Friday 20 May 2016

BKKIMM MEMBAWA SUARA DAN HARAPAN ANAK MELAKA KEPADA PIHAK BERWAJIB



KAHERAH, 16 MEI 2016 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan pertemuan bersama Pegawai Atase Pendidikan Melaka, Encik Haji Muhd Anwar bin Idris di Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka demi meneruskan agenda kebajikan anak-anak Melaka. Pertemuan pada kali ini telah diketuai oleh saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM 15/16.

  Pertemuan dimulakan dengan pemakluman daripada pihak pegawai mengenai kedatangan Delegasi Kerajaan Negeri pada akhir Mei seterusnya disusuli kedatangan Delegasi Ketua Menteri Melaka yang akan tiba di lapangan terbang Kaherah pada tarikh 1 Jun 2016. Sehubungan itu, saudara Muhammad Khidhir bin Abdul Hamid selaku Timbalan Yang Dipertua BKKIMM menyatakan berbesar hati dengan kedatangan Delegasi Ketua Menteri pada kali ini.

  Walaubagaimanapun, beliau turut menyuarakan kata sepakat antara semua wakil setiap Batch melalui kenyataan rasmi yang dibuat baru-baru ini yang menyatakan ketidaksetujuan dan kekesalan terhadap tindakan pihak pengurusan Delegasi Ketua Menteri berkaitan pemilihan tarikh yang kurang sesuai kerana anak Melaka sedang sibuk menjalani fatrah Imtihan ketika ini. Oleh itu, BKKIMM berharap agar pihak berwajib yang menguruskan kedatangan Delegasi Ketua Menteri dapat  menangguhkan kedatangan delegasi kali ini dan mempertimbangkan semula tarikh lain yang lebih sesuai agar tidak menganggu konsentrasi anak Melaka yang sedang menjalani peperiksaan bersesuaian aspirasi dan hasrat kerajaan negeri yang mengutamakan aspek pendidikan dan prestasi akademik pelajar.

  Seterusnya, pertemuan diteruskan lagi dengan persoalan yang dilontarkan oleh Yang Dipertua BKKIMM mengenai permohonan supaya senarai penuh nama penghuni WSM dikeluarkan dan penjelasan berkaitan ciri kelayakan mendiami WSM. Berkaitan senarai penuh nama penghuni WSM, pegawai memaklumkan bahawa senarai nama tersebut tidak boleh dinyatakan kerana hal tersebut berkaitan urusan Pejabat Pentadbiran dan Kerajaan Negeri Melaka. Berikutan itu, YDP BKKIMM mewakili anak-anak Melaka telah menyuarakan bantahan dan ketidaksetujuan terhadap keputusan pemilihan nama tersebut yang dianggap berat sebelah dan tidak menyebelahi pihak yang selayaknya kerana majoriti anak Melaka yang menghadiri temuduga tersebut tidak mendapat kelulusan kemasukan WSM manakala terdapat sebahagian individu yang diterima kemasukan ke WSM tanpa melalui proses temu duga. Lebih-lebih lagi, proses rayuan kemasukan tidak dimaklumkan oleh pihak berwajib kepada semua anak Melaka.

  Oleh itu, pihak YDP telah menyerahkan sebuah proposal peringkat BKKIMM berkaitan senarai nama cadangan anak-anak Melaka yang mempunyai kelayakan berdasarkan latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah dan pencapaian akademik yang baik serta telah menjalani semua prosedur untuk menghuni premis WSM. Pihak pegawai berjanji akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berwajib. BKKIMM berharap agar pihak yang bertanggunjawab dalam pemilihan nama penghuni WSM agar dapat menilai semula kemasukan pelajar ke WSM dengan adil dan lebih telus tanpa mengira latarbelakang politik supaya kebajikan anak-anak Melaka di Perlembahan Nil terus terjamin dan terpelihara.

  Seterusnya, saudari Ain Hanisah binti Abdul Hannan selaku Timbalan ketua Hewi BKKIMM turut menyuarakan permasalahan di peringkat anak-anak Melaka yang bakal menduduki WSM yang mengalami kesulitan untuk melunaskan bayaran penuh WSM dan mencadangkan agar bayaran tersebut ditangguhkan manakala pihak YDP BKKIMM membangkitkan isu mengenai kadar sewa  WSM yang perlu dipertimbangkan semula berikutan kos sara hidup pelajar yang semakin meningkat dan perbandingan harga sewa bulanan premis negeri lain yang lebih murah dan berpatutan.

  Akhirnya, BKKIMM sentiasa bersedia bekerjasama dengan Pegawai Melaka dan pihak kerajaan negeri dalam menyelesaikan permasalahan anak Melaka dan berharap pegawai dapat melaksanakan tugasnya dengan adil dan sebaik mungkin. Semoga perjumpaan kali ini dapat menatijahkan satu hasil yang terbaik untuk semua.


"BERILMU DAN BERAMAL"
"MAHASISWA BERHIKMAH, BAKTI  DICURAH"
"BKKIMM TETAP DI HATI"

No comments:

Post a Comment