Sunday 7 August 2016

PERJUMPAAN BKKIMM BERSAMA SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI MELAKA

Kaherah, 4 Jun 2016 – Sebuah pertemuan kehormat antara wakil pimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) yang diketuai oleh Saudara Ahmad Razin bin Fauzi selaku Yang Dipertua bersama wakil Kerajaan Negeri Melaka telah diadakan pada 3 Jun 2016 bertempat di InterContinental Hotel Citystar. Pertemuan yang julung kali diadakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Haji Naim bin Abu Bakar ini bertujuan membawa suara anak-anak Melaka kepada Kerajaan Negeri Melaka. Turut hadir Encik Mustafa bin Musa selaku Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM).


Yang Dipertua BKKIMM telah membentangkan kertas kerja Profil BKKIMM kepada YB Datuk Wira Haji Naim sebagai pengenalan ringkas BKKIMM dan melaporkan aktiviti yang dilaksanakan oleh BKKIMM dari aspek pendidikan, kebajikan dan keselamatan. Sebuah lagi kertas kerja iaitu Kertas Kerja Kelas Intensif yang disediakan oleh Unit Pendidikan BKKIMM turut dibentangkan. Cadangan kelas intensif yang telah dibawa oleh BKKIMM kepada peringkat Pegawai Atase Pendidikan Melaka Mesir agar membawanya ke peringkat kerajaan negeri sejak 2 tahun yang lalu merupakan usaha gigih BKKIMM untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan anak-anak Melaka. Respon YB Datuk Wira Haji Naim memaklumkan bahawa cadangan kelas intensif tersebut telahpun diluluskan dan dipersetujui untuk dilaksanakan pada tahun ini.


Perbincangan diteruskan lagi dengan pembentangan kertas kerja Kos Sara Hidup yang telah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua BKKIMM Saudara Muhammad Khidhir bin Abdul Hamid. Antara masalah serius yang dihadapi oleh anak-anak Melaka di Mesir kebelakangan ini ialah peningkatan kos sara hidup terutama di Kaherah rentetan daripada jumlah warga asing yang belajar di Mesir semakin meningkat. Tambahan pula, peningkatan ini menyebabkan warga tempatan mengambil kesempatan terhadap warga asing yang mengancam keselamatan terutama mereka yang tinggal di rumah sewa. Pihak BKKIMM turut mendapati kebanyakan anak-anak Melaka yang kurang kemampuan tidak terpilih menduduki Wisma Seri Melaka selepas menjalani temuduga kemasukan.


Sehubungan itu, pihak BKKIMM telah mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian kepada pihak berwajib agar anak-anak Melaka yang bakal melanjutkan pengajian di Mesir ditempatkan dalam sebuah bangunan dengan meneruskan penyewaan bangunan Rumah Melaka Sementara (RMS) oleh Majlis Agama Islam Melaka. RMS masih lagi dihuni oleh sebilangan besar anak-anak Melaka sementara menanti bangunan baru Wisma Melaka yang dijangka siap pada bulan Ogos ini. Hal ini bagi memastikan keselamatan anak-anak Melaka terjamin.


Di akhir pertemuan, pihak BKKIMM menjemput YB Datuk Wira Haji Naim untuk memberikan kalam nasihat diikuti penerimaan cenderahati yang disediakan.BKKIMM mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Wira Haji Naim atas kesudian beliau meluangkan masa menerima kunjungan ini dan berharap pertemuan seumpama ini dapat diadakan pada masa akan datang. BKKIMM sedia bekerjasama dengan semua pihak agar kebajikan anak-anak Melaka di Mesir terus dalam keadaan terbaik dan terjamin.


"Mahasiswa Berhikmah, Bakti Dicurah"
"BKKIMM Tetap Di Hati"

Disediakan oleh :
Jabatan Setiausaha Agung
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2015/2016

No comments:

Post a Comment