Wednesday 20 October 2021

[ INSPIRASI GENERASI BERILMU ]



KAHERAH, 12,13 dan 19 Oktober 2021 - Unit Pendidikan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi ini telah menganjurkan sebuah program kecemerlangan untuk meraikan mahasiswa dan mahasiswi yang tamat pengajian dan cemerlang dalam akademik di Universiti al-Azhar yang diberi nama Majlis Konvokesyen Anak Melaka Mesir (KONVOKESYEN '21).

KONVOKESYEN '21 membuka tirainya dengan slot pengisian  Webinar Kerjaya di Facebook Private Group bertajuk Karier Penyelidikan dan Kehakiman dengan tujuan memberi pendedahan awal berkaitan peluang kerjaya buat graduan azhari. Pengisian Webinar Kerjaya tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Hadi bin Ismut yang merupakan Pegawai Penyelidikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bersama moderator, Ustaz Abdul Mujib bin Othman selaku Timbalan Setiausaha Agung (Ketua Unit Pendidikan) BKKIMM sesi 2020/2021.




Pada hari berikutnya, Majlis Konvokesyen Anak Melaka Mesir 2021 telah diadakan di Nadi al-Alamin, Hayyu Thamin dengan kehadiran graduan seramai 32 orang bermula seawal jam 8.00 pagi. Majlis Konvokesyen telah dimulakan dengan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran daripada Ustaz Muhammad Nor Saleh bin M.F.Rahimi, mahasiswa Qiraat Shoubra dan diteruskan dengan majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Ustaz Wan Mohd Khairuddin bin Wan Isa yang merupakan Pegawai Atase Pendidikan Negeri Terengganu Timur Tengah.

Seterusnya, para hadirin disajikan dengan kalam Tausiyah dan nasihat daripada Syeikh Dr. Rifaat Fauzi bin Abdul Mutallib buat mereka yang bergelar penuntut ilmu agar ilmu yang dipelajari itu dapat diamal dan dimanfaatkan. Selesai dalam slot tausiyah, Syeikh Dr. Rifaat Fauzi menyampaikan anugerah buat graduan dan graduanita Universiti al-Azhar dengan diiringi Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Hafiz Syakirin bin Mohd Yazid.

Sesi bergambar dan serahan jambangan coklat buat para graduan menjadi penyeri pada akhir Majlis Konvokesyen Anak Melaka Mesir 2021 dan majlis bersurai lebih kurang jam 12.30 tengah hari beserta agihan makanan tengah hari buat graduan dan komiti pelaksana yang hadir.




Akhir sekali, KONVOKESYEN '21 menutup tirainya dengan penyampaian anugerah kecemerlangan khusus mahasiswa dan mahasiswi tahun satu hingga tahun tiga yang cemerlang dalam peperiksaan Universiti al-Azhar sesi 2020/2021 pada 19 Oktober 2021. Serahan anugerah kecemerlangan kepada 30 orang disempurnakan oleh Ketua Unit Pendidikan BKKIMM sesi 2020/2021 iaitu Ustaz Abdul Mujib bin Othman di sebelah ikhwah, manakala di sebelah akhawat pula disempurnakan oleh Timbalan Ketua Unit Pendidikan BKKIMM sesi 2020/2021 iaitu Ustazah Siti Balqis binti Zaidi.

Semoga penganjuran program ini dapat menyuntik semangat ahli dalam mencapai kejayaan akademik pada masa akan datang dan berusaha untuk menambah baik kualiti sebagai seorang mahasiswa keluaran al-Azhar. Seterusnya, pulang ke tanah air berbakti dalam pelbagai medium yang tersedia. 

"Graduan Perintis Keilmuan, Pemangkin Generasi Berwawasan"
"Ilmuan Rabbani, Penerus Legasi Islami"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#Graduan2021
#1Hati1Wahdah
#BersamaBersatu

No comments:

Post a Comment