Thursday 13 February 2020

BAZAR WARISAN TAAKHI 2020 (WEHDAH '20) : MEMPERKASAKAN UKHUWAH, MENGIMPLEMENTASIKAN EKONOMI ISLAM

Pada 28 Januari hingga 4 Februari 2020, telah berlangsung dengan jayanya Program Bazar Warisan Taakhi 2020 (WEHDAH '20) anjuran bersama Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang (BKMIP) dan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2019/2020 dengan kerjasama Atase Pendidikan Pahang Kaherah Mesir.

   Program yang berlangsung selama 8 hari ini padat dengan aktiviti yang menarik serta bermanfaat.

   Pada 28 Januari 2020, Program Bazar Warisan Taakhi (WEHDAH '20) telah dimulakan dengan program ambang yang dinamakan sebagai "Simposium Muamalat Islam" selama 3 hari. Terdapat lima slot khas berfokuskan tentang muamalat dalam Islam yang telah disampaikan oleh pengisi-pengisi yang cukup hebat. Pada ambang hari pertama 28 Januari 2020 dan hari kedua 29 Januari 2020 telah berlangsung keempat-empat slot daripada Dr Ahmad Muhammad Muhammad Abu Saadah (Pensyarah Kuliah Syariah Islamiah, Al-Azhar), Ustaz Mohd Azrul bin Ismail (Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan), Ustaz Muhammad Izzuddin bin Zainalabidin (Ketua Unit Thaqafah BKASM sesi 2019/2020) dan Ustaz Mihammad Aimi Akmal bin Zaini (Fasilitator BKASM) bertempat di Wisma Pahang Baru Awal Sabiek.

   Pada 31 Januari 2020, hari ketiga ambang bazar  (WEHDAH '20) telah diadakan slot yang kelima yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Ilmam bin Ismail (Fasilitator KPKM) bertempat di Kompleks Indera Mahkota, Hayyu Asyir.

   Pada 1 Februari 2020, pada jam 8.00 malam telah diadakan aktiviti mendirikan khemah. Aktiviti ini mengambil masa selama 6 jam dengan kerjasama yang padu dari seluruh ahli BKAN TAAKHI yang bertungkus-lumus untuk mendirikan khemah bagi menjayakan program (WEHDAH '20) pada keeseokan harinya.

   Pada tanggal 2 Februari 2020, Bazar Warisan Taakhi (WEHDAH '20) telah membuka tirainya  pada jam 12.30 tengahari dengan jayanya. Pembukaan tapak niaga oleh para peniaga dan kehadiran para pengunjung telah memeriahkan program bazar ini. Antara aktiviti menarik sepanjang hari pertama adalah "Legacy Games" dan Majlis Perasmian yang dimulakan dengan ucapan daripada Ustaz Norazimi bin Khusaini selaku Pengarah (WEHDAH '20) diikuti ucapan daripada Ustaz Muhammad Audi bin Ismail selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi 2019/2020. Seterusnya, diserikan lagi  dengan ucapan perasmian  daripada Ustaz Syed Muhammad Hazimuddin bin Syed Hamid, Penasihat BKMIP sesi 2019/2020.  Program diteruskan lagi dengan "Bicara At Tib : العقل السليم في الجسم السليم" yang disediakan khusus kepada semua pengunjung bazar (WEHDAH '20).

   Pada 3 Februari 2020, bazar diteruskan seperti biasa. Program bazar ini diserikan lagi dengan kehadiran Encik Rafidi bin Zainol selaku Setiausaha Kedua Education Malaysia Egypt (EME) bersama isterinya. Antara aktiviti menarik pada hari tersebut ialah "Medical Check-Up" bersama wakil Perubatan Cawangan Al-Azhar (PCA) serta aktiviti "Menu Warisan" dan pertunjukan khat daripada wakil ahli BKSAM. Seterusnya, pada sebelah malam pula telah berlangsung aktiviti "Quizshow Wehdah : Setia Bersama Taakhi" yang disertai oleh ahli daripada ketiga-tiga BKAN TAAKHI Zon D iaitu Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang (BKMIP) dan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM). Pada pengakhiran malam telah berlangsungnya slot "Bicarawara : Kalam Hikmah Bersama Murabbi" oleh Ustaz Mohd Aqil Mustaqim bin Mohd Fadzil (Ketua Unit HISBAH BKASM sesi 2019/2020) dan Ustaz Muhammad Aimi Akmal bin Zaini (Fasilitator BKASM) yang disampaikan dalam suasana yang santai sebagai penutup tirai pada malam tersebut.

   Pada 4 Februari 2020, merupakan hari terakhir bagi program (WEHDAH '20). Bazar diteruskan dengan aktiviti "Dental Check-Up" bersama wakil Perubatan cawangan Al-Azhar (PCA). Turut  diadakan slot "Bicara Ilmuan" yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Akram bin Mamad, Timbalan Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan Ustaz Zaidon bin Misron, Yang Dipertua Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang (BKMIP). Pada sebelah malam pula, acara diteruskan lagi dengan Majlis Penutupan (WEHDAH '20) yang dimulakan dengan ucapan daripada Ustaz Norazimi bin Khusaini selaku pengarah (WEHDAH' 20) dan diteruskan dengan ucapan daripada Ustaz Muhammad Zaidon bin Misron, Yang Dipertua BKMIP sesi 2019/2020 kemudian dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Syukri bin Rosli, Yang Dipertua BKASM sesi 2019/2020 serta penyampaian hadiah bagi anugerah yang telah diadakan oleh pihak (WEHDAH '20). Sebelum berakhir, para pengunjung telah dipersembahkan dengan sedikit halwa telinga iaitu nasyid daripada kumpulan Sufy's Rhythm.

    Dengan penganjuran Bazar Warisan Taakhi 2020 (WEHDAH '20) pada tahun ini moga-moga ia menjadi satu wasilah dalam memupuk ukhuwah Islamiah dan jalinan kasih sayang dalam kalangan mahasiswa di Perlembahan Nil ini khususnya di antara kalangan ahli BKAN TAAKHI sama ada yang lama ataupun baru seterusnya menjadikan BKAN sebagai wadah dalam menjaga kebajikan ahlinya di bumi Mesir ini.

Sekian, terima kasih.


"Memperkasakan Ukhuwah, 
Mengimplementasikan Ekonomi Islam"
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha
Bazar Warisan Taakhi 2020 (WEHDAH'20)


Anjuran bersama :
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)
Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang (BKMIP)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM)
dengan kerjasama Atase Pendidikan Pahang Kaherah Mesir


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#SetiaBersamaUkhuwah
#SetiaBersamaTaakhi

No comments:

Post a Comment