Saturday, 16 March 2013

Kalam Timbalan Yang diPertua BKKIMM


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan limpah rahmatNYA kita masih lagi dapat merasai nikmat iman dan islam. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W kerana berkat kesungguhannya dalam membawa risalah islam dan tanpa mengenal erti penat dan lelah yang selamat sampai kepada kita sehinggalah ke hari ini. 
 Sebagaimana firman Allah S.W.T mafhumNYA “Kamu adalah sebaik-baik  umat yang dilahirkan untuk manusia” (Ali Imran:110). Sebagai seorang hamba, kita perlu sedar  mengapa  kita diciptakan oleh Allah S.W.T di atas muka bumi ini iaitu tidak lain adalah  untuk menjadi khalifah atau pemimpin dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Sepatutnya, kita kena berlumba-lumba dalam mencari keredhaan dan pahala daripada Allah S.W.T sebanyak mungkin dalam kehidupan di dunia ini untuk mendapat ganjaranNYA  di syurga kelak.

Selain itu, dalam kita menegakkan kalimah Allah S.W.T  di atas muka bumi, kita hendaklah bergerak secara berjemaah atau berada dalam  kesatuan yang berdasarkan Al Quran dan As-Sunnah. Cuba sahabat-sahabat fikirkan mengapa Islam meletakkan amanah sebagai pemimpin ke atas semua individu? Ia adalah untuk mengingatkan kepada mereka bahawa di dalam Islam, segala gerak kerja mestilah terpimpin iaitu membawa maksud bergerak secara berjemaah.

 Tiada kalam yang mengatakan Islam itu boleh diperjuangkan secara individu tetapi hendaklah  secara berjemaah.Sebagaimana firman Allah S.W.T mafhumNYA “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali agama Allah,dan janganlah kamu berpecah-belah” (Ali Imran:103). Kita sebagai umat Islam hendaklah kita bersatu hati dalam menegakkan agama Allah S.W.T dan tiada sesuatu  perkara pun yang boleh membezakan kita kecuali iman dan taqwa kepada Allah.SW.T.

Sebagaimana yang kita ketahui, kebanyakan mereka yang bergelar mahasiswa adalah mereka yang masih muda dan mempunyai semangat menuntu ilmu yang tinggi. Sebagai seorang pemuda Islam, sepatutnya kita hendaklah sentiasa merasakan bahawa menuntut ilmu itu adalah satu jihad dan kita niatkan di hati untuk mengeluarkan diri, keluarga dan masyarakat amnya daripada jahiliyah kepada jalan yang benar menuju kepada hidayah Allah S.W.T dengan ilmu yang kita pelajari.

Di samping itu, di dalam kita menuntut ilmu, janganlah kita lupa tentang akhlak,sebab apa? Kerana dengan akhlak dan qudwah yang baik merupakan faktor terbesar dalam mempengaruhi hati dan jiwa.Ia juga merupakan wasilah yang teragung dalam penyebaran Islam kepada wilayah-wilayah dunia,sebagai petunjuk manusia kepada jalan-jalan keimanan dan ketaqwaan.

Kesimpulannya, “Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menuju kebenaran yang mutlak.Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai.Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya (petikan kalam  Hamka).

 Akhir kata, marilah sama-sama kita menjayakan tema BKKIMM pada tahun ini iaitu Memaju Prestasi Membumi Bakti.

"BKKIMM PILIHAN KAMI"

Ahmad Rabbani Bin Ismail
Timbalan Yang diPertua,
Ketua Unit Dakwah,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM),
Sesi 2012/2013 .


No comments:

Post a Comment