Friday 22 July 2016

MADINAH RAMADAN MEMACU KREDIBILITI BADARIYYIN & IZZAH KEMENANGAN DIRAI, UKHUWAH TETAP TERPATRI

 Kaherah, 10 Julai 2016 - Demi menyahut seruan ibadah puasa ramadan pada tahun ini, telah menjadi rutin tahunan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) untuk membentuk satu komuniti Ihya’ Tarbawi Ramadan (IHTIRAM ‘16) yang berperanan merancang dan menjayakan aktiviti sepanjang bulan ramadan ini. Pada tahun ini, aktiviti dimulakan dengan Daurah Ambang Ramadan yang membentangkan kitab Feqh Siam sebagai persediaan awal bagi menghadapi ramadan, disusuli dengan Majlis Perasmian Pembukaan IHTIRAM ‘16 pada tanggal 9 Jun 2016 bertempat di Rumah Melaka Sementara (RMS) yang telah dirasmikan oleh Ustaz Asyraf Bin Alias selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKSAM) sesi 2015/2016. Dengan tamatnya Majlis Perasmian IHTIRAM itu , maka bermulalah aktiviti-aktiviti sepanjang bulan ini.


   Bersesuaian dengan objektif IHTIRAM ‘16 iaitu menyeru anak-anak melaka menyelami serta melipat gandakan amalan pada bulan Ramadan, demi meraih mardatillah dan merebut malam lailatulqadar disamping dapat melahirkan suasana ibadah dan pembentukan nilai taqwa dalam diri, selari dengan tema “Madinah Ramadan Memacu Kredibiliti Badariyyin”. Oleh itu, IHTIRAM ‘16 menyusun pengisian berbentuk aktiviti harian, mingguan dan separa mega sebagai hidangan khas buat ahli-ahli melaka. Antara aktiviti harian ialah solat tarawih, tadarus al-Quran, tazkirah ahli serta menyebarkan risalah azkar melalui media rasmi BKKIMM. Manakala aktiviti mingguan pula berbentuk thaqafah seperti diskusi kitab Ramadan Wa Nasrul Ummah,kitab Maza Ba’da Ramadan dan daurah kitab Feqh Musafir serta program ihtifal ilmiah seperti hafazan hadis 40 dan kuiz ramadan. Aktiviti lain yang turut dilaksanakan ialah indoor game, kursus kuih dan jaulah ke Asfour adalah hasil kerjasama HEWI BKKIMM yang bertujuan mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kesatuan sesama anak-anak Melaka di Perlembahan Nil ini.


   Dalam menikmati ibadah puasa yang padat dengan tarbiyah ini, IHTIRAM ’16 turut mengajak ahli memperingati detik-detik kebesaran Islam dengan menganjurkan Ceramah Badar Kubra, Sambutan Nuzul al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran yang dihadiri oleh anak-anak Melaka dari pelbagai latar belakang pendidikan. Bagi mengerat tali silaturahim lagi, pihak komuiti mengambil inisiatif menganjurkan iftar dan sahur jama’ie serta pengedaran bubur lambuk kepada ahli Melaka dan warga tempatan Mesir di sekitar Hayyu Sabi’ Madinah Nasr. Di samping itu, komuniti IHTIRAM di bawah unit perhubungan dengan kerjasama Unit Perhubungan Sambutan dan Rehlah (UPSR) telah membawa mahasiswi Melaka menunaikan solat tarawih di masjid azhar yang bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman menunaikan solat tarawih bersama warga Arab Mesir sekaligus menikmati keindahan malam Ramadan di masjid tertua di dunia itu. Hasil kerjasama semua anak-anak Melaka di bumi Kinanah ini, maka kesemua aktiviti-aktiviti yang dianjurkan IHTIRAM ‘16 telah berjalan lancar.

   Di penghujung IHTIRAM ’16, komuniti ihtiram sekali lagi diberi amanah oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir untuk menjayakan program hari raya pada tahun ini. Sebaik sahaja menerima taklifan ini,pihak Komuniti bersepakat memilih Festival Aidilfitri Anak Melaka (FAIZ ‘16) yang bertemakan ‘Izzah Kemenangan Dirai, Ukhuwah Tetap Terpatri” sebagai nama program bagi sambutan hari raya Aidilfitri kali ini. Program ini amat dinanti-nantikan oleh semua anak-anak Melaka yang beraya di perantauan, semata-mata ingin menyambut hari kemenagan setelah sebulan berada dalam madrasah tarbiyah Ramadan al-mubarak.


    Program yang berjalan selama tiga hari ini telah dimulakan dengan Muhadharah Ammah bersempena akhir ramadan yang disampaikan oleh Syeikh Rifaat Fauzi selaku Pensyarah Fakulti Syariah Islamiah pada 5 Mei, selepas asar bertempat di rumah Melaka sementara. Seusai solat magrib, semua anak-anak Melaka berkumpul bagi sama-sama mendengar perutusan raya yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKKIMM iaitu Ustaz Ahmad Razin Bin Mohd Fauzi. Aktiviti diteruskan lagi dengan Ziarah Takbir ke rumah tinggat 2 dan 3 bagi akhawat, manakala di sebelah ikhwah pula diadakan di rumah-rumah sewa anak-anak Melaka sekitar Hayyu Sabi’.

    Menjelang satu syawal, komuniti FAIZ ’16 telah membawa semua ahli Melaka ke Masjid Tantawi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Suasana semakin ceria seusai solat apabila sebahagian pelajar Malaysia daripada kalangan pengajian Islam, mahupun Sains Kesihatan bergambar bersama sebagai tanda kenangan aidilfitri di perantauan Mesir. Pada 2 syawal pula, telah berlangsung Majlis Penutup Ihya’ Tarbawi Ramadan  (IHTIRAM ’16) dan Perasmian Festival Aidilfitri Anak Melaka (FAIZ ’16) pada jam 8 pagi bertempat di sutuh Rumah Melaka Sementara (RMS) .Majlis ini dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah IHTIRAM ’16, Ustaz Muhammad Akmal Bin Mamad, dan diteruskan dengan ucapan daripada YDP BKKIMM, Ustaz Ahmad Razin Bin Mohd Fauzi. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Rabbani Bin Ismail yang merupakan Penasihat BKKIMM sesi 2015/2016.


    Pelbagai program telah disusun oleh komuniti FAIZ ’16 antaranya indoor game yang melibatkan ikhwah dan akhawat sejurus seusai majlis perasmian. Disusuli dengan Rumah Terbuka BKKIMM seusai solat asar, suasana begitu meriah dengan kehadiran tetamu-tetamu jemputan dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang lain. Rumah Terbuka ini turut dihadiri oleh Prof Madya Dr Mohd Radhi Ibrahim selaku Menteri Penasihat (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia Kaherah(KBMK). Perbualan mesra antara Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi (AJKT) dan tetamu yang hadir menyerikan lagi majlis yang berjalan dengan lancar selama 2 jam ini. Selepas Maghrib pula, telah diadakan jamuan Open House FAIZ ’16 khas untuk ahli-ahli Melaka yang berada di Perlembahan Nil ini. Sambil manikmati jamuan raya, ahli-ahli BKKIMM juga dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti santai seperti persembahan nasyid dan tayangan video raya serta beberapa pertandingan selingan seperti pertandingan menganyam ketupat dan teka teki kuih raya. Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang pertandingan yang dianjurkan oleh IHTIRAM ‘16 dan FAIZ’16 yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Razin bin Mohd Fauzi bagi ikhwah dan Ustazah Ain Hanisah binti Abdul Hanan di sebelah akhawat. Sebelum program penutupan melabuhkan tirainya, pihak komuniti telah mempersembahkan tayangan video penutup program Ihya’ Tarbawi Ramadan dan Festival Aidilfitri Anak Melaka 2016.Program yang sungguh meriah ini berjalan dengan lancar dan berakhir pada jam 11 malam.

    Pihak komuniti program di bawah Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir mengucapkan tahniah kepada pemenang pertandingan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung khususnya kepada anak-anak Melaka di Perlembahan Nil ini. Diharapkan Madrasah Ramadan yang telah dilalui menatijahkan nilai taqwa yang tinggi dalam diri anak-anak Melaka serta sentiasa istiqamah dalam melaksana ibadah dan gerak kerja Islam yang bukan sahaja tertumpu pada bulan Ramadan, akan tetapi berterusan pada bulan-bulan mendatang.

“Kullu am wa antum wa ikhwanukum bilkhair da iman”
“Madinah Ramadan Memacu Kredibiliti Badariyyin”
“Izzah Kemenangan Dirai, Ukhuwah Tetap Terpatri”


Disediakan Oleh:
Setiausaha
Ihya’ Tarbawi Ramadan 2016,

No comments:

Post a Comment