Friday 1 September 2017

KALAM PIMPINAN : KEMERDEKAAN DAN PENGORBANAN

Assalamualaikum w.b.t

  Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang berhak disembah serta selawat dan salam buat junjungan Agung Nabi kita Muhammad sollallahu ‘alaihi wa sallam, dan kepada sekelian ahli keluarga Nabi, para  sahabat dan bagi orang yang berusaha ke jalan jihad nabi hingga menuju hari perhitungan. 

Firman Allah s.w.t :
وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ (١٠٣)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.” [Surah Al-Imran :103]

  “Sehati Sejiwa” adalah tema bagi Hari Kemerdekaan negara kita pada tahun 2017 ini merupakan satu tema yang amat selari dengan ajaran Islam dalam konteks kecintaan dan melepaskan perasaan kebangsaan dalam kalangan masyarakat majmuk. Tribulasi yang pernah berlaku dalam lembaran sejarah kemerdekaan sebelum ini dalam menyatukan setiap hati-hati masyarakat tidak akan menemui jalan perpaduan. Oleh itu, fenomena yang berlaku khususnya di negara kita menyeru kita semua bersatu dalam mencapai kejayaan yang agung dengan menjadikan Islam adalah penyelesaian dalam ruang lingkup utama iaitu amal makruf dan nahi mungkar. Maka tidak dapat tidak seruan ke arah bersama bersatu menjadi suatu kewajipan bagi diri mereka yang muslim.

   Islam membebaskan akal daripada pengabdian diri terhadap selain Allah,  membebaskan daripada berpegang dan menganuti kebatilan dunia serta tunduk pada toghut. Kata Riba’ie bin Amir sewaktu dihantar Rasulullah s.a.w bertemu Raja Parsi iaitu Rustum, jawab beliau ketika ditanya mengapa diutuskan ke Parsi ; 
الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد الى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا الى سعتها،ومن جور الاديان الى عدل الاسلام.

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta'ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

  Kebebasan disini bukanlah diertikan dengan merdeka dari segalanya aspek,  bebas syariat dari segala hukum dan undang-undang. Yang demikian adalah, Kemerdekaan dari perspektif Islam kita berjaya membebaskan diri dari ideologi penjajahan barat dan sistem perhambaan manusia kepada taat dan patuh pada hukum Allah serta pensyariatan Islam. 

  Keunikan pada tahun ini menggabungkan dua elements penting iaitu Kemerdekaan dan Hari Raya Korban. Tidak dapat tidak kita perlu menghayati sorotan sejarah merdeka dan sirah pengorbanan yang suci oleh Nabi Ismail A.S. Penghayatan sejarah dan sirah menjadikan kita lebih matang dalam mencipta watak dan episod nasib umat Islam pada masa akan datang. Maka dua unsur ini iaitu kemerdekaan dan pengorbanan hendaklah disebatikan dalam jiwa setiap anak-anak Melaka di Perlembahan Nil.

  Tuntasnya, pengorbanan yang besar dilakukan oleh orang-orang terdahulu mempertahankan agenda kesatuan mahasiswa Islam bagi mengekalkan survival BKKIMM satu-satunya medium kesatuan anak Melaka di Mesir, adalah satu kewajipan bagi kita untuk dikenang dan dihayati sebagai generasi yang terkemudian.

“Sahsiah Diungguli, Kebersamaan Dilestari”

Muhammad Ikhram bin Samsudin
Bendahari Agung (Ketua Unit Kebajikan)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment