Sunday 26 August 2018

ADHA'18: INTISARI PENGORBANAN PENCETUS PERJUANGAN

KAHERAH, 25 Ogos 2018 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir telah berjaya menganjurkan sebuah program khusus buat anak-anak Melaka di Mesir bersempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, yang diberi nama “Seindah Aidiladha 2018” (ADHA’18) dan bertemakan “Intisari Pengorbanan, Pencetus Perjuangan”.

Program berkonsepkan Timur Tengah ini telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari di Rumah Melaka Sementara III. ADHA’18 membuka tirai dengan Ambang ADHA’18 pada petang 20 Ogos dengan pembentangan Kursus Sembelihan yang telah dibentangkan secara teori oleh Ustaz Muhammad Lutfil Hadi bin Abdul Hannan dan praktikal yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Audi bin Ismail di sebelah ikhwah, manakala Ustazah Siti Nurasyida binti Junoh@Ismail di sebelah akhawat. Pada sebelah malam pula, program diteruskan dengan perutusan Yang Dipertua BKKIMM yang disampaikan oleh Pemangku YDP BKKIMM iaitu Ustaz Muhammad Audi bin Ismail diikuti dengan takbir raya dari rumah ke rumah.

 Pada keesokan harinya seawal jam 5.30 pagi, ahli BKKIMM memenuhi ruangan dataran Hayyu Asyir bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama mahasiswa Mesir dari pelbagai negeri yang dianjurkan oleh Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri. Kemudian program disambung pada sebelah petang dengan pembentangan Fiqh Manasik Haji secara teori dan praktikal yang disampaikan oleh Ustaz Azzam Tamimi bin Mohamed dan Ustazah Nur Syiham Amiela binti Suhaimi. Seterusnya, selepas solat maghrib berjemaah pula diadakan Talkshow bertajuk “Berkorban dan Terkorban” yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Hafiz Syakirin bin Mohd Yazid selaku moderator dan dibarisi para panel iaitu Ustaz Mohd Sharul bin Malek selaku panel pertama dan Ustazah Nur Haziyah binti Yasim selaku panel kedua dan program tersebut diakhiri sedikit jamuan yang disediakan oleh peringkat program.

 Program diteruskan dengan slot Tazkirah Subuh Khas pada pagi 22 Ogos yang disampaikan oleh Ustazah Sofiah Az Zahra binti Norizam dan memulakan gotong-royong serta proses penyembelihan dan lapahan daging korban sebanyak 17 ekor kambing dan 2 ekor khoruf (biri-biri) pada jam 7.30 pagi di Rumah Melaka Sementara III. Setelah selesai sembelihan dan melapah, daging korban diagihkan kepada anak-anak Melaka dan warga tempatan yang berhampiran, seterusnya program diteruskan dengan bacaan Yassin dan tahlil arwah selepas solat maghrib berjemaah dan diakhiri dengan jamuan kambing bakar dan sup tulang yang disediakan oleh Unit Jamuan ADHA’18.
 Pada hari terakhir, program dimulakan dengan jamuan rumah terbuka VIP dan ahli pada jam 10 pagi bertempat di Rumah Melaka Sementara III. Kemudian, program diteruskan dengan acara kemuncak ADHA’18 iaitu majlis penutup yang berlangsung pada jam 8.30 malam. Program kali ini telah dirasmikan oleh Ustaz Zaidon bin Misron selaku Pemangku Yang Dipertua Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) dan diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pemenang penyertaan pertandingan yang dianjurkan oleh peringkat program ADHA’18.

Akhirnya, pihak komiti ADHA’18 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua anak-anak Melaka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ADHA’18 pada kali ini. Kami juga berharap agar objektif program dalam menerapkan nilai-nilai pengorbanan para Anbiya’ dan menambahkan ilmu pengetahuan dalam kalangan ahli BKKIMM tercapai serta ukhuwah yang terbina selama ini semakin utuh dan mampu menerajui BKKIMM dengan kesatuan ahli dan pimpinan yang jitu.

“Intisari Pengorbanan, Pencetus Perjuangan”

“Mahasiswa Rabbani, Membumi Bakti”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

#AyuhBerkorban
#BKKIMMKesatuanKami
#BersamaBersatu

Disediakan oleh :
Setiausaha (Promosi & Teknikal),
Seindah Aidiladha (ADHA’18),
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2017/2018

No comments:

Post a Comment