Thursday 2 July 2020

[ MINDA PIMPINAN | EDISI 1 : PALESTIN BUKAN ISU NEGARA ]


PALESTIN BUKAN ISU NEGARA

   Dalam meniti era akhir zaman ini, pelbagai isu hangat dan semasa dimainkan di dada akhbar namun tak dilupakan juga media sosial merupakan antara sumber terpantas waktu kini memperoleh berita daripada setiap pelusuk benua. Baru-baru ini, berita penindasan hak asasi manusia dan peperangan negara Islam kembali hangat dilaporkan. Yaman merupakan negara yang mempunyai kes kebuluran yang tinggi dan terkesan akibat pelbagai serangan ketenteraan dari Arab Saudi menentang puak pengganas Houthi yang berpengkalan di Yaman. Tidak dilupakan juga masyarakat Islam di Uighur, Kashmir, India dan Kaum Rohingya yang dizalimi atas faktor status agama Islam itu sendiri. Namun sehingga kini ramai umat Islam yang masih buta dan bisu akan masalah penindasan saudara kita di seluruh dunia terutama di Baitul Maqdis yang lebih dikenali sebagai Al-Quds atau Palestin. 
   
     Perbincangan berkaitan Palestin membawa kepada kecaknaan ummah dalam isu umat Islam bukan sahaja dalam kalangan pemikir Islam mahupun individu, kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita dan tuntutan selaku umat Islam.
    
     Terdirinya sebuah negara haram Israel di atas tanah namanya Palestin, tanah barakah yang disebut dalam Al-Quran pada surah Al-Israk berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj. Masalah ini harus ditelan dan dihadapi oleh semua golongan umat Islam bukan sekadar kepada warga Palestin sahaja. Malah kecaknaan dan kewajaran semua pihak termasuk pimpinan dunia Islam adalah keterlibatan yang wajib bagi mempertahankan hak umat Islam yang telah lama dinodai musuh.
     
    Selain itu, Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi ada menulis dalam kitabnya berjudul {القدس قضية كل مسلم} yang menyatakan kedudukan dan kepentingan Baitul Maqdis di sisi umat Islam. Antaranya sebagai kiblat yang pertama bagi umat Islam, masjid ketiga yang diagungkan selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tempat lahirnya para Anbiya’ dan bumi jihad dan syahid. Walaubagaimanapun, umat Islam harus sedar bahawa keadaan Palestin pada hari ini adalah kesan daripada perancangan musuh Islam iaitu Zionis dan Amerika. Tidak terkecuali juga Liga Arab turut terlibat bagi memenuhi kepentingan negara masing-masing yang menyebabkan pendirian mereka terpesong akibat terlibat dalam kancah pemikiran yang rosak dan sifat berpuak dalam kalangan Arab sendiri. Perkara ini amatlah ditegah dan dibenci oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana bercanggah dengan agama Islam. Oleh itu, hanya mereka yang telah diracuni pemikirannya oleh musuh Islam akan mengabaikan isu berkaitan Palestin.

     Seterusnya, umat Islam di Palestin perlu bersaing dengan Yahudi dalam menuntut hak tanah mereka. Kaum tersebut meyakini bahawa Nabi Sulaiman telah mencipta kuil bernama Haikal Sulaiman bagi memuja Mahdi dan sebagainya. Kesan perjanjian Sykes-Picot pada Mei 1916 telah berjaya membahagikan negara-negara Arab yang dijajah oleh British dengan menggoyahkan sistem khalifah sehingga terbit pengisytiharan Balfour bahawa British bersetuju menubuhkan negara Yahudi di Palestin pada tahun 1917. Susulan daripada pembahagian wilayah-wilayah Arab akibat kejatuhan sistem khalifah pada 3 Mac 1924, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara bersetuju dengan perkara itu setelah undian majoriti menatijahkan pengiktirafan penubuhan negara Israel keatas tanah Palestin secara pintu belakang atau pencerobohan. 
     
    Tanggal 6 Disember 2017, Presiden Donald Trump secara rasmi mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Pada 29 Januari 2020 Presiden Amerika dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melancarkan satu kertas kerja setebal 181 halaman yang bertajuk Peace To Property : A Vission To Improve Lives Of Palestinian And Israeli People ke arah menjayakan penubuhan Negara Palestin Baharu, mirip seperti perjanjian Sykes-Picot pada 100 tahun yang lalu. Deal Of The Century dikenali sebagai pelan damai antara Palestin dan Israel. Ia merupakan projek pemetaan semula rantau Palestin kepada Yahudi yang dibahaskan sebagai “perundingan” kerana Hamas dan Palestin didesak untuk menerima tawaran secara berat sebelah.
    
    Matlamat Deal Of The Century adalah mewujudkan negara Palestin baharu yang berada dalam cengkaman pentadbiran Israel bakal meluaskan sempadan negara Israel. Perancangan musuh makin naik kepala apabila menyatakan agendanya yang bakal memberi impak besar terhadap umat Islam, namun jangkaan penulis meleset kerana umat Islam masih alpa kerana terjerat dalam perancangan musuh yang memainkan perseteruan mazhab, isu Wahabi dan Khilaf serta fikrah barat yang termakan dalam kalangan pimpinan negara Islam yang berbentuk sekular, pragmatism, materialism dan banyak lagi. Terdapat negara Islam yang menjadi rakan diplomatik bagi menjayakan Deal Of The Century kerana takut digulingkan pentadbiran, lalu melenyapkan setiap gerakan Islam yang wujud dan bergerak melalui sufisme yang berpendapat dapat mengurangkan sensitiviti politik dalam sesebuah negara Islam. 
    
    Imam Syafie’ pernah berkata, “Jika tidak mampu membantu agamamu, setidaknya jangan berdiri di barisan perosak agamamu”. Cukup mudah memahami ayat ini untuk tidak bekerjasama dengan musuh walau apa jua sudut sekalipun.
    
   Antara agenda Deal Of The Century adalah pemindahan penduduk Gaza ke semenanjung Sinai, Mesir. Di samping itu, sebahagian tebing barat diserahkan kepada Jordan manakala sebahagian lagi dimiliki Israel dan ibu negara Israel dipindahkan ke Jurusalem yang membawa kesan pengaruh Israel ke atas bumi Palestin. Siapakah yang membiayai agenda ini? Sudah semestinya pembiayaan bernilai 30 bilion dolar ini dibiayai secara bersama oleh negara yang pro Deal Of The Century. Amerika Syarikat telah menyumbang sebanyak 20%, manakala Kesatuan Eropah (EU) 10% dan 70% berbaki adalah daripada negara teluk. Perkara ini amat mendukacitakan apabila negara teluk ini takut akan ugutan Amerika untuk memporak-perandakan negara mereka dan mereka lebih mahu mengaut keuntungan periuk nasi sendiri sahaja tanpa menghiraukan nasib insan seagama. 
   
     Sudah terang lagi bersuluh agenda Israel bersama proksinya Amerika Syarikat berat sebelah dalam perjanjian ini, apabila keuntungan pengiktirafan Jurusalem sebagai ibu negara Israel sekaligus memudarkan peluang Palestin untuk mengambil alih Al-Quds sebagai hak umat Islam. Sikap normalisasi liga Arab bersama Israel bukanlah perkara baru bagi kita, Arab Saudi sendiri bekerjasama penuh dari sudut teknologi dan ketenteraan serta membuka pintu diplomatik yang akrab namun tidak dipaparkan secara umum di media atas faktor Arab Saudi sendiri. Muhammad bin Salman telah mengubah landskap pentadbiran Arab Saudi daripada sistem konservatif kepada modernis ala barat.
   
   Impak yang jelas dapat dilihat apabila Jurusalem ditadbir dan dikawal sepenuhnya oleh Israel, manakala warga Palestin yang menetap di Jurusalem masih boleh menetap dan dikenakan cukai perbandaran dan bil utiliti oleh kerajaan Israel. Selain itu, umum mengetahui bahawa Sinai yang bersempadan dengan Gaza menjadi ruang fasiliti baharu kepada Palestin telah ditawarkan oleh Mesir. Kawasan perindustrian, lapangan terbang, kompleks komersil dan lain-lain adalah fasiliti yang dijanjikan.
   
    Tidak berhenti di sini sahaja, Hamas juga turut terkesan apabila diarahkan untuk tunduk kepada Mesir. Ganjaran yang ditawarkan ialah jawatan dan harta dari negara pro Deal Of The Century sebagai tanda balas sokongan. Dengan jati diri mereka yang kukuh, mereka tetap mempertahankan Palestin dan tidak termakan suapan musuh. Lantaran itu, fasiliti lebuhraya yang menghubungkan Tebing Barat dan Gaza dibina secara kerjasama oleh negara pakatan Deal Of The Century iaitu Cina yang menyumbang 50%, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) sebanyak 20%  dan Korea Selatan, Australia dan Kanada melengkapkan 30% berbaki bagi menjayakan projek lebuhraya ini.
    
   Kerajaan Palestin dan kumpulan Hamas terus ditekan dan diasak oleh Israel melalui rakan proksi Amerika Syarikat dengan mengugut untuk menyekat segala bantuan masuk ke negara terkepung tersebut dan menyekat saluran kewangan agar tidak ada mana-mana pihak dan negara dapat membantu mereka melalui transaksi perbankan. Inilah kezaliman dan kekejaman yang nyata namun tidak mampu kita hulurkan bantuan dan menegakkan suara untuk membela hak kemanusiaan yang tertindas bahkan hak umat Islam sendiri tidak mampu terbela dengan faktor diri kita sendiri, masyarakat, dan pemimpin negara Islam yang kurangnya kesedaran terhadap isu umat Islam ini.
   
   Antara negara yang memainkan peranan penting bagi menjayakan dan melaksanakan perancangan ini adalah Mesir dan Arab Saudi. Dua negara ini berhubung baik dari segi ketenteraan, mahupun diplomatik bersama Amerika Syarikat yang menjadi buah catur dan gear utama bagi merencanakan Deal Of The Century. Tidak pelik bagi penulis bahawa sifat normalisasi Liga Arab mengikut telunjuk musuh kerana beberapa faktor. Pemerintah negara akan diugut untuk berbaik dengan Israel, sekiranya tidak pemerintah akan digulingkan. Tamsilannya boleh dilihat pimpinan Dr Mohammad Morsi yang digulingkan oleh Al-Sisi dari ketenteraan yang cenderung pragmatis kepada Israel. Seterusnya tawaran kekayaan dan keamanan antara yang dijanjikan oleh Israel, seandainya tidak mesra jenayah lama akan diungkit untuk dibicarakan. Antara faktor lain ialah negara yang sudah bersama Israel akibat kepentingan bersama menatijahkan kekayaan kedua belah pihak antara Israel dan negara tersebut. Oleh itu, peluang Palestin makin tipis dan mungkin tidak diendahkan lagi akibat terkesan dari faktor normalisasi negara serantau dengan Israel.
   
  Institusi pengajian yang menjadi mercu utama dalam pengajian Islam masa kini iaitu Al-Azhar menjadi kunci bahawa pendirian dan ketegasannya berhubung pencabulan hak asasi kemanusiaan lebih-lebih lagi isu Palestin. Kematangan ilmu Al-Azhar dapat dilihat apabila ketegasan dalam memelihara agama dari kuasa luar dan fitnah politik mahupun dari dalam ataupun luar. Pada tahun 1948, Al-Azhar mengeluarkan fatwa kewajipan membela dan mempertahankan  Palestin melalui jiwa dan harta warga Arab dan umat Islam. Pada tahun 2011, sekali lagi Al-Azhar mengeluarkan dokumen berkaitan isu Palestin dalam menegaskan hak milik Palestin dan perjuangan mempertahankan serta membebaskan bumi Palestin.
  
  Kesimpulannya, hari ini kita dilalaikan dengan ideologi hedonisme dan materialisme sehingga menjadi dungu terhadap agama. Lazim membuang masa tanpa memikirkan dan menghayati sirah para Nabi dan leka dari tadabbur al-Quran merupakan pembaziran terbesar dalam kehidupan pemuda hari ini, jauh untuk dibandingkan dengan pemuda zaman kegemilangan Islam dahulu. Sikap pentingkan diri, tidak cakna isu umat Islam dan lalai dengan hiburan sehingga lupa kewajipan dan peranan mahasiswa Islam dalam mendepani isu ini adalah kegagalan dan kerugian bagi golongan tersebut. Berkata Dr. Raghib Sarjani dalam kitabnya berjudul (فلسطين واجبات الأمة), “Pemuda adalah tiang negara, tanpa pemuda negara itu lemah, maka peganglah pemuda itu seeratnya”.
  
    Antara yang disebut oleh Dr. Raghib Sarjani berkaitan tanggungjawab pemuda dalam membela Palestin ialah hidup beribadah kepada Allah, memahami dan mempelajari sejarah berkaitan isu Palestin, memanfaatkan jaringan internet dan perhubungan teknologi, menulis kepelbagaian penulisan untuk dibaca dalam pelbagai laman media yang penting pada hari ini, berjuang dengan harta dan tidak meremehkan sumbangan yang kecil. Beliau juga menyebutkan peranan perarakan di peringkat universiti secara aman dapat membantu isu palestin dalam meraih pandangan dunia luar kerana kecaknaan pemuda atau mahasiswa terhadap isu Palestin. 
    
    Umat Islam perlu sedar akan setiap perancangan yang disusun musuh-musuh Islam. Mereka sanggup untuk tidak tidur malam dan tetap bekerja untuk merancang menghancurkan umat Islam hari ini. 
   
Benarlah firman Allah SWT :

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِی جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu."

[QS. Al-Baqarah : 120]

    Perjuangan memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi. Seruan Islam tidak menjanjikan kemewahan dan tempoh yang diketahui. Halangan dan tentangan manusia terhadap seruan Islam merupakan suatu kepastian. Namun begitu, sebagai pejuang agama Islam, hendaklah meneruskan misi perjuangan sehingga tercapai matlamat tertinggi walaupun harus menempuhi pelbagai liku. 
    
Firman Allah SWT : 

لَوۡ كَانَ عَرَضࣰا قَرِیبࣰا وَسَفَرࣰا قَاصِدࣰا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.” 

[QS. Taubah : 42]

  Tugasan para daie’ bukanlah memperoleh pengaruh dan kemasyhuran seperti yang berlaku pada masa kini. Oleh itu, perbetulkanlah niat untuk menyampaikan kefahaman dan ilmu kepada masyarakat. Islam harus diperjuangkan dan disampaikan hingga hari akhirat. Hadith dari al-Mughirah bin Syukbah bahawa Rasulullah SAW bersabda :
  
لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ أَوْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ

“Akan ada sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan perintah Allah, mereka tidak akan mampu diberi mudarat, dicela serta dihalang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya (hukuman keputusan) sedangkan mereka terus berjuang".

[HR. Muslim]

   Tuntasnya, seharusnya kita kembali kepada fikrah Islam dalam melahirkan kesatuan di antara muslim. Kesedaran umat Islam berkaitan Palestin harus diterjemahkan dengan meluas mencakupi segala sudut capaian. Justeru, marilah sama-sama kita doakan semoga umat Islam di Palestin khasnya dan seluruh dunia amnya dilindungi dan dipelihara oleh Allah SWT. 


Disediakan oleh : 
Muhammad Azery bin Syed Hussin 
Ketua Unit Perumahan 
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2019/2020 


"Profesionalisme Mahasiswa, Membina Ilmuan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu

No comments:

Post a Comment