Saturday 1 January 2022

[ MINDA MAHASISWA | EDISI -1: "AGENDA PENYATUAN : BAHAYA BERPUAK DAN RUGI BERPECAH BELAH" ]

 




"AGENDA PENYATUAN : BAHAYA BERPUAK DAN RUGI BERPECAH BELAH"

 

Usia terhadap angka 45 tahun jelas menggambarkan di fikiran bahawa sesuatu itu mencapai tempoh kematangan, pengalaman, dan kedewasaan. Sejajar dengan kajian ilmiah menyatakan usia 40 adalah momentum kematangan rohani, pendirian, kefahaman dan keputusan. Hal ini dibuktikan daripada sirah Rasulullah SAW yang dilantik menjadi Rasul pada usia 40 tahun.

 

Tahun ini adalah tahun ke-11 bagi persatuan yang menaungi anak Melaka di Mesir yang tidak bergantung dan bertali. Tetapi bukan erti kelemahan untuk bergerak atau suatu tembok yang menghalang untuk terus membawa agenda murni membimbing anak Melaka agar mempraktikkan dan membumikan makna Islam dalam kehidupan. BKKIMM sentiasa melestari tiga aspek utama pergerakannya iaitu ; Keselamatan, Pendidikan dan Kebajikan serta sentiasa berhubung dengan pihak berwajib di atas segala permasalahan.

 

·        “Ke Arah Merealisasikan Penyatuan Semua Anak Melaka Dengan Menjadikan Islam Yang Syumul Sebagai Panduan”

 

BKKIMM optimis dalam menjadi watak utama agenda penyatuan anak Melaka. Kepimpinannya tidak menyisip tepi isu yang berlegar dalam kalangan anak Melaka. Siapa yang hampir pasti akan merasai beban ujian dan berkongsi rasa sedih yang mereka hadapi. Ia bagai orang yang hampir dengan bara pasti akan merasai bahangnya, tetapi orang yang jauh pasti tidak merasainya. Cabaran dan tribulasi anak Melaka ini umpama "api dalam sekam" tak kunjung akhiranya tanpa menafikan ujian itu adalah 'sunnatullah'. Hal demikian dapat dibuktikan dengan usaha peringkat kepimpinan dan siri-siri hubungan dengan pihak berwajib serta usul yang disepakati antara pimpinan dan ahli dalam MAT yang ke-34.

 

Secara asasnya umat Islam disifatkan sebagai sebuah umat yang satu. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

 

إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ

Maksudnya: "Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku)". (Surah Al-Anbiya’: 92)

 

Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan anak-anak muridnya seperti Mujahid dan Sa’id bin Jubair dalam menafsirkan ayat ini mereka berkata: ‘’Agama kamu adalah agama yang satu’’. Imam Hasan al-Basri pula berkata: Maksudnya adalah “Sunnah kamu adalah sunnah yang satu’’[1]. Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di pula menafsirkan ayat tersebut dengan katanya: Kesemua mereka (iaitu para Rasul) berada di atas agama yang satu, jalan yang satu, serta Tuhan yang satu [2].

 

Tafsiran ini menerangkan kepada kita bahawa agama ini adalah satu, yakni menyembah kepada Allah SWT  dan tiada sekutu baginya. Perbezaan yang ada bukanlah pada aspek-aspek pokok seperti aqidah, melainkan pada aspek cabang, keturunan, dan kaedah ibadah yang sesuai dengan sifatnya yang anjal, fleksibel dan sesuai pada perbezaan masa atau tempat.

 

Tugas para nabi dan rasul yang diutuskan kepada setiap kaumnya tidak lain adalah seruan mengesakan Allah SWT dan menjauhi segala bentuk kejahatan iaitu ; Toghut, seperti mana firman Allah SWT :

 

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِى ڪُلِّ أُمَّةٍ۬ رَّسُولاً أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَۖ

Maksudnya : "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah SWT dan jauhilah taghut…" (Surah an-Nahl : 36)

 

Atas landasan inilah BKKIMM kekal utuh dan dipelihara perjalanannya dalam membawa dan menyambung risalah para nabi dan lebih dekat lagi adalah meneruskan legasi yang ditinggalkan kepada pewaris kenabian iaitu para ulama. Walaupun nabi dan rasul telah lama meninggalkan kita, adalah yang lebih berhak bagi kita untuk menjadikan para utusan Allah SWT sebagai ikutan yang terbaik, mereka menunaikan amanah risalah dakwah yang terpundak di bahu dalam jalan dakwah yang sememangnya jauh dan berliku perjalanannya. Ianya memerlukan bekalan iman, akhlak dan ilmu serta jihad (kesungguhan) yang tinggi untuk meneruskan perjuangan agar mampu membelah badai dan ranjau.

 

Disana ada beberapa sifat utama yang diharapkan BKKIMM memenuhi syarat tersebut, firman Allah SWT :

 

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali Imran : 104).

Di dalam ayat ini menggariskan tiga sifat utama yang menjadi syarat wajib kumpulan Islam yang mewarisi perjuangan Nabi iaitu :

1.      Berdakwah

2.      Menyuruh kepada kebaikan

3.      Mencegah Kemungkaran

 

·        Pembinaan Ukhuwah Islamiah Asas Kejayaan

 

Ringkasnya ukhuwah bermaksud persaudaraan, manakala dinisbahkan kepada islamiah adalah bersifat Islam. Maka ukhuwah islamiah itu boleh diertikan dengan maksud persaudaraan berlandaskan Islam. Kefahaman yang jelas pengertian ini adalah, persaudaraan yang terbina berasaskan aqidah keimanan, erti kata lain berukhuwah kerana Allah SWT  bukan kerana yang lain. Firman Allah SWT :

 

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah SWT , dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah SWT  kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah SWT  mempersatukan hati kamu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah SWT , orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah SWT  menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Surah Ali-Imran: 103)

 

Sebuah hadis pula yang menggambarkan keutuhan dan kekukuhan persaudaraan sesama umat Islam yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: “Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam”.

[Riwayat Al-Bukhari]

 

Inilah acuan Allah SWT  memberi hidayah dengan cara mewujudkan kesatuan umat yang sebenar dan berpijak di alam kenyataan fitrah manusia. Kesatuan ini dilaksanakan mengikut langkah Sunnah Rasulullah SAW yang menyatukan umat pada zaman awal Islam yang saling bermusuhan beratus tahun pada zaman jahiliahnya; iaitu Auz dan Khazraj.

 

               Akhirnya, sekeras-keras batu dapat dilembutkan dengan kuasa Allah SWT dan petunjuk-Nya melalui firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 74 :

 

ثُمَّ قَسَتۡ قُلُوبُكُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٲلِكَ فَهِىَ كَٱلۡحِجَارَةِ أَوۡ أَشَدُّ قَسۡوَةً۬‌ۚ وَإِنَّ مِنَ ٱلۡحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنۡهُ ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۚ وَإِنَّ مِنۡہَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخۡرُجُ مِنۡهُ ٱلۡمَآءُ‌ۚ وَإِنَّ مِنۡہَا لَمَا يَہۡبِطُ مِنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِ‌ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.”

 

 Nilai kita ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan Allah SWT dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Tasawwur Islami ; iaitu gambaran Islam hendaklah difahami dengan betul dan bersifat jiddiah (serius) di dalam memahami Islam serta tidak mencampur adukkan segala anasir perosak iaitu isme-isme lain terhadap Islam.

 

               Dalam membentuk kefahaman Islam yang baik perlu berada dalam suasana persekitaran ‘biah’ Islam yang suci dan pembentukan sahsiah individu pula perlu melalui proses adunan pentarbiahan yang berperingkat. Semoga agenda penyatuan ini menjadi titik pemula pemangkin kesatuan mahasiswa Melaka demi melakarkan kejayaan dari sudut organisasi, akademik dan melahirkan insan yang bermanfaat untuk ummah.

 

RUJUKAN :

[1] Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (5/373).

[2] Lihat Taisir Karim al-Rahman, As-Sa’di (5/1083).


" Medan Islami Menuai Bakti "

" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "

#1Hati1Wahdah

# Bersama Bersatu


Disediakan Oleh : Muhammad Ikhram bin Samsudin

Aktivis BKKIMM


 

No comments:

Post a Comment