Monday 5 November 2018

BKKIMM SEBAGAI PLATFORM BEKERJA UNTUK ISLAM



KAHERAH, 31 Oktober 2018 - Telah berlangsung sebuah program anjuran Jabatan Setiausaha Agung BKKIMM sesi 2018/2019 iaitu Majlis Ucaptama Yang Dipertua dan Ramah Mesra Ahli Jawatankuasa Tertinggi  BKKIMM  bagi sesi 2018/2019 yang bertempat di Sutuh Rumah Melaka Sementara III. 
     
     Saban tahun program ini dilaksanakan pada awal sesi  kenaikan pimpinan sebagai medium pengenalan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKKIMM sesi baru kepada semua ahli untuk mengenali dengan lebih dekat disamping mengeratkan lagi ikatan ukhuwah antara pimpinan dan ahli. 

      Majlis telah dimulakan dengan nasyid Asmaul Husna dan bacaan doa. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan dan pelancaran gimik perasmian oleh Ustaz Muhammad Ikhram bin Samsudin selaku Penasihat BKKIMM sesi 2018/2019.


     Majlis tersebut diteruskan lagi dengan sesi taaruf antara pimpinan dan ahli. AJKT dan AJKT HEWI memperkenalkan diri serta gerak kerja unit masing-masing bermula dari Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (UKKS) merangkap Unit Perhubungan Sambutan dan Rehlah(UPSR) dan diakhiri dengan Jabatan Yang Dipertua. Slot pengenalan tersebut bertujuan agar ahli mengetahui unit- unit untuk dirujuk jika terdapat sebarang permasalahan. 


     Agenda majlis diteruskan lagi dengan Ucaptama Yang Dipertua, yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua BKKIMM sesi 2018/2019, Ustaz Muhammad Audi bin Ismail sendiri. Antara isi kandungan yang disebutkan oleh Yang Dipertua adalah menjadikan BKKIMM sebagai platform bekerja untuk Islam. Sepertimana yang diketahui, BKKIMM ialah medan untuk beramal dengan segala ilmu serta kefahaman yang diperoleh. Tema BKKIMM pada sesi ini ialah “Memurnikan Fikrah, Membina Sahsiah” manakala pembawaan pada sesi kali ini pula ialah Adab dan Tarbiah serta Pemantapan Fikrah melalui Thaqafah dan Ilmiah. Seterusnya, isi kandungan menarik yang disebutkan oleh Yang Dipertua ialah berkenaan Kesepakatan Usul Tanggungjawab Bersama yang mana perlunya kepada kerjasama antara ahli dan pimpinan dalam menjayakan usul yang telah disepakati pada MAT ke-31 yang lalu sebelum diakhiri dengan slogan iaitu BKKIMM Keluarga Kita.

     
     Seusai ucaptama dibacakan, telah dibuka sesi perbahasan ucaptama. Ahli BKKIMM yang hadir diberi ruang untuk berbahas atau memberi cadangan berkenaan ucaptama yang telah disampaikan demi penambahbaikan BKKIMM. 



     Akhirnya, Majlis Ucaptama Yang Dipertua dan Ramah Mesra AJKT diakhiri dengan ikrar taat setia ahli dan pimpinan disusuli dengan sesi bergambar dan jamuan yang disediakan oleh komiti pelaksana program. Semoga dengan berlangsungnya program ini, semua ahli dan pimpinan dapat mengukuhkan kebersamaan yang terbina antara satu sama lain serta mendapat redha Allah SWT dalam meneruskan survival BKKIMM. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua komiti pelaksana dan ahli yang telah memberikan komitmen yang baik serta menjayakan program ini. Semoga Allah merahmati dan memberkati bahtera BKKIMM ini. 

Sekian.

“Memurnikan Fikrah, Membina Sahsiah”

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

#BKKIMMKeluargaKita

#BersamaBersatu

Disediakan oleh:

Setiausaha | Ucaptama Yang Dipertua dan Ramah Mesra AJKT | BKKIMM sesi 2018/2019

No comments:

Post a Comment