Kaherah, 10 September : Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan satu pertemuan bersama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Encik Mohd Yusof bin Abu Bakar pada 7 September 2014. Pertemuan tersebut diadakan di Hotel Intercontinental Cairo, City Star pada jam 10.30 malam waktu Mesir. Ia bertujuan bagi mendapatkan penjelasan secara terperinci berikutan proses baik pulih bangunan Wisma Seri Melaka yang akan dijalankan dan beberapa permasalahan lain yang dihadapi oleh anak-anak Melaka di Mesir.
Pertemuan tersebut dikendalikan oleh saudara Mohd Zawawy bin Zainal Khan selaku Bendahari Agung BKKIMM berlangsung selama hampir satu jam setengah. Selepas berta'aruf (berkenalan ringkas), Yang Di-Pertua (YDP) BKKIMM, saudara Ahmad Rabbani bin Ismail menjelaskan pendirian BKKIMM dalam masalah ini dan sebab memorandum dihantar. Ia juga disebabkan oleh tindakan pihak yang berwajib yang tidak serius dalam menangani permasalahan ini dengan tiada inisiatif bagi menyampaikan suara penghuni Wisma Seri Melaka kepada kerajaan Negeri. Manakala Setiausaha MAIM, Encik Yusof sendiri mengakui terdapat kelemahan di peringkat pengurusan dalam menangani masalah yang melibatkan semua penghuni Wisma Seri Melaka. "Sebarang permasalahan boleh terus berhubung dengan saya", kata beliau bagi menyelesaikan permasalahan ini.
Agenda diteruskan dengan pembentangan yang disampaikan oleh saudara Mohd Aidil Bin Md Hassim selaku Timbalan Yang Di-Pertua (TYDP) merangkap Ketua Unit Perancang dan Panitia tentang culaan dan yang telah dibuat. Antara yang dibentangkan adalah berkenaan dengan culaan persetujuan dan kemampuan di peringkat penghuni Wisma Seri Melaka untuk berpindah ke rumah sewa. Selain itu kajian terhadap harga dan kos hidup di rumah sewa serta kes keselamatan turut dimaklumkan kepada Encik Yusof.
Berkenaan dengan tuntutan BKKIMM pula, Encik Yusof berjanji bahawa penghuni Wisma Seri Melaka tidak akan dipindahkan sekiranya penempatan sementara tidak disediakan. Beliau juga menjamin kemasukan semula setelah berakhir proses baik pulih bangunan tersebut. Selain itu, masalah anak-anak Melaka yang tidak dibenarkan berdaftar di bawah urusan pentadbiran Wisma Seri Melaka juga akan diselesaikan. Proses perpindahan juga berlaku selewat-lewatnya hujung September ini.
Seterusnya, pertanyaan mengenai pinjaman dan zakat juga diajukan kepada Setiausaha MAIM. Namun begitu, Encik Yusof menjawab bahawa perkara ini sepenuhnya diurus di bawah Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM). Sebarang pertanyaan dan persoalan boleh diajukan kepada pihak tersebut.
Akhir pertemuan tersebut, pihak MAIM mengharapkan supaya anak-anak Melaka di Mesir bekerjasama dalam menghadapi permasalahan ini dan dalam masa yang sama membina kesatuan yang ada dengan sebaiknya.
Pihak AJKT BKKIMM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Setiausaha MAIM, Encik Yusof kerana membuka ruang kepada AJKT BKKIMM untuk menyampaikan suara anak-anak Melaka yang berada di mesir demi menjaga aspek kebajikan, pendidikan dan keselamatan.
Demikian dengan adanya pertemuan sebegini dapat meningkatkan kesedaran bersama dalam menangani sebarang permasalahan khususnya yang berkaitan dengan proses baikpulih bangunan Wisma Seri Melaka dan beberapa isu di kalangan anak-anak Melaka. Semoga dengan pertemuan antara AJKT BKKIMM dan Encik Yusof selaku Setiausaha MAIM dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara anak-anak Melaka Mesir dan Kerajaan Negeri.
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"
"MELESTARI KESATUAN MERENTASI PERJUANGAN"
No comments:
Post a Comment