusof selaku ketua Jabatan Bendahari Agung BKKIMM. Pelbagai pandangan dan respon positif telah diterima di peringkat ahli BKKIMM demi mengukuhkan serta memperkasakan Jabatan Bendahari Agung dan memantapkan lagi sistem pengurusan kewangan BKKIMM yang sedia ada. Mesyuarat kemudiannya ditangguhkan seketika untuk ahli mesyuarat menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.
Seterusnya, tibalah agenda kemuncak yang dinanti-nanti oleh semua ahli BKKIMM iaitu sesi perbahasan usul dan cadangan. Dalam sesi ini, peringkat AJKT telah membentangkan satu usul yang berbunyi, 

Meneruskan survival BKKIMM dengan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pimpinan melalui dua perkara: 

a) Menjadi ahli yang berkarisma dalam menolak anasir perpecahan. 
b) Menjayakan Resolusi PMRAM dan memperkasakan Sistem Taakhi. 

         Setelah diperbahaskan di peringkat semua ahli mesyuarat, hasil sebulat suara telah bersetuju supaya usul ini dibawa pada sesi akan datang. Seterusnya, dua usul yang diutarakan di peringkat ahli iaitu Saudara Wan Mohd Ikram Bin Wan Fauzi yang membahaskan usul cadangan yang berbunyi, ‘Mendesak pihak berwajib dalam memperanankan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa dalam memastikan kebajikan anak-anak Melaka Mesir diberikan hak dengan sepatutnya dan selayaknya melalui 5 Item: sara hidup, rumah Wisma Seri Melaka (WSM), visa, keselamatan dan pendidikan’ dan diterima sebagai usul. Manakala usul cadangan yang dibentangkan oleh Saudara Abdullah Rashid Bin Samshul  yang berbunyi, ‘Menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak khususnya pihak pegawai’ telah diterima sebagai cadangan untuk sesi akan datang. Setelah tamat sesi perbahasan usul dan cadangan, agenda disusuli dengan pelantikan Saudara LukmanulHakim Bin Zainudin selaku juruaudit BKKIMM 2015/2016 mengikut sokongan majoriti.

         Kehangatan suasana mesyuarat disemarakkan lagi dengan ucapan penuh semangat  sebagai ucapan penggulungan daripada wakil ahli mesyuarat di pihak ikhwah dan akhawat seterusnya ucapan penangguhan daripada YDP BKKIMM’14/15 dan pembubaran AJKT BKKIMM’14/15 sebagai melabuhkan tirai sesi perbincangan MAT kali ini.  

         Kedinginan malam tidak menghalang ahli BKKIMM untuk terus bersama dalam persidangan kali ini. Di bawah kelolaan wakil Suruhanjaya Pilihanraya BKKIMM’14/15, Saudara Amirul Azamuddin Bin Zaharuddin telah mengumumkan barisan AJKT baru bagi sesi 2015/2016 seterusnya ucapan sulung daripada YDP BKKIMM’15/16, Saudara Ahmad Razin Bin Mohd Fauzi dan sesi taaruf barisan AJKT BKKIMM’15/16. Majlis kemudiannya dimeriahkan dengan sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Turut menyerikan, program Haflah Najihin anjuran Unit Pendidikan BKKIMM bagi meraikan keberjayaan ahli BKKIMM yang memperoleh pangkat Jayyid Jiddan dalam peperiksaan lalu. Majlis diakhiri dengan tayangan video sepanjang sesi 14/15 yang telah disediakan oleh Unit Penerangan dan Penerbitan BKKIMM dan jamuan makan malam sebelum bersurai.

         Akhir sekali, warga komuniti mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan MAT’28 BKKIMM pada tahun ini sama ada secara langsung atau tidak. Diharapkan segala keputusan yang disepakati bersama melalui mesyuarat kali ini dapat dijayakan di semua peringkat sama ada pimpinan mahupun ahli. Semoga survival BKKIMM dapat dipertahankan sehingga akhirnya sebagai satu-satunya kesatuan anak Melaka di Mesir yang berpaksikan pegangan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman.

“MEMARTABAT KEILMUAN MERIBAT KESATUAN”
“BKKIMM TETAP DI HATI”

Disediakan oleh,

Muhammad Amirul Fitri Bin Mazlan

Setiausaha Kerja, 
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-28 (MAT’28)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM)
Sesi 2014/2015

No comments:

Post a Comment

author
BKKIMM
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir kini menjangkau usia 40 Tahun dalam memimpin wadah kesatuan anak Melaka sejak 1976. Tahun demi tahun, badai dan ujian yang datang mematangkan dan menguatkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ini agar terus kukuh dan utuh dalam memimpin wadah ini.