Saturday 30 July 2016

AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN BIKUM MAHASISWA/WI BARU 2016


Mesir,18 Julai 2016 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menyambut ketibaan Mahasiswa/wi baru seramai 29 orang. Rombongan ini telah tiba pada jam 12.25 tengah hari di terminal 1,Cairo International Airport.

Antara yang hadir bagi menyambut kedatangan mereka ialah Yang Dipertua Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi,Timbalan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam Melaka Mesir (HEWI) Ustazah Ain Hanisah binti Abdul Hannan dan barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi sesi 2015/2016 BKKIMM dan beberapa barisan komuniti pelaksana program Urus Setia Mahasiswa Baru 2016 (USMB ‘16).

Seterusnya, semua mahasiswa/wi baru beserta seluruh barisan AJKT dan HEWI serta barisan komuniti bertolak pulang menuju ke Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabi’ dengan menaiki bas yang disediakan. Sepanjang perjalanan ke Rumah Melaka Sementara (RMS),Ustaz Jundullah bin Said, selaku Pengarah Program USMB ’16 telah memberi ucapan alu-aluan kepada semua mahasiwa/wi. Setelah itu, Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM juga telah dijemput untuk memberikan ucapan. Antara ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan selamat datang khusus buat semua mahasiswa/wi baru yang telah selamat sampai. Beliau juga turut memberikan sedikit pengenalan ringkas berkaitan suasana di Negara Mesir.

Tepat pada jam 3.30 tengah hari, rombongan mahasiswa/wi baru telah tiba di RMS. Kemudian, sesi taklimat berkaitan pembahagian rumah dan pengenalan musyrif dan musyrifah telah disampaikan oleh unit pengisian Ustaz Muhammad Khidhir bin Abd Hamid. Setelah selesai sesi taklimat, barisan komuniti USMB ‘16 telah menyediakan jamuan makan tengah hari kepada semua mahasiswa/wi.


Program sambutan Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru ini saban tahun diadakan, yang mana ia merupakan sebuah medium panduan awal kepada para mahasiswa/wi baru supaya dapat menjalani dan menempuh suasana baru di Mesir dengan baik. Pelbagai bentuk pendedahan dari segi pendidikan dan kefahaman bakal dibentangkan kepada mahasiswa/wi baru melalui program-program yang diadakan.

AJKT dan HEWI BKKIMM serta barisan Komuniti Pelaksana Program USMB ‘16 mengucapkan Ahlan Wasahlan kepada semua mahasiswa/wi baru sesi 2016/2017. Semoga dengan kehadiran mahasiswa/wi baru ini bakal melahirkan lebih ramai generasi pelapis agamawan di bumi Melaka kelak. Insha Allah.

“Generasi Tarbawi Transformasi Ummah”
“Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah”
“Berilmu dan Beramal”



Disediakan oleh :
Setiausaha Kerja,
Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru 2016 (USMB’ 16)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir

No comments:

Post a Comment