Thursday 16 July 2020

[ MINDA PIMPINAN | EDISI-2 : AL-QURAN PANDUAN MANUSIA BERFIKIR ]



 AL-QURAN PANDUAN MANUSIA BERFIKIR 

Firman Allah ﷻ :

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ 

“Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang berserah diri.” 

[ QS. an-Nahl : 89 ] 

    Berdasarkan ayat di atas, Allah menjelaskan secara keseluruhan bahawa kandungan al-Quran adalah sebagai petunjuk jalan yang terbaik dan paling adil serta benar. Seandainya kita berkeinginan menggali perincian hidayahnya secara sempurna, nescaya kita akan mengharungi seluruh kandungan al-Quran.

    Al-Quran merupakan kitab suci yang mempunyai 1001 hikmah di dalamnya. Ia juga terkandung nilai mukjizat yang tinggi sama ada dari sudut akidah, akhlak, persejarahan, pemikiran dan lain-lain. Tambahan juga, sifat al-Quran sangat relevan sepanjang zaman sehingga menjangkau tahap pemikiran manusia. 

Oleh sebab sifat relenvasinya sepanjang zaman, terdapat prinsip-prinsip yang digariskan secara umum, dari segi teknikal dan pelaksanaannya yang diserahkan kepada kebijaksanaan manusia untuk melaksanakannya. Maka dengan itu, manusia dibenarkan berijtihad bagi mencari kaedah dan penyelesaian yang terbaik.

Firman Allah SWT :

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ


"Katakanlah lagi (kepadanya) : "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."

[ QS. az-Zumar : 9 ] 


    Akal merupakan anugerah Allah kepada manusia. Ia diumpamakan seperti sebuah mesin berfikir dalam menganalisa data dan memproses sesuatu maklumat. Tanpa fungsi akal, manusia tiada nilainya. Meskipun kita mempunyai akal yang cerdas dan mampu berfikir secara rasional, ia menjadi sia-sia jika tidak digunakan dengan sebaik mungkin. 

    Akal tidak boleh diabaikan tanpa panduan dan bimbingan agama. Sesuatu kebenaran itu diukur apabila ia menepati garis panduan al-Quran dan Sunnah. Namun, jika sebaliknya maka ia menjadi batil dan tertolak. Walaupun akal dituntut berpandukan wahyu agama namun ia tidak menjadi penghalang atau alasan untuk manusia tidak berfikir. Malah al-Quran sendiri menuntut manusia berfikir dengan cara yang betul. 

    Sebagai manusia, kita wajib mengetahui bahawa isi kandungan al-Quran sangat padat dengan dalil-dalil yang merangsang akal supaya berfikir mencari pengajaran dan meneliti isi kandungannya bagi mendidik akal agar tidak terlalu jumud dalam sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi, akal perlu digunakan untuk memahami isi kandungan al-Quran. Ia tidak mungkin difahami dengan andaian dan persepsi sendiri. 

Bahkan, berfikir dengan cara yang betul akan menjadikan manusia mengenali Allah SWT menerusi kekuasaan penciptaan-Nya. Sehubungan itu, berfikir dan merenungi kejadian alam dapat membawa manusia mengagumi dan mengagungkan ciptaan Allah yang merupakan tuntutan dan ibadah selaku hamba-Nya. 
    
Terdapat suatu kalam yang diriwayatkan oleh Huzaifah Al-Yamani berbunyi :

تَكُونُ فِتْنَةٌ تَعْرُجُ فِيهَا عُقُولُ الرِّجَالِ حَتَّى مَا تَكَادُ تَرَى رَجُلا عَاقِلا

"Akan datang suatu fitnah yang mengelirukan akal manusia hingga tidak kita temui di antara mereka seorang yang berakal pun."

    Di akhir zaman ini, kita perlu sedar bahawa dunia kini terlalu mencabar dengan bermacam-macam pemikiran barat yang merosakkan anak muda Islam. Hal ini menuntut kepada kita selaku mahasiswa Islam untuk mendalami ilmu agama. Tidak cukup hanya mentaklid ilmu, bahkan perlu mendalami ilmu sehingga terkeluar dari pada golongan taklid dan mampu berijtihad atas ilmu yang dimiliki. 

Masyarakat hari ini lebih tertarik dengan pemikiran dan idea-idea yang dikeluarkan oleh musuh. Bukan kerana mereka tidak tahu, akan tetapi mereka tidak mengkaji sudut baik dan buruk sesuatu perkara yang diambil. Akhirnya, sikap umat yang terikut-ikut iaitu mengambil tanpa memahami dan mengkaji telah menjadi fenomena sehingga menzahirkan agama Islam terlihat kolot dan jumud. 

    Selain itu juga, akal yang waras hendaklah diselarikan dengan ajaran al-Quran agar hujah yang dikeluarkan bukan hanya mengikut logik, akan tetapi menjadikan ia thabit dan tepat mengikut panduan Islam. Jika sesuatu hukum atau hujah dikeluarkan tanpa dalil yang tepat akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Maka, kekeliruan ini boleh menjadi titik tolak kepada perancangan musuh bagi memecah-belahkan umat Islam. 

    Kita perlu ketahui bahawa peranan akal sangat diiktiraf dalam Islam. Hal ini penting kepada manusia untuk menggunakan manhaj dan ilmu yang benar apabila mempraktikkan akal fikiran. Tidak hanya mengikut kefahaman dan pandangan sendiri yang menyebabkan berlaku sentimen emosi dan semangat semata-mata tanpa kefahaman yang sahih. 

    Islam dikatakan jumud dan tidak mampu berdaya saing dalam era moden ini apabila wujud pemikiran jumud, iaitu pemikiran yang tidak melihat kepada perkembangan dan perubahan realiti semasa. Walhal syariat Islam yang digariskan adalah bersesuaian sepanjang zaman. Keistimewaan syariat Islam adalah teguh dan tetap pada dasar dan prinsip serta fleksibel digunakan mengikut pendekatan teknikal yang sesuai. Berfikir itu tidak salah. Akan tetapi haruslah berdasarkan ilmu dan manhaj yang sebenar.

    Antara contoh serangan pemikiran yang berlaku kini ialah liberalisme. Hal ini kerana mereka tidak mahu akal terkongkong dengan agama. Bagi mereka, kongkongan agama ke atas pemikiran menyebabkan manusia semakin mundur. Hakikatnya, Islam tidak mengongkong akal untuk berfikir malah Islam memimpin akal dengan memberikan panduan berfikir yang selamat dan membawa kepada kebaikan.

    Di samping itu, tamadun dan peradaban Islam mestilah ditegakkan dengan mengambil pengajaran dari generasi terdahulu untuk diaplikasikan dalam diri setiap individu. Lihatlah bagaimana gaya pemikiran para Nabi dan sahabat yang kritis mampu diguna pakai oleh generasi selepas mereka. Gaya fikir mahupun idea yang bernas bukanlah lahir secara semulajadi, akan tetapi ia datang melalui bahan-bahan pembacaan dan kajian-kajian yang dilakukan. 

Tamadun yang hebat dapat dibina, jika manusia menggunakan akal secara maksima berpandukan syariat Islam yang sebenar. Oleh itu, jadilah ahli fikir yang berkualiti, bukan sahaja berfikir tetapi mereka yang mampu menghasilkan penyelesaian. 

    Justeru, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sentiasa berusaha memupuk kefahaman Islam dalam diri ahli melalui medium sedia ada dengan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai dustur utama tanpa meninggalkan ilmu dan kemahiran yang lain. Tujuannya, adalah bagi melahirkan mahasiswa Islam yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan membisu bahkan menjadi mahasiswa Islam yang berkualiti dan mampu menggunakan serta mengamalkan ilmu mereka dengan membenarkan yang hak dan mencantas yang batil.


    Tuntasnya, jadikanlah al-Quran sebagai sumber rujukan utama sebelum yang lain. Ambillah pengajaran daripadanya dan terapkan mengikut acuan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan khalifah-khalifah selepasnya. Sesungguhnya al-Quran itu terpelihara isinya sepanjang zaman.
    
   Moga-moga kita selaku manusia dapat menjaga akal dan pemikiran kita daripada pemahaman dan pemikiran yang salah. Akal itu sifatnya kompleks, jika digunakan pada perkara yang salah maka buruklah padahnya. Akan tetapi jika digunakan ke arah kebaikan dan kebenaran maka baiklah hasilnya.

"Professionalisme Mahasiswa, Membina Ilmuan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu

Disediakan oleh : 
Siti Mariam binti Mohamed Ishak
Timbalan Bendahari Agung (Timbalan Ketua Unit Kebajikan) BKKIMM sesi 2019/2020

No comments:

Post a Comment