Thursday 28 September 2017

PENGORBANAN ASPIRASI KEMERDEKAAN

   Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir telah menganjurkan sebuah program Festival Hari Raya Aidiladha dan Kemerdekaan 2017 (FARHAN’17) khusus untuk anak-anak Melaka di Perlembahan Nil dengan bertemakan "Menghayati Pengorbanan, Aspirasi Kemerdekaan". Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan sambutan Kemerdekaan Negara Malaysia kali ke-60.

   FARHAN’17 membuka tirai bermula pada 30 Ogos 2017 yang dimulai dengan program Ambang Merdeka & Munajat. Program tersebut merupakan kerjasama antara BKAN Taakhi iaitu Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dan Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang yang dilaksanakan selepas waktu maghrib bertempat di Surau Rumah Negeri Selangor.

   Pada keesokan harinya, program bermula seawal jam 3 pagi untuk Qiamullail dan sahur berjemaah bersempena meraikan puasa sunat Hari Arafah. Pada jam 8 pagi, peserta program FARHAN’17 diberi pengisian mengenai Fiqh Manasik Haji yang disampaikan oleh Ustaz Majdi bin Zakaria dan Ustazah Nur Syiham Amiela binti Suhaimi. Seterusnya, para peserta diberi pendedahan mengenai kursus sembelihan dan praktikal oleh Ustaz Abu Yamin bin Ramlee. Pada  sebelah malam pula, program diteruskan dengan perutusan Yang Dipertua BKKIMM yang disampaikan oleh pemangku YDP BKKIMM iaitu saudara Abdul Wafi bin Abdul Aziz dan berakhir dengan takbir raya dari rumah ke rumah.

   Pada keesokan harinya seawal jam 6 pagi anak-anak Melaka menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tantawi secara berjemaah. Pada 2 September 2017, aktiviti diteruskan lagi dengan sembelihan dan melapah daging korban yang dilakukan secara gotong-royong di Rumah Melaka Sementara III dan daging korban tersebut diagihkan kepada anak-anak Melaka serta jiran tetangga. Selepas solat maghrib pula diadakan bacaan Yassin dan tahlil dengan kerjasama Unit Dakwah.

  Pada hari terakhir program dimulakan dengan rumah terbuka VIP pada jam 11 pagi yang bertempat di Wisma Nusantara, Raba’ah manakala rumah terbuka ahli BKKIMM pula pada sebelah petang. Program diteruskan dengan acara kemuncak iaitu majlis penutup pada pukul 8 malam yang dimulai dengan persembahan dan juga penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan FARHAN’17.

   Akhirnya, pihak komuniti FARHAN’17 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua anak-anak Melaka yang terlibat dalam menjayakan program FARHAN’17 pada kali ini. Kami juga berharap agar kalian dapat mengambil manfaat atas setiap pengisian yang disediakan daripada komiti FARHAN’17.

“Menghayati Pengorbanan, Aspirasi Kemerdekaan”
“Sahsiah Diungguli, Kebersamaan Dilestari”

#BKKIMM_Kesatuan_Kami

Disediakan oleh:
Setiausaha Kerja, Festival Hari Raya Aidiladha dan Kemerdekaan 2017 (FARHAN’17),
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment