Thursday 21 September 2017

KALAM PIMPINAN : UKHUWAH DAN WAHDAH

Assalamuaikum w.b.t..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, selawat dan salam buat junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad S.A.W dan keluarga serta para sahabatnya.
Firman Allah S.W.T :

( إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ )

Ertinya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
 (Surah Al-Hujurat: 10)

   Ukhuwah dan wahdah atau erti kata lain persaudaraan dan kesatuan , kedua-duanya perlu dilaksanakan secara beriringan kerana ia mempunyai satu misi dan visi yang sama iaitu menyatupadukan umat Islam dalam satu aqidah yang hakiki.

   Definisi ukhuwah dan wahdah ialah keterikatan hati atau jiwa dikalangan orang Islam. Ia diikat oleh tauhidullah dan bukan ikatan yang lain. Tauhid kepada Allah S.W.T merupakan ikatan yang paling kukuh. Seterusnya dengan ikatan tersebut, seseorang itu akan merasai bahagia bersama-sama dengan saudaranya.Tambahan lagi, ukhuwah dan wahdah juga merupakan anugerah daripada Allah S.W.T kerana didalam hati-hati mereka yang beriman telah ditanam sifat ukhuwah islamiah.

   Dewasa ini, bila disoroti kembali realiti ukhuwah umat Islam zaman kini amat membimbangkan, walaupun umat Islam ramai di atas muka bumi , tetapi kebanyakannya tidak mendapat ikatan aqidah yang hakiki. Banyak yang bersifat individualistik atau mementingkan diri sendiri. Ukhuwah islamiah mereka sangat nipis kerana jiwa mereka telah diselaputi karat-karat jahiliah. Ideologi-ideologi (ghazwatul fikri)  yang disebarkan oleh musuh Islam telah berjaya memporakperandakan umat Islam dan  menyebabkan sering berlaku pertelingkahan dan tidak kesefahaman antara umat Islam seterusnya menyebabkan lunturnya ukhuwah islamiah.

   Justeru, sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang mempelajari ilmu-ilmu agama ditambah lagi di tempat pengajian yang mempunyai ramai para ulama’ yang terkemuka perlu sedar akan permasalahan yang melanda umat Islam zaman kini. Ukhuwah dan wahdah yang diterapkan pada zaman para anbiya’ semakin menghilang, maka menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab kita untuk memperbaiki dan mengembalikan ukhuwah dan wahdah islamiah itu sendiri.

  Kesimpulannya, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) juga menekankan berkenaan ukhuwah dan wahdah kerana ia merupakan sesuatu yang dituntut oleh syariat Islam. Seperti dalam firman Allah S.W.T :-
Mafhumnya : “ Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, serta ingatlah nikmat Allah suatu ketika dahulu (ketika jahiliyyah) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah tersebut orang yang bersaudara. Dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikainlah Allah menerangkan ayat-ayatNya agar kamu mendapat petunjuk”. (Surah Ali Imran :103).

Wa’Allahu taala a’alam.

Disediakan Oleh :
Nurul Ain binti Noor Ismail.
Naib Setiausaha Agung (Timbalan Ketua Unit Pendaftaran & Muhafazah)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka, Mesir
Sesi 2016/2017.

No comments:

Post a Comment