Wednesday 17 August 2016

ISU PENEMPATAN : PERJUMPAAN BERSAMA MANIFESTASI KESEPAKATAN AHLI DAN PIMPINAN



Kaherah, 16 Ogos 2016 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan satu pertemuan bersama anak-anak Melaka pada hari Ahad 14 Ogos 2016, bertempat di sutuh Rumah Melaka Sementara (RMS). Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan kata sepakat bersama berikutan pemakluman daripada pembantu pegawai Encik Ibrahim bin Husin pada 6 ogos yang lalu. Beliau memaklumkan kontrak sewaan RMS akan berakhir pada akhir bulan Ogos ini dan semua penghuni diminta untuk berpindah keluar mencari penempatan lain.

Pertemuan yang dikendalikan oleh Saudara Ahmad Razin bin Mohd Fauzi selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi 2015/2016 ditemani saudara Muhammad Afif bin Zainal Abidin selaku Ketua Unit Perumahan berlangsung selama dua jam setengah dengan kehadiran 70 orang mahasiswa/wi Anak Melaka di Mesir. Perbincangan dua hala telah dibuka seluas-luasnya kepada semua anak Melaka untuk mengutarakan sebarang isu lain yang melanda anak-anak Melaka untuk dibincangkan bersama. Saudara Muhammad Lutfil Hadi bin Abdul Hannan, telah mengutarakan isu kedua terbesar yang melanda anak-anak Melaka khususnya pengajian islam di Mesir berkaitan isu pembekuan pinjaman TAPEM yang sedang hangat di Malaysia baru-baru ini. Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu yang paling utama untuk dibincangkan bersama adalah berkaitan permasalahan anak-anak Melaka yang diminta untuk berpindah dan mencari penempatan lain dalam masa yang terdekat.



Kronologi berkaitan isu penempatan Anak Melaka di Mesir semenjak perpindahan ke RMS sehingga waktu kini  telah disampaikan oleh saudara Muhammad Afif bin Zainal Abidin selaku Ketua Unit Perumahan. Seterusnya persoalan dan cadangan dibuka kepada anak-anak Melaka bagi menambahkan lagi idea dan kebersamaan dalam menangani isu ini.

Perbincangan pada malam tersebut menjadi hangat dengan cadangan dan pendapat yang begitu bernas daripada kebanyakan ahli. Antara isu yang dibangkitkan ahli adalah berkaitan janji kerajaan negeri sebelum ini yang menyatakan semua anak Melaka akan memasuki Wisma Seri Melaka dan Wisma Melaka apabila kedua bangunan ini siap dibaikpulih dan dibina sepenuhnya. Beberapa cadangan dan pandangan dilontarkan bagi mendapatkan kesepakatan di kalangan anak-anak Melaka.



Kesimpulan daripada semua perbincangan tersebut, keputusan yang diambil setelah disepakati bersama adalah mendesak kerajaan negeri untuk memanjangkan kontrak sewaan RMS sehingga Wisma Melaka siap dibina sepenuhnya. Namun, jika kerajaan Negeri Melaka tidak dapat meneruskan sewaan RMS ini, anak-anak Melaka meminta agar pihak berwajib dapat menempatkan anak Melaka di Wisma Seri Melaka sementara menunggu WM siap dibina. Masalah ini bukan sahaja dikatakan sebagai isu kebajikan, malah ia juga perlu dianggap sebagai isu hak mahasiswa yang perlu dipertahankan.


Akhir perjumpaan tersebut, YDP BKKIMM memperingatkan semula kepada semua ahli BKKIMM berkaitan tiga resolusi yang telah disepakati bersama pada Ijtima’ Kabir pada bulan April yang lepas iaitu:
1) Membawa suara ahli kepada pihak berwajib.
2) Berusaha untuk menyelesaikan permasalahan dengan melibatkan wakil setiap batch.
3) Bersama bersatu dalam meneruskan survival BKKIMM dengan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pimpinan.


Kami berharap supaya pihak berwajib dapat bertindak sewajarnya dengan memandang serius berkenaan kebajikan, pendidikan dan keselamatan anak-anak Melaka yang belajar di Mesir. Semoga perbincangan dan kesepakatan yang telah dibuat antara pimpinan dan ahli BKKIMM dapat mengikat dan mengeratkan lagi ukhuwah bersama anak-anak Melaka serta menyelesaikan permasalahan ini bersama.

Sekian.

“MAHASISWA BERHIKMAH, BAKTI DICURAH”
“ BERILMU DAN BERAMAL”
“BKKIMM TETAP DI HATI”

No comments:

Post a Comment