Wednesday 30 December 2015

IMTIHAN FASA PEMBENTUKAN ILMUAN ISLAM

             Bismillahirrahmanirrahim. Segala pujian dipanjangkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pembawa risalah kenabian dan rahmat bagi sekalian alam. Selawat dan Salam buat junjungan besar baginda S.A.W serta ahli keluarga, para sahabat baginda, tabi'e tabi'en dan para ulama pewaris perjuangan baginda yang bersambung sanad keilmuannya dari generasi ke generasi sehingga hari kiamat.

Musim peperiksaan kini kembali bertamu. Saban tahun, Bumi Mesir menyaksikan kegembiraan dan kesedihan mahasiswa/wi Azhar setelah menatap keputusan peperiksaan masing-masing. Ada yang melaungkan lafaz hamdalah bahkan tidak kurang juga yang hanya mampu mengalirkan air mata tanpa bicara. Inilah realiti yang perlu ditempuhi mahasiswa/wi Al-Azhar di mana terkadang sukar untuk menjangkakan keberjayaan dan keberhasilan dalam keputusan peperiksaan. Walhasil, teruskan berusaha sedaya mungkin dalam menuntut ilmu walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana inilah amanah yang harus dipikul oleh setiap penuntut ilmu di Perlembahan Nil ini yang perlu dilaksanakan supaya ianya dapat menzahirkan identiti sebenar seorang mahasiswa Islam itu sendiri.

Mahasiswa/wi yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,

Sebagai hamba Allah S.W.T yang menyandang amanah sebagai khalifah di muka bumi ini, kita tidak terlepas daripada menerima anugerah ujian dan cabaran dalam hidup ini. Hal ini, bagi menguji sejauh mana tingkat kehambaan dan nilai kebergantungan kita kepada yang Maha Esa.  Begitu juga dalam konteks hamba tersebut sebagai seorang penuntut ilmu maka peperiksaan merupakan salah satu bentuk penilaian dan tanda aras bagi menguji tahap kefahaman individu tersebut dalam subjek-subjek yang dipelajari sama ada mampu meneruskan ke marhalah seterusnya atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama, persediaan yang mantap dan rapi perlu disusun oleh semua individu bergelar mahasiswa/wi. Jika dilihat, begitu banyak program-program pendidikan yang telah disusun  di peringkat Unit Pendidikan BKKIMM sama ada berskala kecil mahupun besar. Antaranya ialah Senat Fakulti,  Mentor Mentee, Study Group, Kelas Tutorial dan sebagainya. Semua program ini hendaklah disertai dan dijayakan dengan penuh ketekunan dan optimis oleh semua anak Melaka supaya ianya memberikan impak yang positif dalam pembelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan kelak.

Mahasiswa/wi yang dikasihi sekalian,

Di samping fokus terhadap kejayaan akademik, jangan pula dipinggirkan aspek-aspek lain seperti hubungan sesama manusia dan komitmen terhadap persatuan. Hal ini kerana seorang mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja dinilai baik  daripada sudut akademiknya bahkan hubungannya sesama manusia juga turut dititikberatkan. Selain itu, keikhlasan juga perlu sentiasa subur dalam jiwa Mahasiswa/wi bahawa segala usaha dan tenaga yang digembleng bukanlah sekadar untuk mengejar sehelai sijil bagi tujuan duniawi semata, bahkan menjadikan keredhaan Allah S.W.T sebagai matlamat tertinggi dalam setiap urusan terutamanya dalam menuntut ilmu.

Seiring penekanan BKKIMM pada sesi kali ini iaitu aspek pendidikan, maka diharapkan kepada semua anak Melaka khususnya agar dapat mempertingkatkan usaha dan fokus kepada peperiksaan yang akan datang. Amalkan study smart di saat akhir imtihan berbanding study hard bagi mengelakkan tekanan emosi dan perasaan yang sepatutnya dielakkan pada saat-saat akhir ini. Lazimkan diri dengan menghadiri program study group bawah kelolaan mentor masing-masing di samping mengulangkaji secara bersendirian. Perlu diingatkan juga bahawa pembahagian masa yang baik dan berkesan juga amat penting supaya kita dapat mengoptimumkan segala usaha pada kadar yang terbaik di samping  kewajipan dan tanggungjawab lain tidak terabai.

Akhir sekali, pihak Unit Pendidikan BKKIMM mengucapkan selamat menghadapi imtihan fasa satu yang akan menjelang tidak lama lagi kepada semua anak Melaka khususnya. Semoga kita  dapat memberikan sepenuh perhatian dan fokus terhadap pembelajaran dan membuktikan kepada masyarakat bahawa Mahasiswa/wi Mesir mampu menjadi qudwah hasanah dari aspek pendidikan dan syakhsiah serta menyumbang manfaat kepada masyarakat apabila pulang kelak nanti.

“Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah”

‘BKKIMM Tetap di Hati’

Disediakan oleh :
Muhammad Amirul Fitri Bin Mazlan
Timbalan Setiausaha Agung
(Ketua Unit Pendidikan),
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
(BKKIMM) sesi 2015/2016



No comments:

Post a Comment