Wednesday 3 August 2016

HUBB ‘16 : UKHUWAH DIPERKUKUH BERSAMA

Kaherah, 30 Julai 2016 - Hari Ukhuwah Bersama Bersatu (HUBB’16) merupakan sebuah program dibawah kelolaan komuniti pelaksana Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru 2016 (USMB’16) yang telah dilaksanakan baru-baru ini pada 23 hingga 25 Julai 2016 yang lalu dibawah anjuran Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2015/2016. .Program yang diadakan saban tahun ini adalah bertujuan agar para mahasiswa/wi baru diberikan pelbagai pendedahan maklumat dan ilmu yang baru selaku penuntut ilmu di Universiti Al Azhar, Mesir dan ia juga merupakan salah satu bentuk orentasi sebelum melangkah ke alam Universiti nanti.


Pada 23 Julai 2016, hari pertama dimulai dengan Majlis Perasmian HUBB ‘16 yang telah dirasmikan oleh saudara Muhammad Haziq bin Zainal Abidin, selaku Ketua Penasihat Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) yang bertempat di Sutuh Rumah Melaka Sementara. Kemudian, majlis diteruskan untuk permulaannya sesi ta’aruf bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program USMB 2016. Pelbagai pengisian yang menarik sepanjang HUBB ‘16 kali ini. Pengisian untuk slot pertama adalah Talkshow yang bertajuk “Obor Mahasiswa Harapan” yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Baihaqi bin Rasyid dan Ustazah Nur Ain binti Rahmat selaku Timbalan Yang Dipertua 2, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM).

Pengisian seterusnya diisi dengan Taklimat Keselamatan dan Kesihatan yang dibentangkan oleh saudara Amirul Fahdzil bin Zahar selaku Ketua Unit Kebajikan BKKIMM. Semua mahasiswa/wi baru diberikan penerangan berkaitan langkah-langkah keselamatan yang perlu dititik beratkan sepanjang menjalani kehidupan di bumi Mesir ini. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan slot “Keluarga Kami” yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKKIMM saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi dan juga saudara Muhammad Ariff bin Haron selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) berkaitan sejarah penubuhan persatuan terunggul anak-anak Melaka di Mesir iaitu BKKIMM dan kepentingan penubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri di Mesir serta sejarah penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang menyatukan keseluruhan anak-anak Malaysia di bumi Mesir ini. Seterusnya, diikuti slot ta’aruf antara mahasiswa/wi baru bersama barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKKIMM sesi 2015/2016. Pengisian akhir pada hari tersebut diakhiri dengan tazkirah AJKT serta disediakan sedikit jamuan kepada semua mahasiswa/wi.


24 Julai 2016, hari kedua HUBB ‘16 dimulakan dengan qiamullail yang bertujuan untuk mengembalikan dan memberikan kekuatan rohani kepada mahasiswa/wi baru. Pengisian seterusnya, slot Diskusi Kitab ‘al-Qira’ah Minhajul Hayah’ yang dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Rabbani bin Ismail. Beliau banyak menekankan kepentingan dalam memperbetulkan niat dalam setiap perkara terutama sebagai pelajar dalam bidang agama yang menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar ini. Program diteruskan lagi dengan slot GKB berkaitan ukhuwah. Ia bertujuan untuk menerangkan kepentingan berukhuwah iaitu melalui medium persatuan yang ada ini sebagai sebuah keluarga yang akan sentiasa bersama kita dalam susah dan senang terutama apabila menjalani kehidupan sebagai anak perantauan ini. Setelah itu, pengisian yang seterusnya iaitu slot Senat Fakulti bertujuan untuk memberikan pendedahan awal berkaitan bidang pengajian yang bakal diceburi nanti. Petang harinya, para mahasiswa/wi diisi dengan slot menarik berkaitan teknik mu’amalah dan bertutur dalam bahasa arab tempatan secara teori dan praktikal di luar bersama masyarakat Arab dan dipantau oleh beberapa komuniti pelaksana USMB 2016. Pengisian akhir pada hari tersebut diakhiri dengan Tazkirah Perdana yang bertajuk “Islam ‘Aqidatuna wa Hayatuna” yang disampaikan oleh Ustazah Asiah binti Abdul Ghani, Mahasiswi Kuliah Syariah Islamiah daripada Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir.


Pada 25 Julai 2016, hari terakhir HUBB ‘16 dilanjutkan lagi dengan Qiamullail seperti biasa dan diteruskan dengan tazkirah subuh. Seterusnya, semua mahasiswa/wi dibawa lawatan ke Masjid Azhar, Kuliah Azhar dan Masjid Husin seterusnya pulang ke RMS. Pada malam terakhir HUBB ‘16, para pelajar diisi dengan slot “Membina Masyarakat Harmoni” yang disampaikan oleh Ketua Unit Hisbah, Ustaz Luqman Nor Hakim bin Nordin dan Ketua Jabatan fasilitator, Ustaz Amirul Azamudin bin Zaharuddin. Antara pengisiannya berkaitan pengenalan Unit-unit penting dibawah Unit dakwah iaitu Jabatan Fasilitator, Unit Biah Solehah, dan Unit Hisbah serta diselitkan juga dengan pengenalan Unit Baitul Muslim.Pendedahan umum ini bertujuan agar Mahasiswa/wi baru dapat memahami biah solehah yang diterapkan dalam kalangan Mahasiwa/wi Al-Azhar dan mengetahui perkara-perkara yang perlu dijauhi agar sentiasa berada dalam landasan syariat islam.


Sebelum program berakhir,mahasiwa/wi baru diberikan penggunaan kewangan mereka yang diperuntukkan sepanjang program USMB 2016 selama beberapa hari yang telah berlangsung dan yang akan datang.Selepas itu,Program HUBB'16 diakhiri dengan ucapan penggulungan daripada Timbalan Ketua HEWI Ustazah Ain Hanisah binti Abdul Hannan dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada peserta tebaik seorang daripada mahasiswa dan mahasiswi baru iaitu Ustaz Muhammad Ashraf bin Asbah dan Ustazah Nurul Afifa binti Yazid serta program berakhir dengan sesi bergambar dan sedikit jamuan yang disediakan oleh komuniti pelaksana program .Semoga dengan anjuran program ini dapat memberikan pelbagai manfaat dan bekalan ilmu pengetahuan untuk masa akan datang.Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir mengucapkan tahniah kepada semua barisan komuniti Pelaksana USMB 2016 yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini selama tiga hari.Semoga Allah S.W.T membalas jasa kalian.

Sekian.


"Generasi Tarbawi Transformasi Ummah"
"Mahasiswa Berhikmah,Bakti Dicurah"
"BKKIMM Tetap Di Hati"

 Disediakan oleh :
 Nor Raudatul binti Zukeri
 Setiausaha Kerja,
 Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB'16)
 Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
 Sesi 2015/2016

No comments:

Post a Comment