Saturday 7 May 2016

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA DELEGASI KERAJAAN NEGERI MELAKA


Kaherah, 17 April 2016 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menerima kedatangan kunjungan Delegasi Negeri Melaka pada 14 April di teratak Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabi'. Kesemua Delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang hadir ke bumi anbiya' ini terdiri daripada Encik Muhammad Ikram bin Ibrahim, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) , Encik Mustafa bin Musa, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka , Encik Samian bin Johari, Ketua Penolong Pengarah Ukur Bahan Melaka Tengah, Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka, Encik Mohd Rizalman bin Syed, PSU Bahagian Pentadbiran MAIM, dan Encik Shuhaimi bin Dolah, Pembantu Tadbir Kanan MAIM.

Kedatangan delegasi pada kali ini disamping sebagai lawatan kerja, pihak mereka juga berkesempatan untuk beramah mesra dan bersuai kenal antara anak-anak Melaka di Perlembahan Nil bersama Encik Muhammad Ikram bin Ibrahim sebagai Setiausaha MAIM yang baru.



Seawal jam 7.30 malam, anak-anak Melaka telah didendangkan dengan alunan qasidah. Majlis Ramah Mesra dimulai dengan Nyanyian Asmaul Husna dan Lagu Negeri Melaka. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Encik Haji Muhd Anwar bin Idris selaku pegawai Atase Pendidikan Melaka. Seterusnya, ucapan daripada Encik Mustafa bin Musa yang memaklumkan kepada semua anak-anak Melaka tentang permohonan dermasiswa telah dibuka pada bulan April dan akan diproses permohonan tersebut pada bulan Mei ini. Setelah itu, ucapan perkenalan daripada Encik Muhammad Ikram bin Ibrahim serta amanat kepada para Mahasiswa/wi supaya berusaha sebaiknya dalam meraih kejayaan dalam bidang pembelajaran yang mereka ceburi sama ada Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan.

Pada kesempatan itu juga, anak-anak Melaka turut diberi peluang mengutarakan soalan dan
pandangan melalui sesi soal jawab bersama Delegasi. Kehadiran ahli-ahli Melaka seramai 60 orang yang melibatkan Mahasiswa/wi Pengajian Islam dan Sains Kesihatan memeriah dan menghangatkan lagi suasana ramah mesra pada malam majlis tersebut. Natijah daripada sesi soal jawab tersebut, Setiausaha MAIM telah memaklumkan tarikh sebenar perpindahan semula ke Wisma Seri Melaka adalah sebelum menjelang bulan Ramadhan iaitu dalam musim peperiksaan para mahasiswa/wi.

Akhir majlis tersebut, dua orang wakil daripada kalangan Mahasiswa dan Mahasiswi telah memberikan ucapan jutaan terima kasih kepada rombongan Delegasi atas kesudian meluangkan masa bersama anak-anak Melaka dan mengharapkan agar pertemuan sebegini dapat diadakan lagi bagi mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan anak-anak Melaka di perantauan. Di penghujung majlis pihak BKKIMM dan komuniti pelaksana program telah menyampaikan cenderahati kepada semua Delegasi Negeri Melaka yang hadir sebagai tanda kenang-kenangan dan mengadakan acara gimik memotong kek sebagai tanda ucapan tahniah daripada pihak BKKIMM kepada Encik Muhammad Ikram bin Ibrahim.

BKKIMM sentiasa menyambut baik kedatangan Delegasi kerajaan negeri ke bumi Mesir serta mengharapkan hubungan dan kerjasama yang lebih erat dapat diteruskan antara BKKIMM dan Kerajaan Negeri Melaka, bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan anak-anak Melaka di Mesir dijaga dengan sebaiknya.

"BERILMU DAN BERAMAL"
"MAHASISWA BERHIKMAH, BAKTI  DICURAH"
"BKKIMM TETAP DI HATI"

Disediakan Oleh :
Setiausaha Agung
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2015/2016

No comments:

Post a Comment