Wednesday 16 May 2018

SEKALUNG APRESIASI DARI BUMI KINANAH

Firman Allah S.W.T :

ووَاذْكُرُوا إِذْ أَنْتُمْ قَلِيلٌ مُسْتَضْعَفُونَ فِي الْأَرْضِ تَخَافُونَ أَنْ يَتَخَطَّفَكُمُ النَّاسُ فَآوَاكُمْ وَأَيَّدَكُمْ بِنَصْرِهِ وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونْ

"Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Mekah), kamu takut orang-orang (Mekah) akan menculik kamu, maka Allah memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezeki dari yang baik-baik agar kamu bersyukur".

     Saya selaku Yang Dipertua mewakili Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2017/2018 ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas pemakluman yang telah diberikan oleh Ketua Menteri Melaka, Y.A.B Hj Adly bin Zahari dalam sidang media akhbar yang bertarikh 14 Mei 2018 yang lalu. Pemakluman berkaitan pembukaan semula pinjaman Tabung Amanah Negeri Melaka (TAPEM) dan Dermasiswa kepada Pelajar Pengajian Islam di Mesir serta pengurusan penghantaran pelajar, khususnya bagi Anak Melaka yang berpotensi dalam bidang agama untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah. Kami berasa berbesar hati dan menyambut baik seruan dan hasrat daripada Ketua Menteri Melaka sendiri bagi memastikan pembangunan modal insan yang berkualiti dapat dicetak daripada bumi Seribu Menara ini.

     Pemakluman ini sedikit sebanyak menjadi khabar gembira bagi para pelajar yang berada Timur Tengah, terutamanya pelajar Pengajian Islam kerana hal ini dapat meringankan bebanan mereka bagi meneruskan pembelajaran di sini. Permasalahan berlaku berikutan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri ketika itu yang menyatakan tentang pembekuan zakat dan pinjaman kepada pelajar Pengajian Islam di Mesir pada tanggal 15 Ogos 2016 yang lalu. Setelah notis pemakluman tersebut dikeluarkan dan sehingga kini, kebanyakan para pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, hanyalah menggunakan biaya secara persendirian tanpa memperoleh sebarang bantuan zakat, pinjaman mahupun tajaan dari mana-mana pihak.

     BKKIMM merupakan persatuan pelajar yang telah ditubuhkan sejak tahun 1976 dan sehingga kini masih berdiri utuh di persada mahasiswa Melaka. Persatuan ini ditubuhkan atas dasar kesedaran Islam dan demi menjaga kebajikan serta kesatuan anak Melaka ketika itu. Selari dengan tuntutan Allah S.W.T di dalam Surah Ali-Imran yang bermaksud :

    “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya”

Jika dilihat dari sudut angka, umur BKKIMM telah mencecah hampir 43 tahun secara langsung menjadikan pengorakan langkah BKKIMM pada hari ini menjadi semakin matang dan baik. Saban tahun BKKIMM sentiasa mengoptimumkan usaha dan gerak kerja dalam memastikan kebajikan anak Melaka terjaga. Walaupun tiada pengiktirafan di peringkat pihak berwajib selama hampir 7 tahun, dinafikan hak penempatan dan zakat dari Kerajaan Negeri serta tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap, akan tetapi BKKIMM terus komited dan berusaha sedaya upaya menggembeling tenaga dalam menjaga kebajikan anak Melaka khususnya buat ahli BKKIMM yang berada di Perlembahan Nil ini.

Antara usaha-usaha yang telah dilakukan oleh BKKIMM:

 1) Menubuhkan Tabung Khas Anak Melaka Mesir (TKAMM) pada awal tahun 2017 yang dikelolai oleh jawatankuasa khas bagi mengumpul dana untuk meringankan bebanan kos penempatan dan membantu anak-anak Melaka yang kurang berkemampuan.

 2) Proposal kebajikan bagi mencari sumbangan untuk setiap sesi kehadiran pelajar baru.

 3) Menampung setengah daripada jumlah keseluruhan bil air dan bil elektrik di Rumah Melaka Sementara III.

 4) Memberi zakat yang telah dikumpulkan kepada pelajar yang layak dan juga kepada yang tidak berkemampuan.

   Justeru, kami BKKIMM sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, Y.A.B Hj Adly bin Zahari atas pemakluman yang telah diberikan kepada para pelajar yang berada di Perlembahan Nil berkaitan pembukaan semula pinjaman TAPEM dan Dermasiswa kepada pelajar Pengajian Islam di Mesir serta pegurusan penghantaran pelajar ke Timur Tengah. Menjadi ambisi BKKIMM agar berita ini dapat memberikan suntikan semangat kepada anak-anak Melaka, khususnya di Mesir untuk meneruskan proses menimba ilmu dalam bidang agama mahupun kontemporari seterusnya menyambung misi para nabi terdahulu dalam memberikan kefahaman juga kebaikan kepada masyarakat dan negara setelah pulang ke tanah air kelak InsyaAllah.

“BERILMU DAN BERAMAL”

"MAHASISWA RABBANI, MEMBUMI BAKTI"
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Yang menjalankan amanah,

MUHAMMAD ANUAR BIN ABDULLAH
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir,
sesi 2017/2018

No comments:

Post a Comment