Tuesday 6 May 2014

" Fokus dan Study "

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW penghulu segala Nabi, para keluarga  Baginda SAW yang banyak membantu perjuangan Baginda SAW serta para sahabat RA yang mendokongi dan menyambung dakwah Baginda SAW.

Mahasiswa/wi yang dihormati sekalian,

Peperiksaan merupakan salah satu cabaran yang harus dilalui oleh para pelajar mahupun mahasiswa/wi bagi menilai dan mengetahui sejauh mana prestasi kefahaman yang kita pelajari semasa sesi pembelajaran yang telah dilalui. Oleh itu, persediaan yang maksimum sangat diperlukan oleh mahasiswa/wi  bagi menghadapi perkara tersebut dengan beberapa tindakan dan usaha yang harus dijalankan. Antaranya belajar secara kolektif, membuat catatan ringkas untuk dihafal dan sebagainya.

Namun begitu, keikhlasan dalam setiap amalan termasuk mempelajari ilmu sangat dituntut sebagai hamba Allah SWT yang mana ia merupakan bekalan kita pada hari akhirat kelak. Ilmu merupakan milik Allah SWT, dan sebagai hamba-Nya, kita diseru untuk mendalami ilmu-Nya yang sangat luas bagi mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga sebagai cara membebaskan diri dari belenggu kejahilan dan merasakan diri sangat kerdil disisi-Nya. Menuntut ilmu bukanlah bertujuan untuk berbangga dengan diri sendiri mahupun di hadapan masyarakat atau menindas mana-mana pihak dengan ilmu yang kita ada. 

Sahabat/iah yang dirahmati Allah sekalian,

Walaupun berbagai ujian dan tribulasi yang dihadapi oleh kita mahasiswa/wi Melaka di Mesir dengan kenyataan daripada pihak tertentu mahupun masalah lain yang melanda, namun,  diharapkan kepada mahasiswa/wi Melaka khususnya ahli BKKIMM dapat memfokuskan fikiran kalian kepada peperiksaan yang sedang berlangsung. Jangan jadikan ujian tersebut sebagai penyebab untuk kita lemah dalam mencapai matlamat dan merealisasikan tujuan kita berada di bumi anbiya’ ini.  Bukanlah Allah SWT menurunkan sesuatu ujian kepada hamba-Nya semata-mata dengan hanya diuji, akan tetapi Dia mahu menilai sejauh mana kita sebagai hamba-Nya yang kerdil ini mengadu kepada-Nya dan mendekatkan diri kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3 bermaksud :

((Apakakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “Kami telah beriman”. Sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.))

Dalam hadith qudsi Allah berfirman:-

Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya
(Hadis Riwayat Tabrani dari Abu Umamah)

Mahasiswa/wi yang dihormati sekalian,

Bersempena dengan imtihan yang sedang berlangsung ini barisan Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi (AJKT) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2013/2014 mengucapkan “Selamat Menghadapi Peperiksaan” dengan tema "Fokus dan Study" kepada seluruh mahasiswa/wi pengajian Islam dan sains kesihatan terutamanya mahasiswa/wi Melaka.

Semoga  mahasiswa/wi di perlembahan Nil khususnya anak Melaka di Mesir dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan yang dihadapi. Buktikan kepada masyarakat bahawa mahasiswa/wi Mesir mampu  terkehadapan dari sudut syakhsiah dan pendidikan demi Islam yang tercinta seterusnya dapat terjun kepada mereka bagi menjadi ejen menyampaikan Islam yang syumul dan menjernihkan masayarakat dengan cahaya Islam yang sebenarnya.


"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"
"MELESTARI KESATUAN MERENTASI PERJUANGAN"


Ahmad Rabbani Bin Ismail
Yang Di-Pertua
(Ketua Hal Ehwal Wanita Islam)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2013/14

No comments:

Post a Comment