Wednesday 4 August 2021

[ PENGORBANAN DITELUSURI, UKHUWAH TERPATRI ]



KAHERAH, 20 Julai 2021 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menyambut sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun 1442H yang diberi nama Keindahan Sambutan Hari Raya Korban Anak Melaka 2021 iaitu (KORBAN ’21) yang bertemakan “Menghayati Pengorbanan, Aspirasi Ketakwaan“. Program ini saban tahun diadakan untuk meraikan Aidiladha bersama anak-anak Melaka yang berada di Mesir.  

Program KORBAN ’21 pada tahun ini menekankan beberapa aspek yang penting bagi mahasiswa dan mahasiswi Melaka Mesir antaranya ialah mengajak semua ahli bersama-sama meraikan kebesaran  Aidiladha dengan menghayati ibrah pengorbanan para nabi. Selain itu, program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah anak-anak Melaka di Mesir di samping menjaga SOP yang telah ditetapkan. 


KORBAN ’21 telah membuka tirainya dengan program ambang menerusi siaran langsung di media rasmi iaitu Diskusi Kitab Fiqh Manhaji oleh Sheikh Islam Hilal Al-Syafie Al-Azhari. Program diteruskan lagi pada sebelah malam  dengan majlis Perutusan Aidiladha yang disampaikan oleh Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Rohaizad bin Mohd Noh selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi 2020/2021 dan perasmian program yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Munawwir bin Shukrimun selaku Yang Dipertua Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir sesi 2020/2021. 

    Aktiviti program telah dimulakan dengan solat sunat Aidiladha di kediaman masing-masing kemudian diteruskan dengan aktiviti sembelihan di Tabbah dan Thamin oleh beberapa wakil komiti dan peserta korban. Sehubungan itu, daging-daging korban telah dibungkus dan diagihkan kepada anak-anak Melaka dan warga tempatan di sekitar Kaherah. Program diteruskan lagi pada keesokan hari dengan pengisian “Talkshow: Solusi Isu Vaksin dan Depresi” secara siaran langsung. Pengisian ini dikendalikan oleh seorang moderator iaitu Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan dan dua orang panel iaitu Dr Wan Nur Afini binti Wan Azizan serta Ustaz Muhammad Ilmam bin Ismail. Seterusnya, program KORBAN ’21 telah melabuhkan tirainya dengan aktiviti agihan jamuan hari raya yang disediakan oleh pihak komiti program kepada semua Melaka di sekitar Kaherah. 


    Selain itu juga, peringkat komiti KORBAN '21 turut menganjurkan pertandingan kebersihan dan keceriaan rumah yang diberi nama "Clean House Clear Mind", seterusnya pertandingan "Online Quiz" dan kuiz aplikasi khusus buat semua anak Melaka. Penyertaan pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan mendapat sambutan daripada semua anak Melaka yang terlibat. 

Akhir sekali, peringkat BKKIMM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program KORBAN '21. Semoga ibadah korban yang dilakukan diterima oleh Allah SWT seterusnya menjadikan kita hamba yang bertakwa di sisi-Nya. 


“Menghayati Pengorbanan, Aspirasi Ketakwaan”
“Ilmuan Rabbani, Penerus Legasi Islami”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

#Erat_Berkorban
#1Hati1Wahdah
#BersamaBersatu

Disediakan oleh :
Setiausaha (Unit Promosi dan Teknikal) | KORBAN’21 | Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2020/2021

No comments:

Post a Comment