Monday 23 March 2020

[ PERUTUSAN YDP BKKIMM BERKAITAN COVID-19 DAN PEMAKLUMAN KHAS ]


KAHERAH, 22 Mac 2020 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan perutusan khas yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKKIMM, Ustaz Muhammad Audi bin Ismail secara langsung dalam talian di Facebook rasmi Bkan Melaka Bkkimm berkaitan isu COVID-19 yang amat merungsingkan sama ada di Malaysia mahupun di Mesir. 

     Menurut beliau, pihak Kerajaan Republik Arab Mesir telah melakukan beberapa tindakan bagi membendung masalah wabak ini, antaranya menangguhkan semua pusat pengajian, menghentikan penerbangan keluar masuk dalam dan luar negara serta menetapkan had waktu operasi kepada peniaga terutamanya kedai makan dan lain-lain.

    Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua anak Melaka yang berada di Mesir untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) demi kebaikan dan keselamatan bersama.

Antara garis panduannya :

1. Meningkatkan tahap kebersihan diri dan penjagaan kesihatan. 
2. Sentiasa mengamalkan etika kesihatan apabila berada di khalayak ramai.
3. Mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mengalami simptom COVID-19.
4. Mengelakkan diri dari mengunjungi kawasan tumpuan orang ramai.
5. Memastikan kediaman bersih dan mempunyai bekalan yang mencukupi.
6. Menangguhkan semua lawatan dalam dan luar negara.
7. Mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan dan pihak berwajib.
8. Sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkaitan COVID-19.

     Diingatkan juga kepada semua ahli yang berada di tanah air Malaysia untuk sentiasa mengikuti arahan kawalan pergerakan daripada pihak Kerajaan Malaysia demi kebaikan dan keselamatan bersama. 

     Berikutan penularan wabak tersebut, peringkat pimpinan BKKIMM telah mengambil tindakan dengan menangguhkan semua aktiviti di bawah unit BKKIMM seperti ihya' jumaah, halaqah ilmiah, riadah dan lain-lain. Beliau juga mengharapkan agar semua anak Melaka dapat memanfaatkan masa dengan perkara yang berfaedah sepanjang tempoh penangguhan ini. 

     Selain itu, beliau juga memaklumkan berkaitan pertukaran pimpinan dengan menamatkan kepimpinan sesi 2018/2019 seterusnya mengumumkan kenaikan pimpinan sesi 2019/2020 sepertimana yang telah dibincangkan oleh pimpinan sebelum ini. 

     Pertukaran sesi yang baharu ini adalah bertujuan bagi memaksimumkan gerak kerja kebajikan dan kerjasama dengan pihak berautoriti seperti Pegawai Atase dan KBMK dalam menghadapi isu COVID-19 yang sedang menular di Mesir.

     Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa satu perjumpaan akan diadakan bagi mengambil pandangan dan cadangan untuk perjalanan dan survival BKKIMM seusai wabak COVID-19 ini selesai.

Di kesempatan itu, beliau juga mengingatkan kepada semua untuk mengambil istifadah sempena peristiwa bulan Islam iaitu Israk dan Mikraj.

قال الله تعالى : سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِير

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

 [ QS. Surah Al-Israa’ : 1 ]

Akhirnya, beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru kepada anak-anak Melaka untuk berdoa kepada Allah agar dihindari wabak COVID-19 di samping mengingatkan supaya meningkatkan hubungan dengan Allah dalam menghadapi ujian ini sebagai muhasabah diri serta persediaan bagi menghadapi hari kematian.

"Memurnikan Fikrah, Membina Sahsiah"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMMKeluargaKita
#BersamaBersatu

Disediakan oleh : Jabatan Setiausaha Agung | BKKIMM sesi 2019/2020

No comments:

Post a Comment