Wednesday 3 October 2018

KALAM PIMPINAN : ILMUWAN BERTAKWA QUDWAH UMMAH

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
(Surah Fatir : 28)

Saya selaku Yang Dipertua mewakili anak Melaka di Mesir ingin mengucapkan Sekalung Penghargaan dan Tahniah kepada mahasiswa dan mahasiswi Melaka yang berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini. Semoga kejayaan yang diperolehi dapat memberikan semangat juang yang tinggi untuk terus menuntut ilmu di Ardil Kinanah ini dan mampu menjadi contoh untuk mahasiswa yang lain turut berjaya pada masa akan datang.

Saya juga ingin mengucapkan terus Istiqamah dalam menuntut ilmu Allah kepada mereka yang belum berpeluang mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan. Apa yang diharapkan adalah kita tetap menjadi hamba Allah yang berjaya kehidupannya di muka bumi ini. Semoga dengan keputusan yang diperoleh memberikan suntikan motivasi untuk memastikan kejayaan dapat digenggam bukan hanya pada akademik semata akan tetapi dalam seluruh aspek kehidupan.

Ucapan Tahniah dan Selamat Berkhidmat di tanah air saya untaikan kepada mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian dan bergelar graduan Universiti Al-Azhar Mesir. Menjadi harapan saya agar ilmu yang dikutip dan digilap di bumi Anbiya' ini samada di kuliah mahupun di dalam medium kesatuan anak Melaka iaitu Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir dapat dipraktikkan dan dicurahkan kepada masyarakat Melaka agar lanskap serta suasana Islam dapat di pupuk dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Ini membuktikan bahawa kita BKKIMM menjadikan aspek ilmu pengetahuan dan pendidikan sebagai aspek utama yang ditetapkan dalam semua peringkat pergerakan walaupun pelbagai tohmahan yang cuba ditempelkan dalam arena pentarbiyahan dan dakwah BKKIMM.

Akhir kalam, semoga dengan keilmuan dan kejayaan yang diperoleh membuatkan kita manusia yang paling takut dan merendah diri dalam menyelusuri kehidupan sebagai hamba Allah yang bergelar ulama'.  Mudahan kita tergolong dalam golongan yang menyampaikan ilmu dengan amanah bertepatan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi : Sampaikan ilmu daripadaku walaupun hanya satu ayat. (HR Imam Bukhari) .

MUHAMMAD ANUAR BIN ABDULLAH
Yang Dipertua
(Unit Perhubungan Luar dan Ketua HEWI)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2017/2018

No comments:

Post a Comment