Friday 7 July 2017

SYUKUR'17 : SEINDAH LEBARAN, SEMANIS PERSAUDARAAN

Kaherah, 2 Julai 2017-Alhamdulillah, Syukur di atas nikmat kehidupan, Iman dan Islam, setelah hampir sebulan menjalani ibadah puasa di bulan suci Ramadan, kini tibalah detik kegembiraan dan  kemenangan, Aidilfitri  pun menjelma. Bagi meraikan kegembiraan berada di bulan kemenangan ini, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir mengambil kesempatan dengan menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diberi nama “Simfoni Ukhuwah Raya di Perantauan 2017” ( SYUKUR ’17)  dan telah berlangsung pada 24 Jun sehingga 29 Jun yang lalu.
  Sambutan Aidilfitri ataupun dikenali SYUKUR ’17  pada kali ini bertemakan “Seindah Lebaran, Semanis Persaudaraan”  bertujuan merapatkan ukhuwah dan menyemai  semangat bersaudara dalam bahtera BKKIMM ibarat sebuah keluarga di samping menanam kefahaman ahli  erti sebenar kemenangan umat Islam di  Aidilfitri.
   Antara pengisian dan aktiviti yang telah berlangsung sepanjang tempoh tersebut adalah gema takbir , Perutusan Yang Dipertua BKKIMM sesi 2016/2017 dan takbir rumah ke rumah pada malam Aidilfitri. Hari berikutnya diserikan dengan penyampaian tausiah daripada Syeikh jemputan. SYUKUR ’17 diteruskan lagi dengan aturcara perasmian dan permainan indoor pada hari yang berikutnya. Hari berikutnya disajikan dengan pengisian ilmiah diskusi kitab “Maza Ba’da Ramadan” dan diteruskan dengan ziarah mahabbah atau tradisi kunjung mengunjung. Hari Keempat Syawal dibuka dengan santapan rohani tazkirah Dhuha dan disusuli dengan aturcara santapan jasmani dengan juadah serta hidangan istimewa hasil air tangan anak-anak Melaka di   “Rumah Terbuka BKKIMM 2017”. Majlis Rumah Terbuka tersebut bermula seusai sahaja tazkirah Dhuha dan berakhir setelah senja menjelang. Setelah lebih empat hari majlis berlangsung, tirai SYUKUR ’17 akhirnya berlabuh pada malamnya. Majlis penutup tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan mahasiswa-mahasiswa USMB ’17 dan penyampaian hadiah serta serahan zakat kepada mereka yang memerlukan.
   Akhirnya, semoga dengan sambutan SYUKUR ’17 pada kali ini menyatukan semula hati-hati yang jauh, mengukuhkan ikatan-ikatan yang terjalin serta mengeratkan lagi tautan kekeluargaan yang terpatri di samping memahami erti kemenangan yang sebenar ketika meraikan Aidilfitri ini di dalam keluarga BKKIMM di Mesir biarpun terpaksa berjauhan mereka yang berada di Malaysia pada hari yang  penuh bermakna ini.

“Seindah Lebaran, Semanis Persaudaraan”
             
“Sahsiah Diungguli, Kebersamaan Dilestari”
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMM_Kesatuan_Kami
#BersamaBersatu

Disediakan Oleh :
Setiausaha Simfoni Ukhuwah Raya di Perantauan 2017 (SYUKUR ’17),
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir Sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment