Tuesday 22 August 2017

MINGGU THAQAFAH DAN KEMAHIRAN 2.0 : THAQAFAH DIJULANG MAHASISWA CEMERLANG

                                       
Kaherah, 20 Ogos 2017 – “Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaaat” (Imam As-Syafi’e Rahimahullahu Ta’ala). Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan penting terhadap umat Nabi Muhammad S.A.W. Di dalam kitab Ta’limu Muta’allim ada menyebutkan ciri-ciri ilmu yang perlu dituntut oleh umat Islam salah satunya ialah ilmu hal, iaitu ilmu yang berkembang pada zaman tersebut. Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir tidak terlepas untuk memberi pendedahan kepada ahli dengan menganjurkan suatu program yang diberi nama Minggu Thaqafah dan Kemahiran 2.0 (MTK 2.0) yang telah berlangsung pada 10, 14, 15 dan 17 Ogos lalu berkesinambungan daripada MTK 1.0 lepas.
   Yaum Thaqafi atau lebih dikenali MTK 2.0 pada kali ini bertemakan “Thaqafah Dijulang, Mahasiswa Cemerlang” bertujuan melahirkan generasi da’ie yang berthaqafah dalam sistem dan kesenian  berteraskan Islam sekaligus membina mahasiswa Islam yang produktif demi kemaslahatan ummah era kemodenan ini.
   Antara pengisian yang telah dianjurkan sepanjang tempoh berikut adalah “Warrior Of Islam” yang membincangkan kepentingan mempelajari ilmu mempertahankan diri serta langkah asas dalam seni mempertahankan diri. Diteruskan lagi dengan slot “Together With Musyrif” dan dirasmikan oleh Ustazah Nurul Atikah binti Ahmad pada malam majlis perasmian MTK 2.0. MTK 2.0 diteruskan lagi pada hari kedua dengan slot “Tahu Ke Faham?” atau dikenali sebagai slot GKB dan dilangsungkan pada sesi malam slot “Cahaya Kefahaman” yang membincangkan kefasadatan ideologi-ideologi barat yang kian menular dalam diri umat Islam kini. Hari berikutnya disajikan dengan pengisian tentang sistem kesetiausahaan dan perakaunan dalam slot “Secretary Knowledge” dan “Accounting Management”. Hari keempat MTK 2.0 dibuka dengan slot “Bakti Yang Terakhir” daripada sudut teori dan praktikal yang menerangkan cara pengurusan jenazah, seterusnya dibentangkan dengan pengisian ilmiah diskusi kitab “Sifatud Da’iyyah Nafsiyyah” dalam slot “Wibawa Ikon Ummah” dan sekaligus melabuhkan tirai MTK 2.0 pada malamnya. Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2016/2017 Ustaz Muhammad Anuar bin Abdullah dan disusuli penyampaian hadiah kepada peserta terbaik Ikhwah dan Akhawat.
   Akhirnya, selain dapat menyatukan ukhuwah antara ahli Melaka, harapan komiti MTK 2.0 semoga dengan terlaksananya program kali ini, mahasiswa Melaka Mesir sedar tentang kepentingan sistem dan kesenian yang berteraskan Islam dalam arus modenisasi ini sekaligus terbinanya mahasiswa Islam yang produktif dan berthaqafah dalam segala aspek demi kemaslahatan ummah.

“Thaqafah Dijulang, Mahasiswa Cemerlang”

“Sahsiah Diungguli, Kebersamaan Dilestari”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

#BKKIMM_Kesatuan_Kami
#BersamaBersatu

Disediakan Oleh :
Setiausaha Minggu Thaqafah dan Kemahiran 2.0 (MTK 2.0)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir Sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment