Sunday 2 August 2020

[ MINDA PIMPINAN | EDISI-3 : MENYINGKAP PENGORBANAN NABI IBRAHIM AS DAN NABI ISMAIL AS ]


[ MINDA PIMPINAN | EDISI-3 : MENYINGKAP PENGORBANAN NABI IBRAHIM AS DAN NABI ISMAIL AS ]

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37:

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."

    Aidiladha merupakan antara hari dan perayaan yang besar bagi umat Islam selain daripada hari Raya Aidilfitri. Aidiladha juga merupakan hari raya yang mempunyai amal ibadahnya yang tersendiri dan di antaranya ialah ibadah korban. 
Allah SWT telah mengisyaratkan ibadah korban kepada hambanya yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 2 :

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)." 

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Imam Syafie ialah sunat Muakkad. Maksud ibadah korban ialah sembelihan haiwan ternakan seperti kambing dan lembu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

      Di sebalik pensyariatan ibadah korban, sebuah kisah yang tidak asing bagi kita iaitu kisah pengorbanan di antara Nabi Ibrahim A.S dan juga Nabi Ismail A.S yang telah dinukilkan di dalam Surah as-Shaffat dari ayat 99 hingga ayat 113.

Nabi Ibrahim A.S yang terkenal dengan sirah perjuangannya dan ujian yang dihadapinya sungguh dahsyat sehingga baginda dikategorikan sebagai salah seorang nabi Ulul Azmi.

Nabi Ibrahim A.S berdoa kepada Allah SWT untuk dianugerahkan anak yang soleh, lalu Allah SWT memperkenankan doa baginda dengan menganugerahkan seorang anak yang soleh dan baik iaitu Nabi Ismail A.S.

Ketika umur Nabi Ismail A.S sudah sampai tahap dewasa, Allah SWT memberi wahyu kepada Nabi Ibrahim A.S melalui mimpi dengan perintah menyembelih puteranya yang soleh itu. Maka berlakulah sedikit perbincangan di antara dua hamba Allah yang taat itu.

Nabi Ibrahim A.S dengan nada penuh kasih sayang bertanya kepada anaknya Nabi Ismail A.S: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, apa pendapat kamu ?".

Nabi Ibrahim A.S memberitahu Nabi Ismail A.S tentang mimpinya adalah untuk berbincang dan mengambil pendapat anaknya supaya Nabi Ismail A.S tidak terkejut dengan perintah itu.

    Lalu Nabi Ismail A.S menjawab: "Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar."

    Jawapan Nabi Ismail A.S mampu menggetarkan jiwa-jiwa orang beriman bagaimana baginda sanggup melakukan perintah daripada Allah SWT walaupun mengorbankan dirinya sendiri. 
Tatkala Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S dalam keadaan bersedia untuk melakukan penyembelihan, maka ketika itu Allah SWT menggantikan Nabi Ismail A.S dengan seekor kambing biri-biri yang gemuk.

    Terdapat banyak pengajaran dan ibrah yang boleh kita ambil untuk dijadikan panduan dan pedoman di dalam kehidupan kita melalui kisah dua orang rasul ini. Kejujuran dan amanah yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S sebagai seorang rasul dalam menjalankan perintah Allah SWT menjelaskan kepada kita bahawasanya umat Islam haruslah memikul amanah dengan sebaik mungkin serta tidak mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah SWT walaupun amanah itu amat berat. Hal ini mestilah diambil ihtimam untuk menunjukkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan ia adalah satu perjuangan.

   Ketaatan dan kepatuhan seorang hamba kepada Allah SWT yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S menyedarkan kita bahawa perlunya taat dan patuh segala perintah Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan hawa nafsu kita dan perkara ini merupakan satu jihad.

Akhir sekali, kita perlu jelas bahawasanya pengorbanan dan kesabaran dalam melakukan amal ibadah adalah untuk menzahirkan keimanan dan penghambaan kita kepada Allah SWT bagi mendapatkan keredaan-Nya sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S.

    Kesimpulannya, jadikanlah ibadah korban ini sebagai medium untuk menzahirkan sifat ta'abud kepada Allah SWT dengan mengorbankan sedikit harta kita kepada fakir miskin serta melatih kesabaran dan melawan hawa nafsu yang sifatnya cinta akan harta dunia. Semoga ibadah korban kita pada tahun ini diterima oleh Allah SWT dan dapat mendekatkan diri kita lagi kepada Allah SWT.


"Profesionalisme Mahasiswa, Membina Ilmuan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu

Disediakan oleh : 
Umar Muhammad bin Ridzuan
Ketua Unit Ekonomi | BKKIMM sesi 2019/2020

No comments:

Post a Comment