UPP BKKIMM 2017. Powered by Blogger.

Wednesday, 27 April 2016

IKIM '16 PLATFORM PERBINCANGAN DUA HALA DAN PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN



KAHERAH, 19 April 2016 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2015/2016 telah mengadakan program muhasabah separuh penggal yang diberi nama "Ijtima’ Kabir & Imtihan Motivation 2016" (IKIM '16) yang bertempat di Rumah Melaka Sementara (RMS) Hayyu Sabie’. Program ini saban tahun telah diadakan setiap kali selepas separuh sesi kenaikan pimpinan bertujuan untuk membentangkan laporan perjalanan BKKIMM kepada semua ahli. Antara kelainan program pada kali ini, para hadirin dibentangkan slot motivasi sebagai persediaan sempena menghadapi peperiksaan fasa kedua bagi mahasiswa/wi Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan.


    IKIM '16 telah dimulakan dengan sesi pendaftaran dan kehadiran ahli ke tempat program seawal jam 4.00 petang. Seterusnya, diikuti kemasukan Ahli Jawatankuasa Tertinggi serta Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKKIMM ke ruang persidangan. Saudara Abdul Wafi bin Abdul Aziz,  Setiausaha Agung BKKIMM '15/16 telah memulakan salam pembukaan selaku pengerusi sidang, kemudian diteruskan dengan agenda pembentangan laporan daripada setiap unit dan sesi soal jawab daripada ahli dalam persidangan.

    Di sinilah pelbagai komentar, pandangan, dan idea telah dilontarkan oleh ahli kepada para pimpinan yang menunjukkan keprihatinan dan kecaknaan mereka terhadap perjalanan organisasi yang menaungi anak-anak Melaka di perlembahan Nil ini. Persidangan diberhentikan seketika sejurus selepas selesai agenda pembentangan laporan daripada semua unit untuk memberi laluan kepada para pimpinan dan ahli sidang bagi menunaikan solat fardhu maghrib secara berjemaah.



    Persidangan diteruskan lagi dalam agenda perbincangan isu yang berkaitan dengan survival BKKIMM. Perbincangan ini telah dikendalikan oleh Saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM '15/16. Antara isu yang diperbincangkan adalah berkaitan perpindahan semula ke Wisma Seri Melaka (WSM). Pelbagai respon dan cadangan telah dilontarkan daripada  kalangan ahli sidang yang menunjukkan kebersamaan antara ahli dan pimpinan dalam hal-hal kebajikan anak-anak Melaka di Mesir yang merupakan aspek penting dalam kehidupan mahasiswa dan mahasiswi.

    Di akhir persidangan, para hadirin telah dihiburkan dengan tayangan sebuah video program dan aktiviti BKKIMM sepanjang fasa pertama ini serta ucapan penutup dan pemakluman resolusi oleh Yang Dipertua BKKIMM '15/16 hasil daripada perbincangan tersebut. Harapan kami supaya semua ahli berterusan memberikan sokongan dan dukungan dalam menjayakan resolusi tersebut agar BKKIMM dapat meneruskan survival bagi menaungi anak-anak Melaka menurut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

    Setelah selesai persidangan, IKIM’16 dilengkapkan lagi dengan slot motivasi sebagai persediaan peperiksaan buat semua anak Melaka. Motivasi tersebut telah disampaikan oleh pengisi jemputan khas daripada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) Saudara Muhammad Aimi Akmal Bin Zaini yang merupakan graduan Syariah Islamiyah Universiti Al-Azhar. Seterusnya, ucapan pelancaran kempen "Towards Exam" daripada Saudara Muhammad Amirul Fitri bin Mazlan selaku ketua Unit Pendidikan BKKIMM '15/16 dan mengharapkan agar semua mahasiswa/wi dapat menjayakan kempen tersebut serta membuat persediaan terbaik menjelang peperiksaan yang bakal tiba.

     Semoga dengan program yang dianjurkan ini, segala aspek yang menjadi keutamaan wadah kesatuan  BKKIMM iaitu dari segi pendidikan, kebajikan mahupun keselamatan anak-anak Melaka di Mesir akan terus dijaga bersama sebaiknya. Pihak BKKIMM juga mendoakan agar semua anak Melaka diberi kekuatan dalam menghadapi ujian dan rintangan serta memperoleh kejayaan Mumtaz dalam imtihan dengan mengerahkan segala usaha dan tawakal kepada Allah S.W.T.

“BERILMU DAN BERAMAL”
“MAHASISWA BERHIKMAH, BAKTI  DICURAH"
"BKKIMM TETAP DI HATI"

Disediakan Oleh :
Setiausaha Agung
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir Sesi 2015/2016

No comments:

Post a Comment

author
BKKIMM
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir kini menjangkau usia 40 Tahun dalam memimpin wadah kesatuan anak Melaka sejak 1976. Tahun demi tahun, badai dan ujian yang datang mematangkan dan menguatkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ini agar terus kukuh dan utuh dalam memimpin wadah ini.