Keherah, 20 Julai 2015 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir tidak ketinggalan meraikan kehangatan sambutan bulan Syawal dengan menganjurkan satu program hari raya yang dinamakan Gurindam Hati Di Aidilfitri (GAMIT ’15) pada tarikh 19 Julai 2015 bertempat di Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabie’, Kaherah. Program Sambutan Hari Raya pada kali ini bertemakan Walau Jauh Di Oversea, Namun Ukhwah Tetap Di Hati dan telah mendapat sambutan yang baik samada di kalangan ahli mahupun tetamu luar yang hadir.
Tujuan program ini diadakan untuk merapatkan lagi ukhuwah yang telah terjalin antara ahli BKKIMM dan juga memberi ruang untuk berkenalan kepada ahi BKKIMM yang masih belum mengenali antara satu sama lain. Selain itu, tujuannya juga adalah untuk mengubat rasa rindu ahli terhadap kampung halaman dan keluarga serta mengingatkan ahli bahawa seluruh mahasiswa/wi Melaka yang berada di Mesir ibarat keluarga sendiri.
Program ini bermula seawal pagi dengan solat Subuh berjemaah dan ditambah lagi dengan bacaan ayat Al-Quran dikalangan peserta kemudian diteruskan dengan penerangan daripada Unit Pengisian dan Unit Disiplin bagi menjelaskan perjalanan program serta etika-etika semasa program. Setelah itu, aturcara program diteruskan lagi dengan pertandingan Iron Chef dan Hiasan Kek bagi setiap kumpulan yang telah dibahagikan dan setiap kumpulan telah membentangkan menu masakan di hadapan juri.
Program diteruskan dengan pertandingan ‘Khutbah Raya’ selepas menunaikan solat Zohor berjemaah. Setiap kumpulan telah menghantar seorang wakil untuk pertandingan ini dan pertandingan ini hanya terbuka untuk kumpulan lelaki sahaja. Sejurus itu, program diserikan lagi dengan pertandingan menganyam ketupat yang disertai oleh semua ahli kumpulan dan program tersebut berjalan dengan lancarnya.
Rumah terbuka untuk BKKIMM dijalankan selepas solat Asar dan telah dimeriahkan oleh anak-anak Melaka yang berada di perantauan ini juga dikalangan tetamu-tetamu jemputan daripada Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN). Majlis ini juga turut dihadiri oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka, Ustaz Hj Muhd Anwar Bin Idris bersama pembantunya Ustaz Ibrahim Bin Husin. Majlis telah berlangsung selama 2 jam dan berjalan dengan lancar.
Program sambutan hari raya ini pada tahun ini diakhiri dengan majlis perasmian penutup. Majlis diserikan dengan ucapan perasmi iaitu Ustaz Khairul Fadhli Bin Husin selaku Penasihat BKKIMM sesi 2014/2015 seterusnya menyempurnakan gimik perasmian penutup. Majlis disempurnakan lagi dengan penyampaian hadiah kepada setiap pemenang atas pertandingan yang telah dipertandingkan.
Akhirnya, pihak komuniti GAMIT ’15 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program Gurindam Hati Di aidilfitri (GAMIT ’15) peringkat Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir pada tahun ini dan mengharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan pada tahun akan datang seterusnya dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli BKKIMM supaya terus bersama dalam mendukung satu-satunya wadah anak Melaka di Mesir ini insyaAllah.
“ Walau Jauh Di Oversea, Namun Ukhuwah Tetap Di Hati ”
“ Memartabat Keilmuan, Meribat Kesatuan "
Yang menjalan tugas,
Muhammad Anuar Bin Abdullah
Setiausaha Kerja,
Gurindam Hati Di Aidilfitri GAMIT ‘15,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir,
BKKIMM Sesi 2014/2015
BKKIMM Sesi 2014/2015
No comments:
Post a Comment